Monday, March 29, 2010

mesti walau tidak wajib!

Kawan-kawanku di pejabat selalu berkata, mereka tiada masa untuk membaca. Maksud mereka; membaca buku. Walaupun membaca adalah perkara yang mesti pada pengamal media tetapi hakikatnya tidaklah sampai ke tahap wajib. Selalu yang jadi amalan, kita setakat baca produk sendiri untuk meneliti kekuatan kelemahan sendiri.

Kalau lebih sedikit, kita baca pula produk pesaing untuk meninjau kekuatan dan kelemahan mereka. Kalau dia buat akhbar, dia hanya baca akhbar sendiri dan sesekali belek akhbar syarikat pesaing untuk mencari apa yang patut. Kalau dia buat majalah pula, selain baca majalah sendiri, dia baca jugalah satu dua majalah yang jadi pesaingnya untuk tujuan sama. Setakat itu sahajalah.

Di kalangan rakan-rakan perempuanku, mereka selalu berkata, tiada masa hendak membaca! “Awak lainlah, tak ada siapa yang dijaga. Kami yang sudah beranak-pinak, banyak orang minta perhatian. Balik ke rumah hendak layan anak, layan suami, masak, kemas rumah - jadi berapa saja masa yang tinggal untuk membaca?”

Oh, begitukah? Aku buat muka kagum dan tercengang sahaja. Bunyinya macamlah orang bujang seperti aku ini tidak ada kerja dan punya banyak sangat masa lapang!
Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih kan? Itu pendapat mereka, terpulanglah.

Aku baru habiskan beberapa ratus RM dalam kunjungan pertama ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC minggu lalu. Terkurung di pejabat menghadap kerja yang tidak selesai-selesai, aku ambil keputusan ‘lari sekejap’ ke sana. Asal niat hendak berjalan-jalan cuci mata sahaja sebab aku fikir, aku akan pergi sekali lagi sebelum Pesta Buku berakhir. Tetapi aku gagal tahan ‘nafsu membeli’.

Sesetengah orang membeli barang kemas, kasut Jimmy Choo atau beg Louis Vuitton yang cecah harga ribuan RM sebagai terapi minda. Tetapi bagi aku, cukuplah dengan membeli dan membaca buku sebagai ubat stress.

Pilihan aku; buku-buku motivasi dan self-improvement tetapi kebelakangan ini aku mula berjinak-jinak dengan novel-novel Melayu yang menggunakan bahasa yang baik, yang membawa kisah moral yang baik dan tinggi estetikanya. Tidak kisahlah dari penerbit manapun, asalkan bukunya baik dan membina minda.

Jadi, kawan-kawan, marilah kita membaca!

Monday, March 22, 2010

30 Tahun Sudah!


Pagi Sabtu lepas. Selamat hari jadi ke-30 untuk diri sendiri. Aku sedang buat kerja ketika tiba-tiba kawan-kawanku muncul menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dengan sebuah kek. Alahai, kawan-kawanku! Terharu sungguh aku dibuatnya, rasa mahu menitik air mata. Patutlah semalam, kawan-kawanku bertanya aku bekerja atau tidak hari ini; rupa-rupanya mereka hendak buat kejutan untuk aku!

Ucapan kawan-kawan menyentuh hati aku. “Selamat panjang umur, selamat berjaya dunia akhirat, moga cepat dapat jodoh” – aku aminkan dalam hati. Moga doa kawan-kawan jadi sumber kekuatan untuk aku meneruskan kehidupan. Dan ucapan yang sama juga aku tujukan, aku doakan untuk mereka yang menyambut hari jadi pada tarikh yang sama dengan aku.

Usia 30 bagi wanita adalah usia matang. Itu yang selalu aku dengar. Kalau lelaki mencapai usia kematangan pada usia 40 (jangan marah ya, lelaki!) tetapi wanita pada usia 30-an. Aku harap usia ini akan memberikan nilai tambah pada usaha aku, untuk menjadi wanita yang lebih baik dari segi mental dan fizikal.

