Thursday, February 25, 2010

apabila lelaki bergosip...


KALI ini aku hendak bercerita mengenai lelaki yang suka mengumpat. Normallah kalau perempuan suka ‘buat ketupat’ tetapi kalau lelaki pun ada yang berpenyakit begini, terasa pelik dan ada benda yang senteng. Tetapi hari ini, tiada benda yang aneh dalam dunia ini.

Seorang kawan sepejabat memberitahu, dia dengar beberapa orang lelaki seronok bergosip di pantri pejabat dan seronok ketawakan orang.

“Adalah mereka sebut dua tiga nama kawan kita. Termasuk nama kau. Aku dengar mereka kata kau perasan lawa, jual mahal tak tentu pasal. Bukan main seronok lagi mereka ketawa besar selepas tu!” kata kawanku lagi.

“Aku perasan, aku jual mahal, aku punya sukalah! Apa yang dia orang sakit hati sangat? Mengatalah sepuas hati. Nanti semua pahala mereka pindah kat aku!” begitu aku balas dengan nada sakit hati juga.

“Pasal bunga yang kau dapat hari tu, aku rasa itu game budak-budak lelaki ni semua. Hati-hati, dia orang memang suka mainkan orang, kadang-kadang dia orang bertaruh sesama dia orang!” dengar macam kawanku beri pendapat yang ikhlas.

Okey, terima kasih sebab ingatkan aku!

Selama ini aku kurang ambil perhatian dengan gelagat sesetengah kakitangan lelaki ini. Tidak kena batang hidung sendiri, jadi tak ada sebab nak ambil tahu walaupun aku dengar memang ada beberapa orang yang ‘nakal’ sikit dan suka mengenakan orang.

Kalau depan aku, bukan main mereka bersopan menegur. Itu yang kadangkala aku rasa mereka memang ‘plastik’, pandai berlakon. Apa kata pepatah yang selalu emak cakap? Pepat di luar, rencong di dalam; di luar nampak baik tetapi hatinya jahat! (Kadangkala rasa mak aku ini macam Karam Singh Walia pula, banyak sungguh hafal pepatah dan bidalan!)

Kalau aku kata lelaki di tempat kerja aku ini tidak gentleman, ada pula yang marah nanti. Tetapi memang ada segelintir yang perangai begitu. Dengki agaknya, tak boleh tengok perempuan lebih sedikit daripada mereka. Bab bergosip, merekalah yang lebih cekap. Tahulah kerja dalam dunia media yang memang warna-warna tetapi setiap benda ada had dan etikanya.

Hmmm, lelaki… lelaki. Tetap spesies yang aneh, kan?

Friday, February 19, 2010

cinta gelap; dara vs suami orang!

Aku pernah menulis beberapa kali mengenai Yusuf dalam SMJ ini. Dan aku tahu ada yang marah-marah aku kerana aku menulis mengenai Yusuf. Ada reaksi keterlaluan daripada beberapa pihak yang mengatakan aku melampau, aku hendak rampas suami orang dan aku perosak rumah tangga orang.

Beberapa kawan rapat yang mengikuti SMJ ‘ketawakan’ aku. “Itulah engkau, tulis dalam blog kena hati-hati, nanti tak pasal-pasal kena ‘serang’. Kalau kena serangan mortar daripada musuh yang dikenali tak apa juga sebab kita tahu hendak balas balik muncung senapang. Tapi kalau serangan daripada orang yang tidak dikenali, susah juga tu! Dalam dunia ini ada macam-macam musuh, musuh dalam selimut pun tak kurang ramai. Takut nanti kau ‘ke dalam’ sebab salah tuju.”

Tetapi ada juga seorang dua rakan kata, ‘drama’ aku menjadi. Helo, aku bukan sengaja-sengaja reka cerita, buat drama, okey! Aku sekadar membalas, “Takkan sampai aku kena buat sidang media untuk menjelaskan keadaan?”

Aku tahu isu ‘Dara VS Suami Orang’ memang sangat sensitif. Sensitif kepada golongan wanita, terutamanya yang sedang bergelar isteri. Sama ada si dara memang ada niat atau langsung tiada niat, orang tetap pandang salah pada si dara itu.

