Thursday, October 21, 2010

pasca bajet?


“Susahnya jadi perempuan. Macam-macam kemahuannya!”

Itu keluhan abang aku. Seorang lelaki. Juga seorang suami.

Aku pun tidak tahu apa yang buat dia merungut begitu. Seperti biasa, aku memang pandai mengorek rahsia. Dan itu juga kesempatan terbaik untuk mengetahui rahsia seorang lelaki. Hehehe!

Lelaki dan perempuan memang berbeza. Sebab itu John Gray kata, Men are from Mars, Women are from Venus. Dahulu buku ini pernah jadi buku kegemaran aku, khatam dari kulit ke kulit. Tetapi rasanya tidak juga aku arif mengenai lelaki dan wanita!

Along aku merungut mengenai isterinya yang tiba-tiba bagi idea hendak tukar sofa baru sebab sofa yang lama itu sudah tidak cantik di mata. Dan mereka juga ada merancang untuk bercuti hujung tahun nanti. Jadi, antara sofa baru dengan bercuti, yang mana satu pilihan hati?

“Mana boleh dua-dua. Satu cukuplah. Bangkraplah aku!” kata abang agak tegas.

“Ha, kalau begitu, cakaplah dengan dia. Tegaskan macam tu!” aku sengaja ‘mengipas’, sengaja tambah bara.

“Sudah cakap. Dia kata, kalau apa salahnya dua-dua! Nak habiskan bajet tahun ni. Tak reti-reti nak berjimat!”

Hahaha… tergelak aku! Kakak ipar aku memang cekap kendalikan bajet. Mentang-mentanglah kerajaan baru umumkan bajet 2011, kakak ipar aku pula sibuk rancang untuk habiskan bajet tahun ini! Menteri kewangan yang baik sungguh dia!

“Kau esok kalau kahwin, jangan minta yang bukan-bukan. Beringat-ingat sikit!” Eh, tak pasal-pasal, aku pula yang hendak tempiasnya!

Entahlah, Along! Aku jenuh memikir. Aku sebenarnya ambil banyak pengajaran daripada orang sekeliling aku!

Thursday, October 14, 2010

puan hajah muda


Aku terima panggilan daripada sahabat sepengajianku, Ija, yang memberitahu, dia akan ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji bersama suaminya penghujung bulan ini. Katanya, sekarang dia sedang sibuk buat persiapan, sambil menelefon kawan-kawan (mana yang sempat) untuk meminta maaf dan minta halal apa-apa yang patut.

Aku tumpang gembira dan bersyukur untuk Ija. Aku teringat, dahulu semasa kami masih belajar, dia pernah nyatakan hasrat untuk mendapat gelaran ‘hajah muda’ sebelum usia 35 tahun. Tidak kiralah sama ada secara bersendirian atau bersama suami.

“Kalau sudah ada suami, lebih baiklah. Kalau ketika itu masih solo, pun tak kisahlah. Dapat pergi haji dalam umur muda pun kira rezeki juga,” aku masih ingat, begitulah kira-kira kata Ija, kawanku yang memang paling ‘warak’ dalam kelas kami ketika itu.

Alhamdulillah, kiranya sekarang sudah tercapailah hajat Ija. Tambahan pula dapat pergi bersama suami, itu kira rezeki bergandalah.

“Aku doakan kau selamat pergi dan selamat balik, Ja. Sampaikan salam pada Rasulullah dan jangan lupa doakan untuk aku ya,” aku sempat berpesan.

“Terima kasih doa kau. Aku akan doakan untuk kau mudah-mudahan kau dapat suami yang beriman. Aku akan doakan khusus untuk kau di Jabal Rahmah nanti. …” Ija membalas.

Tidak terkata aku!

Musim haji sudah tiba. Aku lihat ramai juga kawan-kawan aku yang masih muda, yang belum masuk usia 40 tahun, sudah berlumba-lumba untuk ke Mekah. Baguslah. Insya-Allah, aku pun ada juga pasang niat begitu.

Selamat berangkat ke Tanah Suci untuk semua tetamu Allah. Semoga beroleh haji yang mabrur.

Wednesday, October 6, 2010

selamatkah kita?


Beberapa bulan kebelakangan ini, banyak sungguh berita mengenai jenayah yang mangsanya dari kalangan wanita. Kematian mereka atas beberapa sebab; diragut atas jejantas, dibunuh jiran sebelah rumah, diparang oleh suami dan macam-macam lagi.

Duduk dalam rumah sendiri pun belum tentu lagi selamat. Hendak keluar rumah lagilah rasa tidak selamat.

Seperti biasa, berita-berita begini akan menyebabkan emak aku susah hati teramat sangat, terutamanya pada aku yang tinggal seorang diri di Kuala Lumpur. Aku faham, emak sangat prihatin dengan keselamatan aku. Yalah, emak mana yang tidak risau dengan perihal anak-anak.

“Kamu jangan berani-berani sangat keluar malam. Kalau tak ada kerja sebelah malam, balik rumah, duduk diam-diam dalam rumah. Kalau kena balik lewat malam, hati-hati. Kalau ada kawan yang boleh dipercayai, minta mereka temankan sampai ke kereta. Kalau orang tahan di tengah jalan, jangan berani-berani berhenti.” Fuh, panjang jugalah pesanan amanat emak aku.

Aku pun bukanlah suka sangat bekerja sampai tengah malam. Tetapi kalau sudah namanya kerja, kadangkala memang tidak cukup siang untuk menyudahkan. Terpaksa sambung siapkan sebelah malam. Tetapi yang penting, tahu jaga diri.

“Kalau tulis dalam blog, jangan tulis semuanya mengenai diri kau. Bahaya tahu! Manalah tahu kalau ada ‘peminat gila’ yang ikut kau. Nanti tak pasal-pasal, bukan kau yang buat liputan, tapi kau yang jadi bahan liputan,” itu pula pesanan seorang kawan.

Terima kasih atas peringatannya.

Ya, aku memang berhati-hati. Kehidupan peribadi tetap peribadi. Memang ada perkara yang boleh dikongsikan dengan orang lain tetapi kalau yang peribadi, itu tetap milik aku seorang.

Kepada sahabat-sahabat SMJ, terutamanya yang wanita, aku juga mahu kongsikan peringatan yang sama-sama. Berhati-hati!

Wednesday, September 29, 2010

cerita lepas raya


Beberapa orang kawan (termasuk sahabat maya SMJ) bertanya mengenai kunjungan Im ke rumah emak aku ketika raya dahulu. Okeylah, sejujurnya aku mahu beritahu untuk mengelak andaian yang bukan-bukan.

Itu kunjungan sempena Aidilfitri. Bukan merisik, jauh sekali meminang. Lagipun aku dengan Im rasa-rasanya belum ada apa-apa. Kami selesa berkawan biasa sahaja setakat ini.

Memanglah ada beberapa kali kami bertemu sebelum ini. Pernah juga berbuka puasa bersama-sama. Namun sebenarnya bukan kami berdua tetapi dengan beberapa orang kawan masing-masing. Aku datang dengan kawan-kawan aku. Dia datang dengan kawan-kawan dia. Selesa beramai-ramai begitu!

Sebetulnya aku malu hendak tulis benda-benda begini. Nanti orang kata, hidung tak mancung, pipi pula yang tersorong-sorong. Lagipun rasa tidak manis benar apabila orang perempuan menulis perkara yang melibatkan perhubungan lelaki dan wanita yang belum pasti.

Kawan-kawan sepejabat asyik mengusik tidak habis-habis, apatah lagi selepas aku menulis kejadian raya ketiga tempoh hari. Memang inilah risiko berblog sebenarnya, betul tak? Macam satu dunia sudah tahu!

Minggu ini penuh dengan rumah terbuka. Undangan pun banyak; sama ada daripada kawan-kawan dan rakan-rakan niaga kami. Hendak pergi semuanya, entahlah mampu atau tidak. Hendak abaikan, terasa sayang pula, terutamanya dari kalangan rakan niaga. Kadangkala dalam majlis inilah peluang bertemu, bergesel bahu (kata orang) dan menambah rangkaian kenalan. Penting untuk orang media seperti aku.

“Gemuklah aku lepas raya ni, beb!” Rungut kawan-kawan.

“Tak baik merungut. Itu rezeki Allah bagi!” Ada pula suara menyanggah.

Alhamdulillah, banyak undangan rumah terbuka menandakan kawan-kawan ingat kita. Kalau orang tidak ingat kita, satu masalah juga, ya tak?

Eh, sempat ke nak habiskan puasa enam ni?

Tuesday, September 21, 2010

kembali bertugas


Seminggu bercuti, pasti buat semua orang cukup malas hendak kembali bertugas. Mood bercuti masih kuat dalam diri. Banyak rakan sekerja tampil di pejabat dengan baju raya; menayang baju raya masing-masing. Wah, meriah begitu!

Minggu pertama kembali bertugas selepas raya memang meriah. Selain baju raya, siap dengan biskut berbalang-balang berpindah dari satu tangan ke satu tangan. Juga saling bermaaf-maafan sebab ada sebahagian yang tidak sempat bertemu untuk bersalam raya sebelum bercuti panjang tempoh hari.

Budaya bersalam-salaman dan bermaaf-maafan memang tradisi raya yang tidak pernah luntur.

Kami sempat juga bersalam-salaman dan bermaaf-maafan dengan Puan Bos yang tegas garang dan selalu mencetuskan kontroversi itu. Di depannya, muka tersenyum manis, nanti di belakang Puan Bos, pasti terdengarlah suara gossip dan umpatan. Kadangkala rasa macam kami ini pelakon yang baik juga.

Alah, mulut manusia mana boleh tutup!

“Hah! Raya tu beraya juga. Ini raya dah habis, fokus kerja balik. Kerja lebih sedikit sebab nak kena cover balik apa yang tertinggal masa cuti dulu. Dah bercuti panjang, jangan pula lambat hantar bahan lepas raya!” Puan Bos memang tidak beri kesempatan pada kami untuk bersuka ria sedikit!

Beberapa orang kawan kami mencebik di belakang mendengar amaran itu.

“Apa yang menarik cuti di kampung, Sal? Ada orang masuk merisik tak tahun ni?” Kak Ros mengusik aku.

“Hisy! Kak Ros ni, ke situ pulak. Tak sesuai sungguh!”

“Kak Ros nampak Sal pakai cincin tu. Macam cincin baru saja…” Tajam sungguh mata Kak Ros. Cincin yang aku pakai di jari pun dia boleh jadikan bahan gossip.

“Ini cincin lamalah, Kak Ros. Saya jarang-jarang pakai tapi hari raya saya pakailah sebab ini hadiah emak ayah saya. Kalau tak pakai, kecil hati pula mak saya!” aku terangkan pada Kak Ros.

Kak Ros tersenyum meleret, “Hmm, yalah tu, Sal!”

Ada-ada saja Kak Ros hendak menggosipkan aku! Tak kuasa mak nak layan…

Monday, September 13, 2010

cerita raya


Masih berhari raya. Orang dewasa pun tidak kalah dengan budak-budak yang seronok sakan berhari raya. Anak-anak buah sibuk mengumpul duit raya. Tetapi anak-anak Along aku kalau beraya di kampung, tak berapa suka berjalan, sebaliknya lebih seronok berlonggok depan televisyen.

Ini memang ragam budak-budak sekarang. Mereka lebih seronok beraya depan televisyen daripada berkunjung ke rumah orang. Alasan mereka, sebab mereka tidak kenal orang kampung, jadi malulah hendak bertandang sesuka hati. Logik juga alasan mereka kan?

Cerita hari raya mungkin sedikit klise kerana setiap tahun ceritanya sama saja bagi orang bujang seperti aku. Setiap tahun ulang rutin yang sama – jadi tukang bancuh air, tukang cuci pinggan dan segala macam yang seumpama dengannya!

