Thursday, September 24, 2009

soalan favourite: bila nak kahwin?


RAYA tahun ini sama sahaja seperti sebelum ini. Pagi raya kami adik beradik ke masjid, kemudian ziarah kubur arwah abah dan nenek, kemudian balik rumah. Kanak-kanak sudah menunggu hendak beraya (bukan hendak makan sangat, tetapi hendak duit raya). Aku selalu fikir, betapa budak-budak sekarang begitu materialistik! Hehehe

Cuti seminggu, kadangkala dalam hati rasa hendak cepat-cepat balik ke KL. Cuti lama-lama di kampung bukannya seronok sangat! Hesy, derhaka sungguh kenyataan aku ini! Kalau emak aku dengar, harus dia kecil hati.

Bukan apa, aku teramatlah malas untuk mendengar pertanyaan orang; bila hendak kahwin? Raya pertama tempoh hari, mak long bertanya soalan itu, aku jawab dengan muka selamba, “Kalau tak kahwin, boleh tak?” Mak long menjeling aku, “Apa cakap macam tu!”

Kemudian sepupu aku tanya soalan yang lebih kurang senada. Sepupu aku ini muda dua tahun daripada aku tetapi sudah ada tiga anak berderet. Bosan dengan soalannya, aku balas dengan jawapan bodoh, “Kau jangan asyik desak kak ngah supaya kahwin. Nanti kak ngah ngurat suami kau, baru kau padan muka!”

Terdiam dia! Hehehe, maaflah Milah. Kak ngah bergurau saja!

Friday, September 18, 2009

demam raya


Semua orang sudah demam hari raya. Di pejabat, asyik lagu raya sahaja yang dipasang. Mood bekerja pun sudah tidak tentu arah. Aku sebenarnya diburu deadline tetapi lagu raya yang asyik berkumandang ini buat hati aku asyik teringat cuti.

Tidak mengapalah, rehat sekejap beberapa minit untuk kemas kini blog aku ini. Tetapi apa yang aku hendak tulis?

Isy! Sambung kerja baliklah!

Wednesday, September 9, 2009

bukan rezeki saya

Kak Rose ketua lama, belanja kami satu jabatan berbuka puasa di rumahnya. Dia sudah lama berjanji untuk belanja kami apabila dia dinaikkan pangkat tempoh hari. Malangnya kami tidak berkesempatan untuk berkumpul sekali.

Akhirnya dia putuskan untuk belanja kami berbuka di rumahnya. Semua yang pernah bekerja di bawah seliaannya dahulu kebanyakannya hadir. Katanya, dia rindukan kami, yang selalu buat bantu dia dan selalu menemaninya tengah malam buta kalau dia sedang dikejar deadline majalah.

Kami pun suka dengan Kak Rose sebab dia memang ketua yang sangat sporting dan murah hati membimbing.

Kak Rose ada bisik pada aku mengenai ketua baru yang datang ke jabatan kami. Katanya, “Hari tu Kak Rose cadangkan Sali untuk gantikan tempat Kak Rose. Kak Rose rasa Sali dah layak untuk dinaikkan pangkat. Tapi tak sangka pula pihak pengurusan hantar orang lain...”

Tidak mengapalah Kak Rose. Bukan rezeki saya. Itu sahaja jawapan aku pada Kak Rose. Walaupun aku sedikit hampa, tetapi tidak mengapalah. Kalau sudah bukan rezeki, makanan dalam mulut pun boleh terlompat keluar!