Pelik, lelaki tidak pula dipandang salah walaupun ramai lelaki yang asyik menggatal mengurat perempuan lain. Asyik-asyik perempuan yang salah. Sikit-sikit kata perempuan kalah. Tetapi benda tidak akan jadi kalau mainan sebelah pihak sahaja. Siapa yang memulakan, patutnya orang yang memulakan permainan itulah yang harus ‘digerudi’ dahulu.

Manusia ini memang skeptikal, terkadang rasa tidak adil sungguh! Aduh, nada aku ini sudah semacam pejuang hak asasi wanita pula!

Dalam hati aku kata, aku patut suruh Zamzarina kupas isu ini dalam AKW mengenai isu bercinta dengan suami orang! Heheheh. Boleh tak Cik Zam?

Tuesday, February 16, 2010

peminat rahsia


ADA sekuntum ros merah atas mejaku. Daripada siapa? Aku tidak pasti. Ada sekeping kad kecil disertakan sekali dalam balutan mawar merah. Selamat Hari Kekasih! Demikian bunyinya kad ucapan itu.

Aku malas pedulikan. Siapa yang raikan Hari Kekasih? Aku sendiri secara peribadi tidak pernah pedulikan tarikh ini dan ‘perayaan’ yang disambut pada tarikh ini. Ini bukan perayaan orang Islam, tidak sesuai dengan budaya orang Melayu. Maaflah ya, bukan aku tidak hargai pemberian orang. Tetapi Hari Kekasih itu bukan amalan orang Islam.

Walau bagaimanapun, kepada orang yang bermurah hati menghabiskan duit seringgit dua unutk membelikan sekuntum bunga ros merah untuk aku, terima kasih!

“Ada secret admirer nampak?” Kawan-kawan mengusik.

Aku angkat bahu saja. Sebab namanya ‘secret admirer’, maka aku pun tidak kuasalah hendak beria-ia menyiasat siapa yang memberikan ros setangkai ini kepadaku. Biarlah ia tinggal menjadi rahsia yang tidak penting dalam hidupku!

Tetapi sambil buat kerja dengan ros setangkai berada di depan mata, kadangkala di hati tercuit juga pertanyaan, tangan siapalah yang menghadiahkan bunga ini? Aku pandang sekeliling cuba-cuba ‘mengintai’ kalau-kalau ada sesiapa yang ‘berpotensi’ untuk menjadi peminat rahsia itu. Memanglah mulut kata tidak penting untuk mengetahui siapa yang memberikan hadiah ini, tetapi hati perempuan manalah yang boleh menahan rasa ingin tahu itu. Betul tak?

Namun begitu, aku harus juga berhati-hati. Manalah tahu kalau semua ini hanya gurauan kawan-kawan yang ingin melihat aku ‘syok sendiri’. Heeee, harap-harap tidaklah sampai begitu.

(Sebahagian besar kawan pejabat masih bercuti. Maklum cuti panjang Tahun Baru Cina. Tapi mengenangkan aku ada banyak kerja yang belum selesai, terpaksalah datang juga ke pejabat menyudahkan apa yang patut. Menarik juga bekerja dalam keadaan sunyi sepi dan tidak ramai orang di pejabat. Selamat kembali fokus pada kerja, ilham melimpah-ruah!)

Monday, February 8, 2010

kalau berbudi...

BARU balik dari bertugas luar daerah. Masih kepenatan, bahan bertimbun yang aku bawa balik semua harus diselesaikan, juga borang-borang yang perlu diisi, mesti disiapkan segera.

Empat hari di Perak, aku keluar kampung, masuk kampung untuk melihat aktiviti orang desa. Aku juga asal dari kampung tetapi aku kagum sungguh melihat aktiviti warga desa hari ini. Ketika masih kanak-kanak, aku pernah menganggap, tinggal di kampung bukanlah satu pilihan yang bijak. Maaf, bukan memperlekehkan kampung tetapi aku maksudkan dari segi peluang kerjaya.