Kalau hendak pergi beraya ke rumah saudara-mara, kena ada orang tua (emak aku) sekali. Kalau tidak, harus tuan rumah tidak kenal, maklumlah sebab sejak bekerja, aku tidak tinggal di kampung lagi. Jarang-jarang sangat berjumpa sampai orang kampung pun tidak ingat lagi…

Raya ketiga, ketika semua orang di rumah berehat kerana keletihan baru balik dari raya (& makan-makan di rumah saudara mara), rumah emak dikunjungi tetamu. Dua kereta lagi, entah siapa, aku pun tidak pasti. Mungkin kawan-kawan lama emak agaknya.

Dengar suara riuh-rendah di depan, tahulah aku rupa-rupanya mak su sekeluarga yang datang. Pak su baru tukar kereta rupa-rupanya, patutlah aku tidak perasan tadi. Mak su dengan Pak su sengaja hendak tayang kereta barulah tu!

Yang buat aku terkejut, apabila tengok tetamu dari kereta sebuah lagi. Sekali tengok, rasa macam kenal. Dua kali tengok, memang kenal!

Im!

“Kami memang nak datang beraya ke sini. Im tiba-tiba nak ikut, sebab nak tengok suasana raya di sini. Itu yang ajak sekali mak ayahnya…” mak su beria-ia menerangkan.

Im tersenyum-senyum saja. Emak ayahnya ramah juga, siap bawa buah tangan kuih raya lagi. Biasalah, bertukar-tukar kuih raya memang jadi adat lazim orang kampung.

“Kak Ngah, macam mana Kak Ngah kenal saudara sebelah pak su tu?” adik perempuan aku yang sudah jadi emak orang itu sibuk hendak tahu, bukan sibuk hendak tolong aku bancuh air di dapur.

Aku cakap, aku kenal mereka semasa kenduri arwah nenek beberapa bulan lepas.

“Oh! Mereka datang hendak merisik Kak Ngah ke?” adik aku terus tanya soalan, tak bertapis-tapis langsung!

Aku tercengang, tak terjawab soalan itu! Entahlah dik….

Sunday, September 5, 2010

apabila lelaki shopping!


Minggu depan Aidilfitri. Ya Allah, pejam celik, pejam celik, sudah raya kita ya! Cepat sungguh masa berlalu.

Aku berborak-borak dengan Along, abang sulung aku di telefon. Katanya, anak isterinya semua sudah ada baju baru. Terkorban jugalah beberapa ratus untuk membeli baju raya anak isteri tersayang.

“Apa warna tema tahun ni?” aku bertanya. Kakak ipar aku antara isteri yang cukup rajin merancang itu ini untuk keluarga. Tahun lepas sedondon mereka warna hijau, sampai kami di kampung gelarkan mereka ‘pokok pisang’. Tahun ini apa pula?

“Tahun ni tak ada warna tema. Yang sulung tu nak warna biru, adiknya nak warna merah jambu, kakaknya nak ungu. Ikut suka merekalah. Jadi tahun ni, warna pelangi!”

Macam-macamlah Along ni!

Aku tahu biasanya Along memang selalu menyerahkan saja urusan baju raya ini kepada isterinya. Kadangkala dia nampak macam tidak kisah sangat dengan apa yang isterinya sediakan. Biasalah kan, lelaki… selalu nampak macam tak kisah saja. Asal ada, cukuplah!

Tetapi sebenarnya lelaki pun tidak kurang hebatnya dalam berbelanja. Along aku itu nampak saja macam tidak kisah tetapi kalau dia sendiri keluar membeli-belah memang cerewetnya, ya ampun!

Aku pernah temankan dia membeli kemeja kerjanya. Habis satu ruang pakaian lelaki diterokanya tetapi masih tidak dapat yang dia berkenan. Warna tidak sesuai, potongan tidak menarik, kain tak berkualiti – segala macam kritikannya. Selepas dua jam berpusing berputar, sampai aku sudah letih lenguh dan tidak kuasa lagi hendak berdiri – akhirnya barulah dapat sehelai kemeja yang dia suka. Lepas dapat sehelai, aku ingat selesai sudah. Rupa-rupanya dia hendak membeli lagi.

“Ngah, Along ni tak selalu membeli baju. Apa salahnya kalau beli lebih sedikit? Tapi kemeja kedua ni, boleh tak Angah sponsor?” Suka hati dia saja minta aku bayar. Sebab dia beria-ia membodek dan aku pun memang jarang-jarang membelikan hadiah untuknya, maka aku pun setuju untuk menaja. Kiranya aku ini adik yang baik hati jugalah kan…

Okeylah, aku kena tamatkan dahulu catatan kali ini.

Selamat hari raya untuk semua sahabat SMJ. Bila hendak balik kampung? Hati-hati di jalan raya!

Tuesday, August 31, 2010

penghargaan vs tikam belakang



Angin satu badan! Mujur bulan puasa, kalau tidak…

Aku bukanlah berkira sangat dalam urusan kerja. Aku faham, dalam budaya berorganisasi dan bekerja, ada masanya kita perlu bekerja sendirian dan ada masanya perlu bekerja secara kolektif. Dalam bab kerja secara kolektif, semua orang pasti terkilan kalau hasil penat lelahnya dinafikan orang.

Tiga bulan lalu, jabatan kami merancang untuk mengadakan projek khas Ramadan & Syawal. Projek ekstra begini memang memerlukan kesabaran dan kekuatan mental dan fizikal untuk menyiapkannya.

Semua orang tahu akan hal itu dan bersedia untuk berdepan dengan segala cabaran. Lagipun bukannya benda baru pun, sejak beberapa tahun lepas kami sudah berpengalaman menguruskan hal begini.

Letih bersengkang mata, buat kerja tambahan yang membabitkan hal remeh-temeh malah bekerja sehingga tiga empat pagi, terasa berbaloi apabila melihat produk yang terhasil. Juga laporan bahagian jualan menunjukkan bahawa sambutan terhadap produk memang menggalakkan.

Tetapi yang buat semua orang tiba-tiba ‘angin satu badan’ apabila ketua projek semacam menafikan susah payah staf lain. Dalam mesyuarat, dia selamba beritahu; ini semua lebih kepada usaha dia seorang. Walaupun orang lain membantu tetapi dia akhirnya yang terpaksa menyudahi kerja orang lain yang tidak sudah!

Selamba saja dia cakap dalam mesyuarat begitu, di hadapan semua staf yang terlibat, ketika memberikan laporan kepada pihak pengurusan. Semua orang pandang-memandang; mungkin bingung, mungkin terkejut dengan kenyataan selamba-berani itu.

“Tak patut bos cakap macam tu. Itu kan projek kumpulan, mana boleh mengaku kerja dia seorang. Sali, kau pembantu dia, apa kau rasa?” Farah bertanya aku sehabis mesyuarat.

“Malaslah nak fikir. Aku puasa hari ni!” Aku balas tegas. Kalau aku fikir, aku akan rasa sakit hati. Kalau sudah sakit hati, boleh ‘kurus puasa’!

“Aku pun puasa juga!” Farah membalas, macam bengang saja.

Sabar, sabar, sabar! Dalam dunia ini, memang banyak orang yang gila nama. Jadi, apalah yang kau hairankan sangat dengan jenis manusia begini!

Kecewa? Sedikitlah agaknya tetapi tak mengapalah kerana penghargaan Tuhan lebih manis daripada penghargaan manusia.

Puasa, puasa. Aku puasa hari ini. Aku mesti sabar!

P/S Salam kemerdekaan untuk semua!

Sunday, August 22, 2010

hati tersentuh


Hati aku tersentuh sungguh apabila melihat dan membaca berita kebelakangan ini. Sudahlah berada dalam bulan Ramadan, berita-berita yang tersiar di akhbar pula tidaklah begitu menggembirakan. Memanglah cerita sedih-sayu-ngeri itu pelaris akhbar tetapi dalam kehidupan manusia, ia bukanlah kisah yang seronok untuk diceritakan.

Antara yang buat aku ngeri dan takut, adalah kisah ‘tragedi sahur’apabila suami yang sakit mental akhirnya tetak isteri sehingga mati dan cederakan anak-anak. Juga kes suami gian yang simbah asid pada isteri, emak mentua dan anak-anak sampai masuk hospital sebab gagal berinya duit.

Aduh, apa sudah jadi dengan manusia hari ini? Betullah, manusia apabila berada di luar kewarasan akal akan buat apa saja untuk capai kehendaknya. ‘Sakit mental’ dan ‘gian dadah’ memang setaraf, sebab sama-sama buat manusia hilang akal sehingga sanggup jadi pembunuh. Nauzubillahiminzalik.

Sebagai perempuan, aku tidak nafikan kisah-kisah beginilah yang buat aku (dan ‘rakan-rakan seangkatan’) jadi takut untuk berumah tangga, takut dapat suami yang tak boleh pakai, pasti hidup bagaikan perahu karam sebelah. Selalu yang berlaku, awal-awal semuanya O.K belaka tetapi apabila sampai satu tahap, rupa-rupanya K.O! Simpang malaikat 44, minta dijauhkan Allah dapat suami ‘sepak habuk’ (penganggur), ‘senteng’ (tidak waras) dan ‘pendek akal’ (tidak bijaksana).

Satu lagi yang buat aku rasa senak hati adalah apabila membaca kes buang bayi yang semakin menjadi-jadi. Tak kira bulan puasa atau bulan tak puasa, syaitan dalam diri tetap merajalela. Bukan setakat buang bayi yang meninggal dunia (tidak pastilah sama ada meninggal sebelum dibuang atau selepas dibuang) tetapi yang masih hidup bernyawa pun tergamak dibuang.

Dik, kalau tak mahu atau tak mampu bela sendiri, tidak mengapa; serahkan pada orang yang mahu. Kau serahkan pada akak pun tak apa, dik! Akak akan bela anak kau elok-elok, mudah-mudahan dia membesar jadi manusia yang baik dan tolong doakan pula untuk kesejahteraan kau, dik! Begitulah hati aku berkata-kata setiap kali membaca berita buang bayi ini. Aku marah, aku memang emosi sedikit apabila tiba cerita-cerita begini!

Ya Allah, selamatkan kami daripada menjadi orang yang zalim!

Doa yang baik-baik saja ya, mudah-mudahan pada bulan Ramadan yang mulia ini, Allah bukakan pintu langit seluas-luasnya dan menerima permohonan doa kita. Amin!

Sunday, August 15, 2010

cerita minggu pertama Ramadan


Minggu pertama menyambut Ramadan, aku melihat pelbagai ragam kawan sepejabat. Pejabat sunyi dan kebanyakan orang buat tugas masing-masing dengan diam sahaja. Tidak seperti selalu, dari jarak sebatu pun mereka boleh berbual dan bercakap!

Yang paling ketara, waktu petang. Bulan Ramadan, jadual bekerja berubah; masuk kerja awal sedikit dan habis kerja juga awal. Masuk kerja awal pagi mungkin tiada masalah kerana selepas sahur dan solat subuh, kita bersiap untuk ke pejabat. Tetapi waktu petang, kaum wanita terutamanya kaum ibu di pejabat adalah orang yang paling awal mengangkat beg.

“Nak berbuka di rumah. Hari ini kan hari pertama. Dah janji dengan suami dan anak,” kata Kak Ros pada hari pertama puasa. Kak Ros ini memang ibu mithali, satu pejabat tahu!

Kaum ibu memang orang yang paling sibuk pada bulan Ramadan. Bukan sibuk hendak memasak hidangan berbuka tetapi sibuk hendak melawat pasar Ramadan membeli juadah untuk keluarga! Itu juga yang diakui oleh teman sekerjaku.

Mia, budak baru di jabatan akaun itu juga sibuk hendak balik awal kerana katanya sudah berjanji dengan suami. “Dah ada suami, kenalah berbuka dengan suami. Seronok tau akak, berbuka puasa berdua dengan suami, siap bersuap-suap lagi. Inilah Ramadan paling bermakna bagi saya!” katanya lagi sungguh yakin dan pasti. Aku tersenyum-senyum saja sambil berpandangan dengan Kak Minah.

“Memanglah seronok, kau tu pengantin baru. Esok sudah jadi pengantin lama macam akak ni, dah tak herannya. Nanti ada anak, tak sempat lagi nak bersuap-suap. Entah-entah kena bergilir makan sebab anak tak reti duduk diam!” Kak Minah menjawab selamba.