Sekali fikir, memang terasa aku ketinggalan beberapa perkara dalam umur yang sudah menjangkau 30 tahun ini. Emak aku dulu, usia 30 tahun sudah hampir cukup empat orang anaknya. Tetapi aku ini, usia sudah 30 tahun, calon suami pun belum ada. Tetapi tidak mengapa, seperti yang selalu aku ingatkan diri sendiri; kita tidak akan dapat semuanya sekali gus. Semuanya ada hikmah tersendiri yang kita tidak tahu.

Ya Allah, terima kasih kerana beri kesempatan pada aku untuk bernafas lagi, terima kasih kerana berikan aku kesihatan yang baik, terima kasih atas segala-galanya. Aku hanya mahu usia yang diberkati!

Friday, March 19, 2010

Protege


Kerja tidak habis-habis. Teringat kata-kata dalam iklan di radio, “Selagi belum tutup mata; kerja, kerja, kerja!” Alhamdulillah, aku masih kuat semangat untuk bekerja. Sementelahan tugas pun semakin bertambah, jadi memang tidak sempat untuk duduk-duduk sahaja. Cuma kadangkala apabila sudah terlalu stres dengan kerja, blog SMJ inilah penawarnya.

Baru-baru ini suatu sistem baru diperkenalkan oleh jabatan – ala-ala sistem mentor-protege. Pekerja senior akan bertindak sebagai buddy kepada orang baru. Tujuannya sebagai pemudah cara, untuk beri tunjuk ajar, bimbingan, apa sahaja yang patut dan wajar kepada orang baru. Alahai, idea siapalah sistem ini? Sebenarnya aku sudah dengar lama sudah mengenai sistem ini, hanya tidak dilaksanakan. Baru sekarang hendak dikuatkuasakan.

Tidak kisahlah. Sekadar berkongsi idea, pengalaman, sedikit sebanyak tunjuk ajar dengan orang baru, bukanlah masalah besar. Jaga-jagalah siapa yang jadi mentee aku itu. Aku ini garang sedikit, cengil kata adik-adik. Tanyalah adik-adik aku, dulu-dulu masa zaman sekolah, telinga mereka memang pijar selalu kena tarik. Maklumlah anak perempuan sulung, aku memang lebih garang daripada along aku.

Berdebar-debar jugalah menunggu siapalah yang bakal jadi protege aku. Kawan-kawan asyik tergelak dan mengutuk, “Bukan main, ala-ala program mencari bintang dalam program realiti televisyen.” Ada-ada saja kawan-kawan aku ini. “Kau nak jadi macam siapa, Sali? Mas Idayu?” Usik mereka. Hahahah, tergelak aku dengar kata-kata mereka.

Hendak tahu siapa protege aku? Alahai, budak lelaki berhingus yang hendak jadikan aku sebagai sumber inspirasinya tempoh hari. Tersengih-sengih dia datang bertemu dengan aku untuk ‘sesi taaruf’. Layan sajalah, sudah tanggungjawab.

Sempat aku beri sedikit peringatan padanya, “Saya profesional dan saya mahu awak pun begitu. Kalau saya tegur apa-apa, bukan sebab nak menjatuhkan tetapi untuk kebaikan awak. Boleh terima?”

Dan dia dengan muka selambanya membalas, “Saya sedia dan sanggup. Buatlah apa saja, Cik Sali, saya memang perlukan bimbingan!”

Amboi! Terasa seperti ada makna berganda tetapi aku malas hendak fikir lain. Aku ingatkan diri sendiri; tanggungjawab, ini tanggungjawab!

Tuesday, March 16, 2010

Siapa Sumber Inspirasi Anda?