Belajar bertahun-tahun di universiti bertungkus-lumus mengejar ijazah dan dalami teori itu ini, takkan selepas itu hendak bekerja di kampung, jadi petani atau penternak? Sekali fikir, rasa seperti tidak praktikal dan tidak berbaloi! Tetapi kali ini, aku amat terbuka mata melihat peluang yang ditawarkan di desa. Betullah kata orang tua-tua, kalau berbakti pada tanah, kita akan dapat ganjaran berlipat kali ganda. Wah, terasa seperti pegawai penerangan pula!

Teringat pula aku pada pokok rambutan kuning milik emak di hadapan rumah kami di kampung. Emak tanam ketika aku baru hendak masuk universiti. Masih terngiang-ngiang katanya, “Emak tanam ni bukan untuk emak. Emak ni entah sempat, entah tidak merasa buah ni. Tapi ini untuk anak-anak dan cucu-cucu emak makan; pelaburan jangka panjang...”

Lebih kurang dua tahun lepas ketika rambutan kuning itu berbuah sulung, emak sempat merasai buah pertamanya. Aku tengok air mata menitik. Terharu agaknya dia sebab berkesempatan merasai hasil tangannya sendiri. Sekarang pokok itu masih memberi hasil, jadi tempat anak-anak buah aku belajar memanjat dan berlagak Tarzan!

Eh, rindu pula pada rambutan kuning emak! Angah rindukan emak juga!

(Terima kasih pada komen & pandangan semua sahabat SMJ dalam entri sebelum ini. Insya-Allah yang baik akan dijadikan panduan. Allah jualah yang akan membalas keikhlasan sahabat-sahabat.)

Tuesday, February 2, 2010

kalahkah aku?

AKHIRNYA aku cair dan kalah juga. Dalam berkeras tidak mahu menerima ajakan Yusuf untuk keluar bersama, akhirnya aku terima juga ajakan dia. Setiap hari dia asyik IM bertanya, bila ada masa untuk keluar makan dengan dia, aku rasa tidak boleh hendak menolak lagi.

Susah hendak tolak apabila beberapa kali dia asyik menyindir aku jual mahal dan perasan bagus. “Ajak keluar makan saja, bukannya ajak kahwin. Saya sudah ada isteri, tak berhajat nak pasang satu lagi!” Begitu lebih kurang dia menulis dalam IM, sungguh-sungguh buat aku sakit hati. Di hujung ayat, dia selitkan ikon ‘ketawa besar’, buat hati aku lebih terbakar!

Apabila dia sudah sampai ke peringkat ‘mengutuk’ dan ‘mencemuh’, aku pun rasa tercabar juga. Dia ingat dia bagus sangat? Aku terima ajakan dan cabarannya. Rasanya macam aku hendak kata pada dia, “Saya tak hairanlah dengan awak. Kalau awak bukan suami orang pun, saya tak hendak pada awak!”

Tetapi akhirnya aku tidak luahkan kata-kata itu. Aku simpan sendiri saja. Kalau hendak berbahasa pun, biarlah berpada-pada. Jangan nanti, aku dimakan sumpah kata-kata aku sendiri!

Kami keluar. Destinasi luar, bukan di kafe pejabat. Dia yang beria-ia sangat hendak belanja aku di tempat kegemarannya. Orang hendak belanja, aku turutkan saja. Aku cakap pada diri sendiri, keluar makan sahaja okey! Betulkan hati, luruskan niat! Sesekali fikir, aku rasa seperti aku ini bereaksi keterlaluan pula pada sebuah ajakan untuk keluar makan. Tentu dia fikir, aku over acting, macam bagus sangat diri tu!

Makan, minum sambil bersembang-sembang. Macam-macam cerita pula yang keluar, termasuk hal ehwal pejabat. Paling aku tersentak apabila dia kata, dia pernah dengar gosip suatu ketika dahulu (ketika dia masih bujang) bahawa Sali memang minatkan dia. Dia cerita dalam nada ketawa sambil dia sambung, “Saya rasa, dulu saya pun agak minatkan awak, Sali!”

Apa yang aku rasa? Entahlah…

(Okey, aku tahu ada kawan yang akan marahkan aku sebab keluar juga dengan lelaki itu tetapi aku harap-harap ini kali pertama dan terakhir. Titik!)