Tergelak besar aku. Merah muka Mia mendengar mulut laser Kak Minah. Biasalah Kak Minah, mulutnya memang begitu. Terhibur juga hati aku pada petang-petang Ramadan dengan usik selamba mereka.

Tetapi seperti biasa, jalan raya petang musim Ramadan memang luar biasa sesaknya. Kak Ros bercerita pada aku pada pagi Ramadan kedua, betapa dia terseksa dalam sesak jalan raya.

“Konon nak berbuka dengan anak dan suami pada hari pertama. Jalan sesak teruk, Sal. Ada kemalangan. Cemas akak. Anak asyik telefon sebab tak ada makanan di rumah. Nasib baik anak sulung boleh harap sikit, akak pesan suruh dia masak nasi. Lauknya akak akan beli. Telefon suami, dia pun sama juga. Sudah-sudahnya, dengar azan Maghrib. Menitik air mata akak, sungguh ujian hari pertama. Berbuka dengan air liur sajalah pada hari pertama…”

Alahai Kak Ros. Memang teruji sungguh!

Minggu awal ini, aku juga berbuka sendirian di rumah. Begitulah orang bujang, apa nak buat. Alah bisa, tegal biasa, kata orang!

Sunday, August 8, 2010

puasa: hari pertama di mana?


Emak aku sibuk menelefon bertanya, adakah aku akan menyambut puasa hari pertama bersama-samanya di kampung. Alahai emak, hajat di hati memanglah begitu. Ini semacam sudah jadi tradisi bagi kami adik-beradik kerana semua orang semacam hendak bermanja dengan emak pada hari pertama berpuasa. Dan biasanya juga, kalau berbuka di kampung, emak akan sediakan juadah kegemaran kami.

Bunyinya memang kebudak-budakan sedikit. Tetapi memang begitulah agaknya cara orang tua meraikan anak-anak, apatah lagi jika anak-anak tinggal berjauhan daripada mereka. Anak balik sekali-sekala, sebutlah apa sahaja hendak makan, susah payah dia akan sediakan. Terbayang-bayang asam pedas bikinan emak, aduh, meleleh air liur! Kebanyakan anak akan mengaku, memang masakan emak dialah yang paling sedap.

Semasa aku belajar di universiti dahulu, betapa sibuk sekali pun, aku tetap balik untuk sambut puasa pertama dengan emak. Cuti sehari pun tidak mengapa, malah biasa juga ponteng kelas kerana balik kampung. Ha ha ha, nakal kan...

Tetapi apabila sudah masuk dunia kerjaya, kesibukan jadi alasan utama. Masuk tahun ini, sudah kali ketiga aku tidak dapat balik menyambut puasa pertama bersama-sama emak. Dahulu rasa sedih juga tetapi selepas beberapa kali, sudah kalis jadinya.

Apa hendak buat. Puasa pertama tahun ini jatuh pada pertengahan minggu hari bekerja. Pertengahan bulan pula! Dan biasanya pada pertengahan bulan, adalah masa kami bergelut dengan tugasan demi tugasan. Mohon maaf ya mak!

“Emak faham kak ngah, emak pun tak harapkan anak-anak balik kerap. Tapi kalau ada masa, baliklah ya!” Emak tidak memaksa tetapi emak sebenarnya tetap mengharap. Itu yang kadangkala buat aku lemah dan tidak sampai hati…

Aku telefon abang sulung, bertanya sama ada dia balik atau tidak. Sama seperti aku, along pun tidak boleh balik. Adik-adik lagilah.... adik perempuan yang sudah berumah tangga itu biasanya akan balik ke rumah mentuanya kerana mentuanya orang KL. Hendak buat macam mana, dia sudah ada suami. Adik lelaki yang masih belajar itu usahlah diharap, dia lebih rela berbuka di gerai dengan kawan-kawannya daripada balik kampung menyambut puasa dengan emak. Sungguh aku tak faham!

Sabarlah ya mak. Nanti menjelang hari raya, Kak Ngah balik temankan mak. Memang jujurnya aku rasa bertanggungjawab menggembirakan mak. Teringat pesanan kakak-kakak yang lebih berpengalaman di pejabat, “Bagi kita anak perempuan, selagi masih bujang inilah masa untuk luangkan masa dengan ibu bapa. Nanti kalau sudah bersuami, apatah lagi kalau suami itu ‘anak emak’ dan dia pula buat tidak faham saja mengenai mak kita, jawabnya kau kena banyak habiskan masa dengan mak mentua.”

Hmmm, entahlah.

Apa pun, selamat berpuasa mak. Selamat berpuasa juga kepada semua sahabat SMJ.

Sunday, August 1, 2010

sudah ada baju raya?


Puasa tidak sampai dua minggu lagi. Aku tengok kawan-kawan pejabat yang kaki bisnes sudah mula edar senarai tempahan biskut raya, kek lapis dan kerepek. Ada yang ligat mempromosi kain ela dan pelbagai macam tudung sarung – Ariana, Hameeda, Muslimah, Abaya – wah segala bagai jenamanya!

Tidak kurang yang bercerita mereka sudah beli baju raya untuk satu keluarga. Tahun ini Kak Ros serba merah, katanya. Kak Minah pula warna hijau. Cik Farah kata, dia sudah dua bulan hantar kain pada tukang jahit sebab bulan puasa tukang jahitnya tidak lagi terima tempahan baju raya. Kalau hantar kain bulan puasa ini, itu untuk baju raya haji nanti. Wah, sungguh terperinci jadual tukang jahit!

“Kau dah beli baju raya, Sal? Ini akak bawa kain cantik-cantik untuk kau. Belilah sepasang dua, murah dik. Boleh bayar dua kali kalau rasa mahal sangat,” Kakak Cleaner pun sempat berniaga juga. Kagum sungguh aku melihat susah payah mereka menjadi usahawan segera menjelang bulan Ramadan.

“Saya beli baju siap, kak. Rasanya tidak sempat lagi hendak hantar pada tukang jahit….” aku berterus-terang sahaja.

Aku memang agak last-minute dalam bab membeli belah persiapan raya. Dahulu ketika masih belajar dan baru bekerja, emak yang uruskan semua. Aku serahkan pada emak untuk pilih kain, hantar pada tukang jahit dan sebagainya. Aku hanya beritahu hendak warna apa dan hendak kurung atau kebaya saja. Balik kampung untuk sambut raya, semuanya sudah tersedia untuk aku.

Tetapi sekarang sudah bekerja, emak aku sudah tidak kuasa hendak buat kerja itu semua. “Kak Ngah tu cerewet, nanti itu tak kena, ini tak betul. Kena pinda sana sini. Orang sudah berduit, buat sendirilah!” itulah kata emak dulu. Sejak itu, aku pun malas hendak bebankan emak aku.

Sebenarnya aku kerap terlupa mengenai segala bagai persiapan raya ini. Faham-faham sajalah dengan fitrah kerjaya aku dalam dunia media ini. Kami bekerja dengan deadline. Pada hari raya, produksi tutup kerana semua orang bercuti tetapi produk tidak pernah bercuti. Sampai masa, produk mesti masuk pasaran seperti biasa.

Jadi pada bulan Ramadan, kami terpaksa gandakan kerja supaya produk dapat keluar tepat pada masa walaupun ketika itu kami semua sedang sedap-sedap cuti seminggu di kampung!

Disebabkan sibuk mengejar deadline itulah yang selalu buat aku terabai mengenai persiapan hari raya. Tidak mengapa, bukanlah hal besar sangat pun, apatah lagi orang bujang seperti aku ini. Saat akhir, malam raya pun sempat cari baju raya, sambar sajalah mana yang mata berkenan dulu. Untung-untung beli pada saat akhir lebih berbaloi kerana biasanya para peniaga lelong habis untuk langsaikan stok mereka.

Okey, kita sambung cerita persiapan raya dalam catatan akan datang!

Monday, July 26, 2010

nasihat kepenggunaan




Temanku baru balik dari luar negara dan sibuk menayangkan beg dan kasut baru yang dibelinya di sana. Kalau itu barang asli, aku tahu memang harganya cecah belasan ribu ringgit juga. Tetapi kalau itu barang tiruan, memang barang itu dibuat dengan baik kerana kelihatannya sangat asli.

Aku bukanlah kisah sangat dengan barang asli atau barang palsu kerana aku pun bukan gila jenama. Memang aku ada sepasang dua kasut dan satu dua beg tangan yang harganya mahal dan ada jenama besar sedikit. Tetapi hanya itu sahajalah, yang biasanya aku gunakan untuk majlis-majlis tertentu.

Barang mahal dan berkualiti ini orang kata ‘alah membeli menang memakai’. Aku memang akui hakikat itu tetapi bagi perempuan biasa seperti aku ini, cukuplah sekadar berpada-pada. Aku sebenarnya belajar banyak daripada kesilapan dan kelekaan aku sendiri.

Nak tahu cerita aku? Aku pernah beli sepasang dres yang harganya hampir RM1,500. Memang tidak mahal bagi orang berduit tetapi bagi aku yang sekadar pangkat eksekutif ini, harga itu sudah cukup besar. Sayangnya, baju yang harga RM1,500 itu hanya sekali aku pakai. Itu pun dalam keadaan terkial-kial, tarik sana tarik sini kerana rasa sangat tidak selesa.

Dan sekarang baju itu tergantung sahaja di dalam almari, jadi perhiasan almari. Sekali pandang rasa sayang. Berkali-kali pandang, rasa seperti hendak gunting-gunting saja sebab kesal dengan sikap terburu-buru dahulu.

Apa boleh buat. Itulah, ketika membeli dahulu tidak berfikir panjang, nampak cantik pada mata, tetapi belum tentu molek apabila dikenakan pada tubuh. Rasa-rasanya ramai perempuan lain seperti aku juga, yang selalu tidak ukur baju di badan sendiri. Sudah-sudahnya ada yang baju sempit, terlebih saiz, terlebih panjang atau terkurang pendek. Faham-faham sendirilah ya....

Perempuan dalam bab membeli, memang nombor satu! Kalau boleh, seluruh pusat beli belah hendak diborong sekali. Mungkin ada kaitan dengan fitrah wanita yang sukakan keindahan dan kecantikan. Apa-apa sahaja nampak cantik pada matanya.

Aku bukanlah hendak mengata sesiapa. Aku mengata diri sendiri sebenarnya. Aku ingat-ingatkan diri juga sebab dua tiga minggu lagi, kita hendak sambut puasa dan sebulan selepas itu, akan meraikan Aidilfitri. Jadi eloklah aku ingatkan diri awal-awal agar berpada-pada berbelanja. Berbelanja ikut keperluan, bukan keinginan.

Okey ke? Rasanya aku punya catatan mengenai persiapan raya. Nanti senang-senang aku sambung lagi ya....

Sunday, July 18, 2010

sekadar luahan perasaan


Penatnya! Minggu ini terasa amat meletihkan. Tugasan, mesyuarat pengurusan, perbincangan dengan pengiklan dan diskusi program tahunan – semuanya berjalan dalam minggu ini. Macam sudah tidak ada hari lain!

Memang beginilah nasib orang yang bekerja makan gaji dan lakukan kerja yang melibatkan pihak lain. Mereka fikir masa mereka sahaja. Mereka fikir mereka saja yang sibuk dan semua hendak ‘sumbat’ temu janji pada masa yang sama.

Bagus kan, kalau ada ‘klon’, jadi aku boleh arah-arahkan klon aku penuhi semua temu janji. Diri sendiri bolehlah rehat. Heheheh... Apa yang aku merepek ni?

Tetapi apabila aku fikir-fikir semula, memang begitulah keadaan dunia aku dalam bidang media. Itulah, dulu arwah abah suruh aku ‘kerja kerajaan’. Katanya, senang kerja
9 – 5, setiap hari duduk dalam pejabat sahaja, tidak perlu terkejar-kejar sana sini.