Seorang rakan sepejabat mengadu, dia rasa kehilangan dalam hidup. Kes putus cinta, ditinggalkan teman wanita? Bukan! Kata rakan ini, dahulu dia selalu rasa bersemangat untuk hidup, celik mata waktu pagi terasa sangat teruja untuk ke pejabat. Apa sahaja tugasan yang diberikan oleh ketua, akan disambut tanpa banyak soal dan diselesaikan sehabis baik.

Tetapi sekarang, semangat yang meluap-luap itu sudah malap. Bangun pagi terasa liat sangat. Bersiap hendak ke pejabat, seperti mahu tak mahu saja. Tengok bumbung pejabat pun sudah rasa tidak seronok. Segala tugasan yang diberikan bos dibuat asal siap saja. Huh! Apa sudah jadi? Macam parah dengarnya...

Aku bukanlah pandai dalam hal nasihat-menasihati. (Diri sendiri pun tidak ternasihat, macam mana hendak nasihatkan orang?) Tetapi kerana rakanku ini nampak seperti susah hati sangat, maka terpaksalah aku menjadi pendengar setia, tadah telinga untuknya.

Sejak sebulan dua ini, dia rasa semangatnya sudah menurun. Kadangkala katanya, terasa macam hendak berhenti kerja. Sudah tidak seronok bekerja. Terasa macam semuanya sudah tidak menarik lagi. Amboi, umurnya baru 26 tahun, baru setahun lebih bekerja, takkan sudah jemu? Aku ini sudah lima tahun bekerja, masih kuat semangat dan masih berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan diri.

Hai, kalau tak ada angin takkan pokok bergoyang? Tentu ada sebab yang menjadikan dia tiba-tiba hilang semangat. Entahlah, budak-budak sekarang, kadangkala malasnya lebih daripada segala-gala. Kadangkala aku rasa seperti hendak berleter tetapi kalau aku berleter, dia tentu kata, aku ini seperti emak dia pula!

Aku sengaja bagi cadangan padanya (sekadar cadangan remeh bagiku), “Apa kata awak cari seorang sumber inspirasi di pejabat kita ni. Seseorang yang positif, yang awak rasa, boleh awak contohi supaya awak jadi bersemangat seperti dia juga!”

Dan dengan muka selamba, dia kata pada aku, “Boleh tak saya jadikan Cik Sali sebagai sumber inspirasi saya?”

Hai, entahlah dik...! Macam-macam perangai manusia sekarang!

Tuesday, March 9, 2010

Malunya mak!


Kalian pernah alami peristiwa yang memalukan? Aduh, memang inilah dugaan ujian sebagai manusia! Sekali terkenang, rasa malu besar. Dua kali teringat, rasa hendak ketawa terbahak-bahak.

Aku selesai hadiri sidang media pelancaran produk di sebuah hotel di ibu kota. Pelancaran produk kecantikan terkenal; tidak perlulah sebut nama produk itu, nanti jadi iklan percuma pula, lagipun aku bukanlah hendak cerita mengenai produk berkenaan.

Konon hendak tunjuk feminin tetapi elegan dengan sentuhan wanita korporat, aku tampil dengan skirt labuh sempit, kot dan skarf merah jambuku yang dililit di leher. Rakan menegurku, “Engkau ni mengalahkan taukeh produk pula!” tetapi aku buat tidak kisah. Feminin ayu katakan!

Aku antara orang yang keluar agak lewat kerana sibuk mengejar para VIP dalam majlis. Terlupa pula aku datang ke majlis menumpang kereta kawan. Kawanku sudah turun ke tempat letak kereta tetapi aku masih sibuk bertukar-tukar kad perniagaan dalam majlis.

Mereka kalut menelefon mengajak aku balik dan mahu tidak mahu, aku terpaksa menurut mereka untuk segera balik. Kuala Lumpur sekarang musim hujan, pantang petang segala hujan ribut angin taufan menyerang tanpa isyarat. Kalau terlambat, bimbang terperangkap di jalan raya. Nasib tambah malang kalau kena banjir kilat.

