Tuesday, March 16, 2010

Siapa Sumber Inspirasi Anda?

Seorang rakan sepejabat mengadu, dia rasa kehilangan dalam hidup. Kes putus cinta, ditinggalkan teman wanita? Bukan! Kata rakan ini, dahulu dia selalu rasa bersemangat untuk hidup, celik mata waktu pagi terasa sangat teruja untuk ke pejabat. Apa sahaja tugasan yang diberikan oleh ketua, akan disambut tanpa banyak soal dan diselesaikan sehabis baik.

Tetapi sekarang, semangat yang meluap-luap itu sudah malap. Bangun pagi terasa liat sangat. Bersiap hendak ke pejabat, seperti mahu tak mahu saja. Tengok bumbung pejabat pun sudah rasa tidak seronok. Segala tugasan yang diberikan bos dibuat asal siap saja. Huh! Apa sudah jadi? Macam parah dengarnya...

Aku bukanlah pandai dalam hal nasihat-menasihati. (Diri sendiri pun tidak ternasihat, macam mana hendak nasihatkan orang?) Tetapi kerana rakanku ini nampak seperti susah hati sangat, maka terpaksalah aku menjadi pendengar setia, tadah telinga untuknya.

Sejak sebulan dua ini, dia rasa semangatnya sudah menurun. Kadangkala katanya, terasa macam hendak berhenti kerja. Sudah tidak seronok bekerja. Terasa macam semuanya sudah tidak menarik lagi. Amboi, umurnya baru 26 tahun, baru setahun lebih bekerja, takkan sudah jemu? Aku ini sudah lima tahun bekerja, masih kuat semangat dan masih berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan diri.

Hai, kalau tak ada angin takkan pokok bergoyang? Tentu ada sebab yang menjadikan dia tiba-tiba hilang semangat. Entahlah, budak-budak sekarang, kadangkala malasnya lebih daripada segala-gala. Kadangkala aku rasa seperti hendak berleter tetapi kalau aku berleter, dia tentu kata, aku ini seperti emak dia pula!

Aku sengaja bagi cadangan padanya (sekadar cadangan remeh bagiku), “Apa kata awak cari seorang sumber inspirasi di pejabat kita ni. Seseorang yang positif, yang awak rasa, boleh awak contohi supaya awak jadi bersemangat seperti dia juga!”

Dan dengan muka selamba, dia kata pada aku, “Boleh tak saya jadikan Cik Sali sebagai sumber inspirasi saya?”

Hai, entahlah dik...! Macam-macam perangai manusia sekarang!

7 comments:

Diarihatiku1976 said...

saya mengalami masalah yg sama... tapi saya perasan masalah saya ini timbul bermula dari persekitaran kerja yg tidak seronok.. keadaaan bos yg terlalu lembut... yg tak amik kisah...yg sentiasa play safe... sedangkan saya dah biasa kerja yg mempunyai persekitaran yg happy... teratur, disiplin tinggi...pantas dsbnya..

Lifesaver said...

maybe dia dismotivate sbb hal2 tertentu...saya rasa cdgn cik sally tu baik.maybe dia perlukan perubahan..perlu anjakan...

nursari said...

Apa kata hijrah? Cari je kerja lain yang lebih menyeronokkan. Kadang-kadang budak2 muda ni sukakan cabaran pada mereka energy tidak tahu nak salur ke mana itulah sebabnya jadi murung.

~Kak AZZ~ said...

Budak skang ni manja sangat.. Nak kan lebih perhatian walaupun hasil kerja tak seberapa... Mudah sgt jemu...

Akak dulu takde lak nak tukar2 kerja... Setia pada satu syarikat je walaupun gajinya amat la ciputtt... Yg penting hepi dgn kerja dan persekitaran... Sesekali merasa bosan tu adat la...

Normah said...

kerja tak cukup mencabarla tu, atau tersangat mencabar sampai jadi menyampah dan boring sesangat. pergilah jumpa kaunselor. mungkin personaliti tak selaras dengan kerjaya, sebab tula tak ada kepuasan bekerja.

nora_idora said...

low morale,mungkin disebabkan environment nyer terlalu sugul dan membosankan jadi perasaan itu bangkit setiapkali melangkah utk ke tempat tugas..memandangkan usianya terlalu muda dan perjalanan masih jauh dicadangkan pergi mencari kerja yang lain.

kak cabai said...

sumber inspirasi yang paling tepat ialah Rasullullah saw. Baginda tidak pernah merasa jemu dgn tugas baginda hingga akhir hayat. jadikan baginda sebagai sumber inspirasi anda setiap masa.Insya-Allah anda akan sentiasa bersemangat dalam melakukan tugas setiap masa.