Barangkali sebab arwah pun pesara kerajaan, itu sebab dia galakkan aku kerja kerajaan juga. Bukan aku seorang saja tetapi hampir semua anak dia! Tetapi aku yang tidak mahu. Konon, hendak kerjaya yang lebih mencabar, lasak dan berani. Jadi aku pilih kerjaya ini.

Terima sajalah Sali, inilah pilihan yang engkau buat! Jangan berkeluh-kesah lagi.

Mengapa aku berleter-leter mengenai penat bekerja? Sebenarnya bukanlah apa-apa pun. Aku hanya ingin meluahkan perasaan, mungkin sebab penat dengan jadual minggu ini. Cara terbaik luahkan perasaan, adalah melalui blog ini!

Biasalah, kita manusia ada ketika-ketikanya rasa penat dan lelah. Apabila rasa penat dan lelah, mulalah fikir yang bukan-bukan.

Ini hanya satu luahan perasaan. Apa pula luahan perasaan anda?

Monday, July 12, 2010

cemburu tanda sayang?


Kecoh seketika di pejabatku. Nina (bukan nama sebenar), penyambut tetamu di pejabat kami tiba-tiba ‘diserang’. Dia diserang oleh suaminya sendiri, yang datang memarahinya, memakinya dan mengugut hendak memukulnya. Kecoh sungguh kaunter penyambut tetamu dibuatnya. Nasib baik tetamu tidak ramai, kalau tidak, harus lebih malu besar.

Yang paling malu besar; Ninalah. Sebab yang buat hal itu adalah suaminya sendiri!

Beberapa orang bos keluar untuk mententeramkan keadaan di kaunter depan. Drama sungguh! Tetapi mereka balik kena sembur dek suami Nina yang naik hantu. Bos bahagian sumber manusia, Encik Li masuk campur. Dia pun sama juga kena maki, “Jangan masuk campur. Ini hal rumah tangga kami. Orang luar jangan memandai-mandai!” Bengis sungguh suami Nina itu. Lagak macam orang separuh mabuk pun ada, hissy!

“Memang rumah tangga awak. Tapi awak datang buat kacau di pejabat orang. Ini tempat kerja, tempat cari rezeki. Kalau hendak bergaduh laki bini, bergaduh di rumah, bukan di pejabat. Jangan buat hal macam orang tak ada akhlak!” Sekali Encik Li sudah balas balik!

Hampir bergaduh dan bertumbuk juga tetapi dapat dileraikan oleh pengawal keselamatan. Suami Nina dihalau keluar. Kasihan Nina. Menangis-nangis dia diperlakukan suaminya. Sakit hati memang pasti. Malu lagi kepada rakan sekerja.

Nina memang pernah bercerita padaku mengenai suaminya yang panas baran. Ibu kepada seorang anak itu baru 26 tahun dan sudah tiga tahun berkahwin. Katanya, suaminya memang kuat cemburu dan selalu mengawal pergerakan dia.

Petang itu, yang jadi punca sampai serang-menyerang di pejabat sebab sebelah paginya, suami Nina terbaca satu SMS yang dikirimkan teman lelaki lama Nina. Nina bertegas kata, dia tiada apa-apa lagi dengan lelaki itu. Sampai ke pejabat suaminya asyik menelefon tidak puas hati sehingga Nina terpaksa tutup telefon. Sebab tidak dapat bercakap dengan Nina, suaminya tidak sabar lalu datang serang di pejabat.

“Malu saya, kak. Malu satu pejabat dengan perangai gila dia tu….” Nina teresak-esak mengadu ketika aku temankan dia ke kereta. Encik Li suruh dia ambil cuti separuh hati dan balik saja ke rumah untuk elak suaminya datang lagi ke pejabat kami.

Sabarlah Nina. Aku biasa dengar perempuan yang terlebih-lebih cemburu dan asyik hendak kawal pergerakan suami. Tetapi kali ini terbalik pula. Memanglah cemburu tanda sayang tetapi kalau sampai peringkat memalukan diri sendiri dan orang lain, itu sudah hilang malu namanya!

Aku doakan Nina tak apa-apa. Semoga rumah tangganya dipelihara Allah! Mudah-mudahan kita ambil iktibar daripada cerita Nina.

Sunday, July 4, 2010

tidur bola, makan bola, minum bola!


Sekarang ini musim ‘tidur bola, makan bola, minum bola’. Aku bukanlah peminat bola sepak tegar tetapi memandangkan ini fenomena dunia, serba sedikit harus ambil tahu juga.

Aku tumpang pasang telinga saja apabila dengar kawan-kawan sepejabat (terutamanya lelaki) bergebang mengenai bola. Aku senyum, geleng kepala, dan kadangkala tersengih sahaja mendengar mereka bersungguh-sungguh bercerita mengenai Azzuri, All Whites, Oranje, Blue Samurai dan segala bagai itu. Mereka sebut nama Zambrotta, Fabiano, Kaka, Sneijder, Iaquinta, Ronaldo, dan entah siapa-siapa lagi, macamlah semua orang itu kawan baik mereka!

Ada yang datang ke pejabat dengan mata merah macam orang sakit mata, alasannya tidak cukup tidur sebab tengok bola. Entah betul, entah gurau, aku pun bukanlah kisah sangat dengan jadual perlawanan bola sepak ini!

Beberapa kali aku juga tidak cukup tidur, bukan kerana tengok bola kerana kerana adik-beradik aku tengok bola. Bisingnya ya Allah, macam mereka yang main bola, macam mereka duduk di tepi padang bola. Sekali mereka bertempik, bergegar rumah sampai aku sendiri terkejut dari tidur. Aku hendak saja bangun dan sepak mereka!

Emak aku sekadar geleng kepala. Sambil bergurau, emak kata, orang boleh jadi gila mengejar sebiji bola yang bulat di tengah padang, berlari satu padang menghambat bola untuk capai matlamat.

Aku terfikir sesuatu; andaikan dunia ini seperti bola dan kita mengejar dunia untuk mencapai matlamat. Begitulah juga kita jadi gila atau digilakan oleh dunia kerana mengejar benda bulat itu, tidak pernah puas-puas walaupun sudah dapat banyak (gol). Sudah dapat gol, hendak gol lagi.

Tetapi rasa-rasanya bahang Piala Dunia sekarang ini belumlah begitu panas. Tunggulah apabila perlawanan akhir nanti, barangkali lebih ramai yang akan tuang kerja kerana tidak boleh bangun pagi sebab mengejar bola.

Apa-apa pun kepada rakan-rakanku si ‘kaki bola’, jangan sampai kerja terganggu. Dalam hidup, kita pun ada matlamat kan?

Thursday, June 24, 2010

ujian orang berpuasa!


Tengah hari, aku tinggal seorang di meja kerja. Kawan-kawan keluar tugasan dan ada yang keluar makan. Aku berpuasa ganti, jadi terpaksalah jadi penunggu pejabat.

“Itulah lambat-lambat lagi bayar puasa. Kan dah kena jadi penunggu pejabat!” Amboi, suka-suka hati saja kawan-kawan aku menyakat.

“Encik Man nak belanja kami semua beriyani gam. Rugilah kau. Itulah, melambat-lambatkan lagi bayar hutang. Itulah balasan untuk orang berdosa!” Huh, lagi keras usikan mereka! Ada pula yang jadi nasi tambah, hendak jadi ustaz pula. Mulut tiada insurans langsung. Nasib baik aku berpuasa, kalau tidak, jawabnya adalah yang makan kasut!

Entah betul atau tidak Encik Man hendak belanja beriyani gam. Setahu aku Encik Man (salah seorang bos kami) terkenal ‘tangkai jering’ juga. Eh, aku puasa, berdosa mengumpat bos sendiri! Heheheh.

Tetapi seronok juga tinggal seorang diri, terasa tenang aman damai. Rupa-rupanya senyap sunyi ini beri aku banyak ilham dan kekuatan untuk menyiapkan tugasan. Kalau tidak macam-macam bunyi, macam-macam suara yang aku dengar sampai kadangkala tersiap taip sebab terpengaruh dengan gelagat kawan-kawan.

Siap satu rencana dalam tempoh setengah jam. Aku ingat hendak beransur pergi solat apabila aku lihat ada isyarat masuk di Yahoo Messenger aku. Im!

Tak keluar makan? Sejak setengah jam tadi, nampak online saja?

Puasa.

Oh, iyalah! Orang perempuan memang banyak halangan dalam bab-bab puasa ni. Selamat meneruskan puasa ya!

Terima kasih.

Aku tunggu dia menaip balasan. Senyap saja. Tahulah aku, dia sudah tiada di tempatnya. Dia pergi makan agaknya. Aku marah diri sendiri sebab leka tunggu orang balas mesej aku sampai aku terlambat untuk solat zuhur. Teruk sungguh!

Sebelah petang, tak disangka-sangka ada sampai dua mesyuarat. Sudahlah dua mesyuarat silih berganti, bos mengamuk pula dan semua orang kena sembur. Nasib, nasib badan... itulah nasib orang kerja makan gaji! Masing-masing keluar dari bilik mesyuarat dengan muka masam mencuka. Sudahlah berpuasa, hilang mood aku, inilah ujian orang berpuasa agaknya.

Ada mesej dari Im di YM aku, dihantar kira-kira sejam lalu.

Berbuka puasa di mana hari ni? Saya belanja, nak?

Heh, tak ada moodlah! Aku lihat namanya ada dalam senarai. Maknanya dia sedang online. Tetapi aku malas hendak layan. Terus aku offline.

Hmm, berbuka puasa seorang dirilah jawabnya!

Monday, June 21, 2010

Selamat Hari Bapa, Abah!


Hari Bapa jatuh pada Ahad ketiga bulan Jun. Tahun ini, Hari Bapa jatuh pada 20 Jun 2010. Selamat Hari Bapa untuk semua bapa di seluruh dunia. Hari ini juga harijadi Allahyarham abah aku.

Kebetulan yang sangat indah; tetapi emak pernah kata, tiada yang kebetulan dalam hidup kerana segala-galanya sudah diaturkan Allah sedemikian rupa. Cuma kadangkala manusia yang tidak mengambil hikmahnya.

Aku di kampung. Kami pakat adik-beradik buat kenduri kesyukuran, adakan tahlil dan doa selamat untuk Allahyarham abah dan semua saudara-mara yang sudah pergi dahulu ke pangkuan Pencipta.

Sejak ketiadaan abah, kenduri begini memang rutin kami adik-beradik sebelum masuk bulan Ramadan. Sekarang pun sudah Rejab, tak lama lagi Syaaban dan selepas itu Ramadan buka pintu. Pantas sungguh masa berlalu.

Emak dan mak cik-mak cik sempat menegur anak-anak perempuan mereka; sudah selesai ganti puasa Ramadan lepas? Oooo, itu pun satu peringatan rutin juga. Untung sungguh ada orang-orang tua yang rajin mengingatkan.

Alhamdulillah, kenduri sederhana tetapi meriah dengan adik-beradik dan saudara-mara. Ini masa untuk saudara mara berkumpul. Sayu pula hati teringat Allahyarham abah. Walaupun sudah bertahun-tahun Allahyarham tiada bersama-sama kami, tetapi dia selalu ada dalam hati kami.

Aku masih ingat, antara kebimbangan abah suatu ketika dahulu – jika anak-anak melupakannya apabila dia tiada lagi; itulah yang abah kata pada aku suatu ketika dulu. Aku cakap balik, “Kenapa abah cakap begitu? Takkan mungkin kami semua lupakan abah.”

Abah senyum saja dengar aku menyanggah cakapnya. Kemudian dia kata, “Memang kamu semua tak lupa abah. Abah yakin kamu akan tetap ingatkan abah. Cuma abah takut anak-anak abah lupa hadiahkan doa untuk abah. Abah dah mati masa tu, tak ada apa-apa yang boleh bantu abah, kecuali doa anak-anak yang saleh…”

Tersentuh sungguh hati aku. Aku teringat satu hadis yang biasa aku baca, “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Setiap kali teringat kata-kata abah, secara tidak langsung aku muhasabah diri sendiri, sejauh manakah doa aku dapat ‘membantu’ abah? Setakat mana amalan aku dapat ‘meringankan’ abah di sana?