Aku kelam-kabut capai barang-barang dan tergesa-gesa berlari mencari lif. Sampai di tangga hotel yang berbatu marmar dan berkilat licin, semasa hendak langkah turun, entah di mana silapnya, aku terpelecok dan terus jatuh terduduk. Aduh... rasa merah muka mak! Bertabur barang-barang atas tangga. Tak tahulah apa yang aku fikir masa tu, terasa macam hendak lari dan sorok muka dalam tandas!

Malu sungguh. Entah dari mana pula, hendak jadikan kisah ini lebih dramatik; seorang lelaki ganteng tiba-tiba tercegat depan aku. “Cik okey?” dia tanya aku dengan muka selamba. Dia tolong aku kutip barang-barang dan serahkan pada aku. “Cik betul-betul okey, tak tergeliat, tak patah, tak apa-apa?” lagi dia tanya dengan muka selambanya. (Aku ingat budak lelaki ganteng ini memang pekerja hotel yang tiada perasaan!)

Terhencot-hencot aku berjalan ke tempat letak kereta. Kawan-kawan aku dalam kereta bertanya kenapa aku jalan senget. “Jangan tanya!” aku balas dengan muka masam. Sampai di pejabat, melihat aku jalan terhencot-hencot, sekali lagi kawan-kawan pejabat bertanya. Dan aku jawab lagi, “Jangan tanya!”

Tetapi aku tidak dapat tahan senyuman ketika menulis ini. Jangan tanya kenapa aku senyum!

Tuesday, March 2, 2010

Cik Nul kawan baikku!


Terima e-mel daripada kawan baik aku yang sudah beberapa tahun putus hubungan. Terkejut juga, sebab dia ini memang tenggelam timbul beberapa tahun lamanya. Kali terakhir, kami jumpa tiga tahun lepas sebelum dia berangkat ke Dubai kerana dapat kerja di sana.

Paling mengejutkan aku dalam e-mel ini, apabila dia sertakan bersama; kad undangan perkahwinannya. Oh! Sudah mahu kahwin rupa-rupanya kawan baik aku ini. Tahniah Cik Nul, kau kahwin dulu daripada aku! Tak aci sungguh!

Ada banyak kenangan aku dengan Cik Nul. Dulu kami satu bilik, banyak aktiviti kami lakukan bersama-sama walaupun berlainan fakulti. Dia pelajar kejuruteraan, rakan sekelasnya memang ramai lelaki dan dia pun lasak macam lelaki juga. Berpakaian pun selalunya seperti lelaki. Memang sangat berbeza dengan aku yang feminin dan peminat merah jambu. Dia selalu kutuk kesukaan aku pada warna merah jambu tetapi dalam pada itu, kami sangat serasi.

Kata dia, dia jadi begitu, mungkin sebab ibu bapanya hendak sangat anak lelaki dan dia selalu dipakaikan baju lelaki sejak kecil. Masa kami tahun akhir, katanya, dia tidak terfikir langsung hendak berkahwin sebab dia yakin tiada lelaki yang minat dia sebab penampilannya itu.

Ada satu kenangan yang aku tidak boleh lupa berlaku pada kami. Sebab kami akrab sangat; kami pernah digelar lesbian! Dengan personaliti kami yang jauh berbeza; yang seorang jantan habis, yang seorang lagi alahai femininnya; memang tak hairanlah kami digelar begitu.

Paling tidak tahan, apabila beberapa orang senior ‘geng surau’ datang ke bilik kami dengan misi untuk memberikan nasihat agar kami bertaubat! Terkebil-kebil kami menerima kunjungan hormat itu. Selepas mereka berlalu, Cik Nul hentam ketawa terbahak-bahak, bersungguh-sungguh, berguling-guling sampai sakit-sakit perut!

Apa pun, selamat pengantin baru, Cik Nul. Ainul, Ainul...kau memang mengejutkan aku. Alhamdulillah, akhirnya bakal bergelar isteri juga kau!