Aku tidak mampu menjawab sendiri soalan itu. Apa pun, terima kasih pada abah yang selalu buat aku teringat akan kekurangan diri dan memotivasikan aku untuk memperbaiki diri.

Semoga abah tenang terus di sana. Selamat hari bapa dan selamat ulang tahun, abah!

Thursday, June 10, 2010

SMS pertama


Tengah hari semalam.

Aku sedang menikmati makanan tengah hari ketika SMS masuk ke telefonku. Daripada nombor yang tidak dikenali. Entah siapa, SMS sesat agaknya, kebelakangan ini memang banyak SMS sesat ke telefon aku; tawar itu ini, yang pelik-pelik sahaja.

Maaf mengganggu kak ngah. Dapat nombor dari Mak Su Liah. Ada tak Mak Su cakap apa-apa fasal saya?

Wah, berdebar-debar pula jantung aku! Inikah orangnya? Aku teringat cerita Mak Su mengenai lelaki yang katanya ‘jatuh berkenan’ pada aku semasa di kampung tempoh hari. Inikah orangnya?

Aku biarkan SMS itu beberapa ketika. Tangan gatal hendak menaip jawapan tetapi aku tidak mahu balas segera. Apa salahnya kalau tangguh beberapa jam? Hampir pukul empat petang, selepas menyiapkan satu laporan berita, barulah aku membalas SMS itu.

Tidak perlulah aku tulis semuanya apa SMS aku pada dia. Tetapi rasanya bermulalah perkenalan dengan Im. Lama juga kami berbalas SMS, bermula petang itu sehinggalah malam; sebab SMS dibalas selang satu jam, ikut kelapangan masa kami. Macam okey saja anak saudara Pak Su ni, dalam SMS seperti ramah!

Bila hendak berjumpa? Yang itu, nanti-nantilah! Im tidak bertanya pula bila hendak berjumpa dan aku pun tidak mahu buka mulut terlalu awal. Entah bagaimana orangnya ya?

Saturday, June 5, 2010

Muhasabah diri


Pejam celik, pejam celik, sudah enam bulan tahun 2010 berlalu. Alhamdulillah, sebab pejam masih boleh celik, kalau tidak celik-celik, ke liang lahadlah jawabnya!

Aku cuba muhasabah diri sendiri, mengenai pencapaianku sendiri sepanjang enam bulan pertama ini. Ada yang membanggakan tetapi tidak kurang juga yang kurang memuaskan. Tetapi tidak mengapa, apa-apa yang kurang memberangsangkan itu, aku ambil sebagai pengajaran.

Ada juga beberapa kisah peribadi yang tidak kurang menjejaskan emosi sepanjang enam bulan pertama ini. Terutamanya kisah aku dengan Yusuf yang suatu ketika dahulu jadikan aku ‘berjiwa kacau’. Sedar tak sedar, cerita aku dengan Yusuf senyap begitu saja. Senyap sebab aku yang ambil keputusan untuk elakkan diri daripadanya. Betullah seperti kata seorang kawan, “Kalau kita layan benda-benda begini, memang jadi punya! Cara terbaik, jangan buka jalan tu!” Terima kasih, menjadi juga nasihat kawanku itu!

Oh ya, aku dengar khabar angin; akan ada rombakan kecil di syarikat. Sudah lama juga rasa-rasanya pejabat sunyi daripada gosip. Berita-berita begini kadangkala buat aku letih sedikit. Rombakan, baik kecil atau besar – memang perkara biasa di mana-mana pun. Adat bekerja, memang beginilah. Asal terus dapat bekerja, tidak dibuang kerja, tidak dikurangkan gaji – itu sudah cukup baik; kata kawan-kawan. Betullah kan?

Aku mohon yang terbaik untuk diri sendiri!

Amin...

(Tahniah kepada semua yang telah berjaya mengharungi cabaran enam bulan pertama tahun 2010!)

Thursday, May 27, 2010

aku 'kaunselor' rumah tangga?


Seorang pembaca menelefon di pejabat, mengadu mengenai masalah rumah tangganya. Suaminya kaki pukul; pantang salah sikit, asyik hendak membelasahnya. Katanya, sejak anak kecil seorang sehingga sekarang sudah berderet empat orang, suaminya masih belum boleh buang penyakit baran itu, walaupun dia sudah berjanji banyak kali.

Apabila bergaduh bertengkar yang sekali-sekala diakhiri dengan penampar dan penumbuk sebiji dua, isterinya akan lari dari rumah, menumpang di rumah saudara. Dan suaminya pun datang, merayu-rayu, menangis-nangis, minta ampun, minta maaf agar dia diberikan peluang kedua.

“Dan puan pun lembut hati?” aku bertanya, entahlah, tidak tahulah apa nadanya soalan aku – sinis, geram atau ikhlas. Dia di talian bukannya dapat lihat muka aku, jadi tidak kisahlah!

“Suami, cik. Bapa pada anak-anak akak. Tengok mata anak-anak pun dah kasihan. Beri peluang, tak bermakna akak dah lupa perbuatan dia pada akak. Sepanjang masa akak tak putus doa agar dia berubah, supaya setan dalam dirinya tu dapat dikalahkan!” hebat juga kakak itu berhujah. Dan aku pun diam, teruskan mendengar sahaja.

Aku bukanlah pandai sangat hendak beri nasihat mengenai masalah rumah tangga orang. Setiap kali orang menelefon aku hendak bercerita masalah rumah tangganya, aku akan cakap awal-awal, aku ini wanita bujang dan belum mendirikan rumah tangga.

Dan jawapan mereka, “Saya perlukan orang untuk mendengar. Itu pun sudah cukup.”

Maka aku pun terpaksa tadah telinga sahaja. Mungkin jadi pendengar setia pun sudah cukup untuk meredakan resah hati mereka. Tidak mengapalah, aku dengar. Yang baik, ambil buat pengajaran. Yang sebaliknya, jadikan sempadan.

Tetapi kadangkala tidak dinafikan, apabila terlalu banyak mendengar cerita sedih sadis rumah tangga orang, buat aku jadi skeptikal terhadap perkahwinan. Lebih tepat, prejudis terhadap lelaki.

Uppps, bukan semua lelaki begitu kan?

Monday, May 17, 2010

guru 'pojaan'ku


SETIAP kali ketibaan Hari Guru, aku pasti terkenang kisah zaman sekolah. Di sekolah dahulu, aku mungkin masuk kategori budak-budak biasa sahaja. Kadangkala lebih banyak bual hal sendiri dengan geng satu kepala. Kadangkala buat masalah juga di sekolah. Tetapi tidaklah sampai kena gantung sekolah atau kena rotan.

Ada seorang guru yang agak berkesan dalam hatiku sehingga sekarang. Guru sejarahku semasa tingkatan enam, Cikgu ID. Itu bukan namanya, tetapi aku gelarkannya begitu, kerana wajahnya ada iras pelakon Isma Daniel yang memang kacak dan jadi kegilaanku pada zaman aku remaja dahulu. Ha ha ha!

Kerana dicabar kawan-kawan, aku pernah menghantar surat cinta kepadanya. Aku tidaklah berjiwang-jiwang dalam surat, tiada bulan bintang segala, tetapi aku sekadar luahkan rasa minatku padanya, aku menyenanginya dan kalau boleh, mahu jadikan dia ‘abang angkat’ku.

Aku geleng kepala dan tergelak sendirian ketika aku menulis ini! Terasa bodoh dan dangkalnya zaman remajaku.

Kawan-kawanku letakkan surat itu atas meja Cikgu ID. Surat bersampul merah jambu, atas kertas biru muda yang bertabur sedikit bedak harum. (Aduh, idea bedak ini terasa amat bodoh… terjangkit daripada sepupu-sepupuku yang suka berjiwang-jiwang!)

Reaksi Cikgu ID? Dia suruh aku berjumpanya suatu hari. Berdebar-debar aku dibuatnya tetapi kawan-kawanku bagi semangat, “Tak apa, kau pergi saja! Kalau dia marah, kau cakap, surat tu main-main saja, takkan cikgu nak ambil hati. Tapi kalau dia balas cinta kau, bonuslah!”

Separuh menggigil juga aku, tetapi ibarat kata, berani buat berani tanggung. Maka aku bermuka selamba pergi menemuinya.

Cikgu ID tidak marah pun. Mukanya tenang saja. Dia senyum memanjang. Dia tunjukkan surat itu pada aku.

Katanya, “Kamu remaja lagi, memanglah pada umur sekarang, kamu nampak orang yang dekat dengan kamu saja. Esok-esok kamu dah keluar kerja, kamu akan nampak luasnya dunia ini. Sekarang mungkin kamu minat saya, kamu nampak sayalah lelaki paling handsome di dunia ni. Tapi esok-esok apabila kamu sudah bekerja dan luas pemandangan, aku akan jumpa lebih ramai orang handsome daripada saya. Kamu tak akan rasa saya ini lelaki paling handsome lagi ketika tu!”

Aku keluar dari bilik guru dengan muka tersengih. Kawan-kawan aku pelik, “Cikgu ID terima cinta kau ya?” Cikgu ID sah-sah sudah tolak cinta aku, sebab dia sudah bertunang! Tetapi kata-katanya aku pegang dan ingat sehingga sekarang.

Aku sudah melihat betapa luasnya dunia. (Mungkin tak seluas mana sebab aku pun masih muda…) Aku sudah bertemu ramai orang… Cuma aku belum bertemu lelaki yang memenuhi criteria yang aku mahukan. Tidak perlu yang kacak macam Cikgu ID tetapi adalah kualiti yang memikat hati.

Selamat hari guru untuk Cikgu ID, di mana saja dia berada. Dan selamat hari guru untuk semua yang bergelar guru, bakal bergelar guru dan telah bergelar guru.

Kalian pula, siapa guru yang masih kekal dalam hati kalian? Ada pengalaman menarik berkaitannya?

Wednesday, May 12, 2010

siapa orang itu?


MAK SU telefon dari kampung. Kami berbual-bual mengenai arwah nenek yang baru meninggal dunia. Kata Mak Su, nenek selalu bercakap mengenai aku, selalu menyatakan rasa bangga dengan pencapaian aku. (Pencapaian apalah sangat yang aku ada?)

“Mak Su boleh kata, arwah memang bangga sungguh dengan Kak Ngah. Dia jarang-jarang nak cakap mengenai cucu dia, tetapi dia selalu sebut mengenai Kak Ngah!”

Terharu sungguh aku. Aku ini jarang-jarang balik kampung jenguk nenek. Sekadar balik berhari raya setahun dua kali. Itu pun dua tiga hari sahaja. Biasalah, apabila kita semakin dewasa, semakin ramai kawan, kita selalu terlupa pada perkara yang suatu ketika dahulu amat penting bagi kita.

Entah mengapa, sejak nenek meninggal dunia, aku terasa hubunganku dengan Mak Su kembali akrab. Dahulu, bukan aku tidak akrab dengannya. Mak Su adik bongsu arwah ayah, satu-satunya emak saudara yang menetap di kampung. Tidak seperti ibu bapa saudara yang lain, kebanyakannya tinggal di Kuala Lumpur. Jadi apabila mereka adakan apa-apa majlis, dapatlah kami selalu bersua. Tetapi dengan Mak Su, biasanya kami hanya bertemu apabila aku balik kampung.

Rancak berborak dengan Mak Su, aku tergelak apabila Mak Su memberitahuku sesuatu. “Ada orang berkenan dengan Kak Ngah!” Siapalah pula lelaki itu? Ada-ada saja Mak Su ni. Pandai juga Mak Su aku ini bergurau.

“Adalah. Dia tengok Kak Ngah hari tu. Dia tanya Pak Su, siapa perempuan muda tu. Pak Su kata, itu anak saudaranya....”

“Jadi?”

Mak Su tergelak-gelak sahaja. “Tak adalah apa-apa. Katanya, teringin juga hendak berkenalan dengan Kak Ngah, kalau Kak Ngah masih solo dan sudi….”

Wah! Bukan main lagi Mak Su aku ni! Tak sangka ya, Mak Su ini ada bakat untuk ‘memasang-masangkan orang’!

“Boleh Mak Su bagi nombor telefon Kak Ngah pada dia?”

“Siapa orangnya ni, Mak Su?”

“Saudara sebelah Pak Su. Pangkat anak saudara. Dia kerja di KL. Hari tu, dia balik bercuti di kampung. Itu yang dia ziarah masa nenek meninggal tu....”

Aku terdiam. Aku sebenarnya tidak tahu nak kata apa-apa lagi.

“Boleh ke Mak Su bagi nombor telefon Kak Ngah pada dia?” sekali lagi Mak Su bertanya. Aku ingat dia sudah lupa mengenai nombor telefon itu.

“Bagilah. Saudara mara, apa salahnya....” Akhirnya aku mengalah.

“Ha! Macam itulah anak saudara Mak Su!” Ewah, bukan main lagi Mak Su ni.

Dan sekarang (ketika menulis ini), aku rasa berdebar-debar pula! He he he…

Monday, May 3, 2010

'catatan lewat' sempena hari pekerja


Sabtu lepas kita sambut Hari Pekerja. Dapat cuti sehari tetapi seperti biasa, orang media seperti aku kadangkala tidak sempat bercuti pun. Tidak kisahlah, redha sajalah sebab kalau sudah minat, tidak kisah lagi terpaksa bekerja lebih.

Aku tahu bagi kebanyakan orang, Hari Pekerja bermakna ‘cuti sehari lagi’! Bagi ibu-ibu bekerja, hari cuti seperti ini dapat dijadikan masa berkualiti untuk keluarga, terutamanya anak-anak.

Kadangkala kasihan juga tengok rakan-rakanku yang bergelar isteri dan ibu. Asyik terkocoh-kocoh, terkejar-kejar hendak selesaikan itu ini. Aku tabik sungguh pada mereka. Kadangkala rasa mereka ini ‘superwomen’ – semua bendak kena buat sendiri. Daripada celik mata subuh hari sehinggalah pejam mata untuk tidur, mereka manfaatkan semuanya untuk buat apa yang terdaya.

Aku tambah tabik andai isteri dan ibu berkerjaya ini berjaya dalam rumah tangga (rumah tangga aman damai) dan anak-anak pula berjaya (cemerlang dalam pelajaran dan sebagainya). Memanglah semua ini tidak dapat dilaksanakan seorang diri; mesti ada kerjasama daripada si suami juga.

Oh maaf ya, ini sekadar catatan peribadi lewat Hari Pekerja! Cuti sehari sudah pun tamat. Selamat kembali bekerja. Semoga menjadi ‘Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi’.

(Terima kasih kepada kawan-kawan SMJ yang mengirimkan ucapan takziah kerana pemergian nenek SMJ.Doa kalian amat dihargai.)

Wednesday, April 28, 2010

maut memisahkan kita...al-Fatihah!

Maaf, aku terasa lama juga blog ini terabai. Aku tidak sempat pun hendak menjenguk blog ini seminggu dua ini kerana sibukkan hal lain. Hal apa itu?

Nenek yang aku sayangi meninggal dunia minggu lepas. Mak Su yang tinggal bersama nenek menghubungi aku awal pagi, ketika aku sedang bersiap-siap hendak ke pejabat memaklumkan hal nenek. Nenek meninggal dunia dalam tidur. Subuh ketika Mak Su kejutkannya untuk solat subuh, Mak Su dapati nenek sudah tiada, namun tubuh nenek kata Mak Su, masih panas ketika itu.

“Nenek meninggal dunia dalam keadaan baik, Kak Ngah. Kita doakan dia ya,” demikian kata Mak Su. Aku anggap bahawa itu caranya Mak Su ingin katakan bahawa, kita mesti redhai pemergian nenek.

Ketika aku letak telefon, menitik juga air mata aku. Aku duduk termenung di sofa beberapa minit. Aku cuba tenangkan hati. Aku beritahu diri sendiri, relakan dia pergi, relakan!

Aku sebetulnya ada banyak kenangan dengan nenek sebelah arwah ayah ini. Ketika aku kecil dahulu (sekolah rendah) aku pernah tinggal dengan nenek selama beberapa tahun. Aku pun tidak pasti mengapa aku ditinggalkan dengan nenek tetapi tidak kisahlah, aku sudah pun membesar jadi manusia sekarang!

Jadi sepanjang minggu lalu, aku balik kampung nenek. ‘Cuti ehsan’ selama tiga hari, aku tambah dengan cuti sendiri. Emak dan adik-beradik aku semua sudah balik rumah sendiri, tinggal aku sahaja di rumah Mak Su. Tidak sempat berbakti pada allahyarham nenek di hujung hayatnya, itu yang aku rasa kesal sedikit.

Hari ini, selepas bercuti lama dan bercuti berblog juga, aku balik bekerja. Tak ada moodlah hendak bekerja! Macam mana ya?

Thursday, April 8, 2010

Anak Emak!

MAMAT, mentee aku sudah menunggu ketika sampai ke pejabat. Takkanlah pagi-pagi hari lagi sudah hendak mengadu masalah? Memanglah antara mentor-mentee ini tiada protokol apa-apa, terpulang pada kesesuaian masa dan peraturan sendiri, tetapi kalau pagi-pagi hari sudah datang menghadap mentor, terasalah keanehannya.

Oh, rupa-rupanya, dia tunggu aku bukan hendak mengadu masalah tetapi hendak mengajak aku bersarapan dengan dia. Bertuah sungguh!

“Saya tak ada masalah sekarang. Hati saya sedang berbunga. Jadi saya nak ajak Cik Sali raikan kegembiraan saya!” katanya pada aku. Berkerut dahi aku memikirkan maksud kata-katanya. Makna selapis atau berlapis-lapis? Aku rasa si Mamat ini lebih layak jadi pengarang novel daripada jadi wartawan yang lurus betul!

Orang hendak belanja, aku turut sahajalah. Sambil makan-makan, aku dengar dia bercerita mengenai dirinya. Anak bongsu, dia anak lelaki tunggal dengan dua orang kakak. Anak emak dia ini, hati nakal aku berdetik. Tetapi daripada cara dia bercerita keakraban dia dengan emaknya jelas menunjukkan betapa dia amat sayangkan emaknya dan mengambil berat mengenai emaknya.

Baguslah anak lelaki rapat dengan emak. Biasanya orang sibuk menjaga anak perempuan, perempuan tidak boleh buat itu, tidak boleh buat ini, itu tidak manis, ini tidak elok – segala-galanya perempuan. Tetapi anak lelaki tidak pula dikisah – anak lelaki balik tengah malam buta emak bapa tidak kata apa-apa, anak lelaki lepas makan tinggalkan pinggan atas meja juga tidak ditegur. Alasan; dia lelaki. Agaknya sebab cuai jaga anak lelaki, salah satu faktor penyebab ramai lelaki jadi pelajar Universiti Serenti!

Masuk semula ke ruang kerja, kawan aku tegur mengenai aku keluar makan dengan Mamat. “Dia kan mentee aku… dia nak belanja aku. Aku okey saja, rezeki tu! Orang nak belanja, bukannya ajak gaduh!” aku membalas dengan nada selamba.

Kawan aku tersenyum-senyum. “Aku rasa dia minat kaulah, Sali. Aku selalu perhatikan dia. Dari tempat dia tu, mata dia asyik arah pada kau saja. Dia scan kau atas bawah. Lepas tu, dia tersenyum-senyum seorang diri. Kau jaga-jaga!”

“Hisy, merepeklah!” aku meningkah cepat-cepat.

Aku malas pedulikan kawanku yang pandai buat spekulasi ini. Fokus pada kerja. Tetapi sesekali datang juga muka si Mamat ini. Aku menoleh ke tempat Mamat. Kebetulan dia sedang memandang aku. Mamat tersenyum. Berdebar-debar pula jantung aku ini!

**Mamat; bukan nama sebenar. Buat masa ini, biarlah SMJ namakan dia Mamat. Hahahah, teringat Mamat Exist dengan lagunya Ibu yang jadi halwa telinga SMJ masa zaman muda-muda dahulu!

Thursday, April 1, 2010

April yang bodoh… atau aku yang bodoh?


AKU masuk pejabat dalam keadaan badan sangat penat, kepala berserabut dan jiwa kacau. Sebelah pagi menguruskan sesi foto dengan seorang wanita kenamaan, bersambung pula dengan wawancara yang panjang.

Habis tugasan; perut kenyang, minda kenyang dengan cerita Datin, aku bercadang hendak balik tetapi kereta kesayanganku tiba-tiba meragam tidak mahu hidup pula. Jurufoto sudah balik dahulu, tidak dapatlah menumpang. Dalam resah bengang marah, aku terpaksa tunggu mekanik datang. Mujur Datin baik hati menelefon mekanik yang biasa menguruskan kenderaannya.

Periksa sana sini, tengok itu ini, masalahnya mudah saja. Minyak hitam sudah kering! Ada lagi beberapa masalah lain, kata mekanik. Aduhai... Si mekanik tersenyum-senyum saja, “Akak tak reti check minyak hitam ke?” Aku tidak terkata. Kereta itu memang sudah patut dihantar servis tetapi aku asyik kata “nanti dulu!” Tidak sangka pula boleh jadi masalah besar. Si mekanik geleng-geleng kepala saja, “Perempuan pandai bawa kereta saja!” katanya selamba. Amboi, sesedap mulut kau mengata aku!

Kereta terpaksa ditunda ke ‘hospital’ sebab kata mekanik lebih baik buat pemeriksaan menyeluruh. Aku pun malas hendak beralasan lagi, ‘sekali harung’ sajalah. Datin berkali-kali kata kesal sebab dia ada temu janji, kalau tidak, dia boleh hantar aku balik ke pejabat. Pemandunya pun tidak ada sebab mengikut suaminya.

Menunggu teksi pun satu hal juga. Agaknya teksi tidak masuk ke kawasan tempat tinggal orang kaya-kaya! Ada yang lalu tetapi penuh pula. Selepas 15 minit menunggu barulah muncul sebuah teksi dan Alhamdulillah, aku akhirnya sampai di pejabat.

Ada kotak cantik berhias riben atas meja. Dapat hadiah, daripada siapa pula? Hari jadi aku sudah lepas. Kawan-kawan geleng kepala apabila aku tanya. “Adalah peminat bagi tu!” usik mereka. Dengan dada berdebar-debar aku membuka kotak. Masya-Allah, aku terjerit kuat apabila seekor katak melompat.

“April Foool!!” Kawan-kawan aku menjerit sambil bertepuk tangan. Kurang asam. Malaun punya kawan!

“Hei! Tak ada kerja lain ke!? Mentang-mentang bos tak ada, korang bersuka ria kat sini! Tahu tak, orang bodoh saja sambut April Fool!” aku melenting tiba-tiba. Bengang! Aku capai beg tangan, angkat kaki keluar dari pejabat.

Apabila sampai di tepi jalan, aku tersedar sesuatu. Hati sudah mula sejuk agaknya. April Fool? Hari ini 1 April. April yang bodoh atau aku yang bodoh, emosi tak pasal-pasal?

Monday, March 29, 2010

mesti walau tidak wajib!

Kawan-kawanku di pejabat selalu berkata, mereka tiada masa untuk membaca. Maksud mereka; membaca buku. Walaupun membaca adalah perkara yang mesti pada pengamal media tetapi hakikatnya tidaklah sampai ke tahap wajib. Selalu yang jadi amalan, kita setakat baca produk sendiri untuk meneliti kekuatan kelemahan sendiri.

Kalau lebih sedikit, kita baca pula produk pesaing untuk meninjau kekuatan dan kelemahan mereka. Kalau dia buat akhbar, dia hanya baca akhbar sendiri dan sesekali belek akhbar syarikat pesaing untuk mencari apa yang patut. Kalau dia buat majalah pula, selain baca majalah sendiri, dia baca jugalah satu dua majalah yang jadi pesaingnya untuk tujuan sama. Setakat itu sahajalah.

Di kalangan rakan-rakan perempuanku, mereka selalu berkata, tiada masa hendak membaca! “Awak lainlah, tak ada siapa yang dijaga. Kami yang sudah beranak-pinak, banyak orang minta perhatian. Balik ke rumah hendak layan anak, layan suami, masak, kemas rumah - jadi berapa saja masa yang tinggal untuk membaca?”

Oh, begitukah? Aku buat muka kagum dan tercengang sahaja. Bunyinya macamlah orang bujang seperti aku ini tidak ada kerja dan punya banyak sangat masa lapang!
Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih kan? Itu pendapat mereka, terpulanglah.

Aku baru habiskan beberapa ratus RM dalam kunjungan pertama ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC minggu lalu. Terkurung di pejabat menghadap kerja yang tidak selesai-selesai, aku ambil keputusan ‘lari sekejap’ ke sana. Asal niat hendak berjalan-jalan cuci mata sahaja sebab aku fikir, aku akan pergi sekali lagi sebelum Pesta Buku berakhir. Tetapi aku gagal tahan ‘nafsu membeli’.

Sesetengah orang membeli barang kemas, kasut Jimmy Choo atau beg Louis Vuitton yang cecah harga ribuan RM sebagai terapi minda. Tetapi bagi aku, cukuplah dengan membeli dan membaca buku sebagai ubat stress.

Pilihan aku; buku-buku motivasi dan self-improvement tetapi kebelakangan ini aku mula berjinak-jinak dengan novel-novel Melayu yang menggunakan bahasa yang baik, yang membawa kisah moral yang baik dan tinggi estetikanya. Tidak kisahlah dari penerbit manapun, asalkan bukunya baik dan membina minda.

Jadi, kawan-kawan, marilah kita membaca!

Monday, March 22, 2010

30 Tahun Sudah!


Pagi Sabtu lepas. Selamat hari jadi ke-30 untuk diri sendiri. Aku sedang buat kerja ketika tiba-tiba kawan-kawanku muncul menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dengan sebuah kek. Alahai, kawan-kawanku! Terharu sungguh aku dibuatnya, rasa mahu menitik air mata. Patutlah semalam, kawan-kawanku bertanya aku bekerja atau tidak hari ini; rupa-rupanya mereka hendak buat kejutan untuk aku!

Ucapan kawan-kawan menyentuh hati aku. “Selamat panjang umur, selamat berjaya dunia akhirat, moga cepat dapat jodoh” – aku aminkan dalam hati. Moga doa kawan-kawan jadi sumber kekuatan untuk aku meneruskan kehidupan. Dan ucapan yang sama juga aku tujukan, aku doakan untuk mereka yang menyambut hari jadi pada tarikh yang sama dengan aku.

Usia 30 bagi wanita adalah usia matang. Itu yang selalu aku dengar. Kalau lelaki mencapai usia kematangan pada usia 40 (jangan marah ya, lelaki!) tetapi wanita pada usia 30-an. Aku harap usia ini akan memberikan nilai tambah pada usaha aku, untuk menjadi wanita yang lebih baik dari segi mental dan fizikal.

Sekali fikir, memang terasa aku ketinggalan beberapa perkara dalam umur yang sudah menjangkau 30 tahun ini. Emak aku dulu, usia 30 tahun sudah hampir cukup empat orang anaknya. Tetapi aku ini, usia sudah 30 tahun, calon suami pun belum ada. Tetapi tidak mengapa, seperti yang selalu aku ingatkan diri sendiri; kita tidak akan dapat semuanya sekali gus. Semuanya ada hikmah tersendiri yang kita tidak tahu.

Ya Allah, terima kasih kerana beri kesempatan pada aku untuk bernafas lagi, terima kasih kerana berikan aku kesihatan yang baik, terima kasih atas segala-galanya. Aku hanya mahu usia yang diberkati!

Friday, March 19, 2010

Protege


Kerja tidak habis-habis. Teringat kata-kata dalam iklan di radio, “Selagi belum tutup mata; kerja, kerja, kerja!” Alhamdulillah, aku masih kuat semangat untuk bekerja. Sementelahan tugas pun semakin bertambah, jadi memang tidak sempat untuk duduk-duduk sahaja. Cuma kadangkala apabila sudah terlalu stres dengan kerja, blog SMJ inilah penawarnya.

Baru-baru ini suatu sistem baru diperkenalkan oleh jabatan – ala-ala sistem mentor-protege. Pekerja senior akan bertindak sebagai buddy kepada orang baru. Tujuannya sebagai pemudah cara, untuk beri tunjuk ajar, bimbingan, apa sahaja yang patut dan wajar kepada orang baru. Alahai, idea siapalah sistem ini? Sebenarnya aku sudah dengar lama sudah mengenai sistem ini, hanya tidak dilaksanakan. Baru sekarang hendak dikuatkuasakan.

Tidak kisahlah. Sekadar berkongsi idea, pengalaman, sedikit sebanyak tunjuk ajar dengan orang baru, bukanlah masalah besar. Jaga-jagalah siapa yang jadi mentee aku itu. Aku ini garang sedikit, cengil kata adik-adik. Tanyalah adik-adik aku, dulu-dulu masa zaman sekolah, telinga mereka memang pijar selalu kena tarik. Maklumlah anak perempuan sulung, aku memang lebih garang daripada along aku.

Berdebar-debar jugalah menunggu siapalah yang bakal jadi protege aku. Kawan-kawan asyik tergelak dan mengutuk, “Bukan main, ala-ala program mencari bintang dalam program realiti televisyen.” Ada-ada saja kawan-kawan aku ini. “Kau nak jadi macam siapa, Sali? Mas Idayu?” Usik mereka. Hahahah, tergelak aku dengar kata-kata mereka.

Hendak tahu siapa protege aku? Alahai, budak lelaki berhingus yang hendak jadikan aku sebagai sumber inspirasinya tempoh hari. Tersengih-sengih dia datang bertemu dengan aku untuk ‘sesi taaruf’. Layan sajalah, sudah tanggungjawab.

Sempat aku beri sedikit peringatan padanya, “Saya profesional dan saya mahu awak pun begitu. Kalau saya tegur apa-apa, bukan sebab nak menjatuhkan tetapi untuk kebaikan awak. Boleh terima?”

Dan dia dengan muka selambanya membalas, “Saya sedia dan sanggup. Buatlah apa saja, Cik Sali, saya memang perlukan bimbingan!”

Amboi! Terasa seperti ada makna berganda tetapi aku malas hendak fikir lain. Aku ingatkan diri sendiri; tanggungjawab, ini tanggungjawab!

Tuesday, March 16, 2010

Siapa Sumber Inspirasi Anda?

Seorang rakan sepejabat mengadu, dia rasa kehilangan dalam hidup. Kes putus cinta, ditinggalkan teman wanita? Bukan! Kata rakan ini, dahulu dia selalu rasa bersemangat untuk hidup, celik mata waktu pagi terasa sangat teruja untuk ke pejabat. Apa sahaja tugasan yang diberikan oleh ketua, akan disambut tanpa banyak soal dan diselesaikan sehabis baik.

Tetapi sekarang, semangat yang meluap-luap itu sudah malap. Bangun pagi terasa liat sangat. Bersiap hendak ke pejabat, seperti mahu tak mahu saja. Tengok bumbung pejabat pun sudah rasa tidak seronok. Segala tugasan yang diberikan bos dibuat asal siap saja. Huh! Apa sudah jadi? Macam parah dengarnya...

Aku bukanlah pandai dalam hal nasihat-menasihati. (Diri sendiri pun tidak ternasihat, macam mana hendak nasihatkan orang?) Tetapi kerana rakanku ini nampak seperti susah hati sangat, maka terpaksalah aku menjadi pendengar setia, tadah telinga untuknya.

Sejak sebulan dua ini, dia rasa semangatnya sudah menurun. Kadangkala katanya, terasa macam hendak berhenti kerja. Sudah tidak seronok bekerja. Terasa macam semuanya sudah tidak menarik lagi. Amboi, umurnya baru 26 tahun, baru setahun lebih bekerja, takkan sudah jemu? Aku ini sudah lima tahun bekerja, masih kuat semangat dan masih berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan diri.

Hai, kalau tak ada angin takkan pokok bergoyang? Tentu ada sebab yang menjadikan dia tiba-tiba hilang semangat. Entahlah, budak-budak sekarang, kadangkala malasnya lebih daripada segala-gala. Kadangkala aku rasa seperti hendak berleter tetapi kalau aku berleter, dia tentu kata, aku ini seperti emak dia pula!

Aku sengaja bagi cadangan padanya (sekadar cadangan remeh bagiku), “Apa kata awak cari seorang sumber inspirasi di pejabat kita ni. Seseorang yang positif, yang awak rasa, boleh awak contohi supaya awak jadi bersemangat seperti dia juga!”

Dan dengan muka selamba, dia kata pada aku, “Boleh tak saya jadikan Cik Sali sebagai sumber inspirasi saya?”

Hai, entahlah dik...! Macam-macam perangai manusia sekarang!

Tuesday, March 9, 2010

Malunya mak!


Kalian pernah alami peristiwa yang memalukan? Aduh, memang inilah dugaan ujian sebagai manusia! Sekali terkenang, rasa malu besar. Dua kali teringat, rasa hendak ketawa terbahak-bahak.

Aku selesai hadiri sidang media pelancaran produk di sebuah hotel di ibu kota. Pelancaran produk kecantikan terkenal; tidak perlulah sebut nama produk itu, nanti jadi iklan percuma pula, lagipun aku bukanlah hendak cerita mengenai produk berkenaan.

Konon hendak tunjuk feminin tetapi elegan dengan sentuhan wanita korporat, aku tampil dengan skirt labuh sempit, kot dan skarf merah jambuku yang dililit di leher. Rakan menegurku, “Engkau ni mengalahkan taukeh produk pula!” tetapi aku buat tidak kisah. Feminin ayu katakan!

Aku antara orang yang keluar agak lewat kerana sibuk mengejar para VIP dalam majlis. Terlupa pula aku datang ke majlis menumpang kereta kawan. Kawanku sudah turun ke tempat letak kereta tetapi aku masih sibuk bertukar-tukar kad perniagaan dalam majlis.

Mereka kalut menelefon mengajak aku balik dan mahu tidak mahu, aku terpaksa menurut mereka untuk segera balik. Kuala Lumpur sekarang musim hujan, pantang petang segala hujan ribut angin taufan menyerang tanpa isyarat. Kalau terlambat, bimbang terperangkap di jalan raya. Nasib tambah malang kalau kena banjir kilat.

Aku kelam-kabut capai barang-barang dan tergesa-gesa berlari mencari lif. Sampai di tangga hotel yang berbatu marmar dan berkilat licin, semasa hendak langkah turun, entah di mana silapnya, aku terpelecok dan terus jatuh terduduk. Aduh... rasa merah muka mak! Bertabur barang-barang atas tangga. Tak tahulah apa yang aku fikir masa tu, terasa macam hendak lari dan sorok muka dalam tandas!

Malu sungguh. Entah dari mana pula, hendak jadikan kisah ini lebih dramatik; seorang lelaki ganteng tiba-tiba tercegat depan aku. “Cik okey?” dia tanya aku dengan muka selamba. Dia tolong aku kutip barang-barang dan serahkan pada aku. “Cik betul-betul okey, tak tergeliat, tak patah, tak apa-apa?” lagi dia tanya dengan muka selambanya. (Aku ingat budak lelaki ganteng ini memang pekerja hotel yang tiada perasaan!)

Terhencot-hencot aku berjalan ke tempat letak kereta. Kawan-kawan aku dalam kereta bertanya kenapa aku jalan senget. “Jangan tanya!” aku balas dengan muka masam. Sampai di pejabat, melihat aku jalan terhencot-hencot, sekali lagi kawan-kawan pejabat bertanya. Dan aku jawab lagi, “Jangan tanya!”

Tetapi aku tidak dapat tahan senyuman ketika menulis ini. Jangan tanya kenapa aku senyum!

Tuesday, March 2, 2010

Cik Nul kawan baikku!


Terima e-mel daripada kawan baik aku yang sudah beberapa tahun putus hubungan. Terkejut juga, sebab dia ini memang tenggelam timbul beberapa tahun lamanya. Kali terakhir, kami jumpa tiga tahun lepas sebelum dia berangkat ke Dubai kerana dapat kerja di sana.

Paling mengejutkan aku dalam e-mel ini, apabila dia sertakan bersama; kad undangan perkahwinannya. Oh! Sudah mahu kahwin rupa-rupanya kawan baik aku ini. Tahniah Cik Nul, kau kahwin dulu daripada aku! Tak aci sungguh!

Ada banyak kenangan aku dengan Cik Nul. Dulu kami satu bilik, banyak aktiviti kami lakukan bersama-sama walaupun berlainan fakulti. Dia pelajar kejuruteraan, rakan sekelasnya memang ramai lelaki dan dia pun lasak macam lelaki juga. Berpakaian pun selalunya seperti lelaki. Memang sangat berbeza dengan aku yang feminin dan peminat merah jambu. Dia selalu kutuk kesukaan aku pada warna merah jambu tetapi dalam pada itu, kami sangat serasi.

Kata dia, dia jadi begitu, mungkin sebab ibu bapanya hendak sangat anak lelaki dan dia selalu dipakaikan baju lelaki sejak kecil. Masa kami tahun akhir, katanya, dia tidak terfikir langsung hendak berkahwin sebab dia yakin tiada lelaki yang minat dia sebab penampilannya itu.

Ada satu kenangan yang aku tidak boleh lupa berlaku pada kami. Sebab kami akrab sangat; kami pernah digelar lesbian! Dengan personaliti kami yang jauh berbeza; yang seorang jantan habis, yang seorang lagi alahai femininnya; memang tak hairanlah kami digelar begitu.

Paling tidak tahan, apabila beberapa orang senior ‘geng surau’ datang ke bilik kami dengan misi untuk memberikan nasihat agar kami bertaubat! Terkebil-kebil kami menerima kunjungan hormat itu. Selepas mereka berlalu, Cik Nul hentam ketawa terbahak-bahak, bersungguh-sungguh, berguling-guling sampai sakit-sakit perut!

Apa pun, selamat pengantin baru, Cik Nul. Ainul, Ainul...kau memang mengejutkan aku. Alhamdulillah, akhirnya bakal bergelar isteri juga kau!

Thursday, February 25, 2010

apabila lelaki bergosip...


KALI ini aku hendak bercerita mengenai lelaki yang suka mengumpat. Normallah kalau perempuan suka ‘buat ketupat’ tetapi kalau lelaki pun ada yang berpenyakit begini, terasa pelik dan ada benda yang senteng. Tetapi hari ini, tiada benda yang aneh dalam dunia ini.

Seorang kawan sepejabat memberitahu, dia dengar beberapa orang lelaki seronok bergosip di pantri pejabat dan seronok ketawakan orang.

“Adalah mereka sebut dua tiga nama kawan kita. Termasuk nama kau. Aku dengar mereka kata kau perasan lawa, jual mahal tak tentu pasal. Bukan main seronok lagi mereka ketawa besar selepas tu!” kata kawanku lagi.

“Aku perasan, aku jual mahal, aku punya sukalah! Apa yang dia orang sakit hati sangat? Mengatalah sepuas hati. Nanti semua pahala mereka pindah kat aku!” begitu aku balas dengan nada sakit hati juga.

“Pasal bunga yang kau dapat hari tu, aku rasa itu game budak-budak lelaki ni semua. Hati-hati, dia orang memang suka mainkan orang, kadang-kadang dia orang bertaruh sesama dia orang!” dengar macam kawanku beri pendapat yang ikhlas.

Okey, terima kasih sebab ingatkan aku!

Selama ini aku kurang ambil perhatian dengan gelagat sesetengah kakitangan lelaki ini. Tidak kena batang hidung sendiri, jadi tak ada sebab nak ambil tahu walaupun aku dengar memang ada beberapa orang yang ‘nakal’ sikit dan suka mengenakan orang.

Kalau depan aku, bukan main mereka bersopan menegur. Itu yang kadangkala aku rasa mereka memang ‘plastik’, pandai berlakon. Apa kata pepatah yang selalu emak cakap? Pepat di luar, rencong di dalam; di luar nampak baik tetapi hatinya jahat! (Kadangkala rasa mak aku ini macam Karam Singh Walia pula, banyak sungguh hafal pepatah dan bidalan!)

Kalau aku kata lelaki di tempat kerja aku ini tidak gentleman, ada pula yang marah nanti. Tetapi memang ada segelintir yang perangai begitu. Dengki agaknya, tak boleh tengok perempuan lebih sedikit daripada mereka. Bab bergosip, merekalah yang lebih cekap. Tahulah kerja dalam dunia media yang memang warna-warna tetapi setiap benda ada had dan etikanya.

Hmmm, lelaki… lelaki. Tetap spesies yang aneh, kan?

Friday, February 19, 2010

cinta gelap; dara vs suami orang!

Aku pernah menulis beberapa kali mengenai Yusuf dalam SMJ ini. Dan aku tahu ada yang marah-marah aku kerana aku menulis mengenai Yusuf. Ada reaksi keterlaluan daripada beberapa pihak yang mengatakan aku melampau, aku hendak rampas suami orang dan aku perosak rumah tangga orang.

Beberapa kawan rapat yang mengikuti SMJ ‘ketawakan’ aku. “Itulah engkau, tulis dalam blog kena hati-hati, nanti tak pasal-pasal kena ‘serang’. Kalau kena serangan mortar daripada musuh yang dikenali tak apa juga sebab kita tahu hendak balas balik muncung senapang. Tapi kalau serangan daripada orang yang tidak dikenali, susah juga tu! Dalam dunia ini ada macam-macam musuh, musuh dalam selimut pun tak kurang ramai. Takut nanti kau ‘ke dalam’ sebab salah tuju.”

Tetapi ada juga seorang dua rakan kata, ‘drama’ aku menjadi. Helo, aku bukan sengaja-sengaja reka cerita, buat drama, okey! Aku sekadar membalas, “Takkan sampai aku kena buat sidang media untuk menjelaskan keadaan?”

Aku tahu isu ‘Dara VS Suami Orang’ memang sangat sensitif. Sensitif kepada golongan wanita, terutamanya yang sedang bergelar isteri. Sama ada si dara memang ada niat atau langsung tiada niat, orang tetap pandang salah pada si dara itu.

Pelik, lelaki tidak pula dipandang salah walaupun ramai lelaki yang asyik menggatal mengurat perempuan lain. Asyik-asyik perempuan yang salah. Sikit-sikit kata perempuan kalah. Tetapi benda tidak akan jadi kalau mainan sebelah pihak sahaja. Siapa yang memulakan, patutnya orang yang memulakan permainan itulah yang harus ‘digerudi’ dahulu.

Manusia ini memang skeptikal, terkadang rasa tidak adil sungguh! Aduh, nada aku ini sudah semacam pejuang hak asasi wanita pula!

Dalam hati aku kata, aku patut suruh Zamzarina kupas isu ini dalam AKW mengenai isu bercinta dengan suami orang! Heheheh. Boleh tak Cik Zam?

Tuesday, February 16, 2010

peminat rahsia


ADA sekuntum ros merah atas mejaku. Daripada siapa? Aku tidak pasti. Ada sekeping kad kecil disertakan sekali dalam balutan mawar merah. Selamat Hari Kekasih! Demikian bunyinya kad ucapan itu.

Aku malas pedulikan. Siapa yang raikan Hari Kekasih? Aku sendiri secara peribadi tidak pernah pedulikan tarikh ini dan ‘perayaan’ yang disambut pada tarikh ini. Ini bukan perayaan orang Islam, tidak sesuai dengan budaya orang Melayu. Maaflah ya, bukan aku tidak hargai pemberian orang. Tetapi Hari Kekasih itu bukan amalan orang Islam.

Walau bagaimanapun, kepada orang yang bermurah hati menghabiskan duit seringgit dua unutk membelikan sekuntum bunga ros merah untuk aku, terima kasih!

“Ada secret admirer nampak?” Kawan-kawan mengusik.

Aku angkat bahu saja. Sebab namanya ‘secret admirer’, maka aku pun tidak kuasalah hendak beria-ia menyiasat siapa yang memberikan ros setangkai ini kepadaku. Biarlah ia tinggal menjadi rahsia yang tidak penting dalam hidupku!

Tetapi sambil buat kerja dengan ros setangkai berada di depan mata, kadangkala di hati tercuit juga pertanyaan, tangan siapalah yang menghadiahkan bunga ini? Aku pandang sekeliling cuba-cuba ‘mengintai’ kalau-kalau ada sesiapa yang ‘berpotensi’ untuk menjadi peminat rahsia itu. Memanglah mulut kata tidak penting untuk mengetahui siapa yang memberikan hadiah ini, tetapi hati perempuan manalah yang boleh menahan rasa ingin tahu itu. Betul tak?

Namun begitu, aku harus juga berhati-hati. Manalah tahu kalau semua ini hanya gurauan kawan-kawan yang ingin melihat aku ‘syok sendiri’. Heeee, harap-harap tidaklah sampai begitu.

(Sebahagian besar kawan pejabat masih bercuti. Maklum cuti panjang Tahun Baru Cina. Tapi mengenangkan aku ada banyak kerja yang belum selesai, terpaksalah datang juga ke pejabat menyudahkan apa yang patut. Menarik juga bekerja dalam keadaan sunyi sepi dan tidak ramai orang di pejabat. Selamat kembali fokus pada kerja, ilham melimpah-ruah!)

Monday, February 8, 2010

kalau berbudi...

BARU balik dari bertugas luar daerah. Masih kepenatan, bahan bertimbun yang aku bawa balik semua harus diselesaikan, juga borang-borang yang perlu diisi, mesti disiapkan segera.

Empat hari di Perak, aku keluar kampung, masuk kampung untuk melihat aktiviti orang desa. Aku juga asal dari kampung tetapi aku kagum sungguh melihat aktiviti warga desa hari ini. Ketika masih kanak-kanak, aku pernah menganggap, tinggal di kampung bukanlah satu pilihan yang bijak. Maaf, bukan memperlekehkan kampung tetapi aku maksudkan dari segi peluang kerjaya.

Belajar bertahun-tahun di universiti bertungkus-lumus mengejar ijazah dan dalami teori itu ini, takkan selepas itu hendak bekerja di kampung, jadi petani atau penternak? Sekali fikir, rasa seperti tidak praktikal dan tidak berbaloi! Tetapi kali ini, aku amat terbuka mata melihat peluang yang ditawarkan di desa. Betullah kata orang tua-tua, kalau berbakti pada tanah, kita akan dapat ganjaran berlipat kali ganda. Wah, terasa seperti pegawai penerangan pula!

Teringat pula aku pada pokok rambutan kuning milik emak di hadapan rumah kami di kampung. Emak tanam ketika aku baru hendak masuk universiti. Masih terngiang-ngiang katanya, “Emak tanam ni bukan untuk emak. Emak ni entah sempat, entah tidak merasa buah ni. Tapi ini untuk anak-anak dan cucu-cucu emak makan; pelaburan jangka panjang...”

Lebih kurang dua tahun lepas ketika rambutan kuning itu berbuah sulung, emak sempat merasai buah pertamanya. Aku tengok air mata menitik. Terharu agaknya dia sebab berkesempatan merasai hasil tangannya sendiri. Sekarang pokok itu masih memberi hasil, jadi tempat anak-anak buah aku belajar memanjat dan berlagak Tarzan!

Eh, rindu pula pada rambutan kuning emak! Angah rindukan emak juga!

(Terima kasih pada komen & pandangan semua sahabat SMJ dalam entri sebelum ini. Insya-Allah yang baik akan dijadikan panduan. Allah jualah yang akan membalas keikhlasan sahabat-sahabat.)