Wednesday, April 28, 2010

maut memisahkan kita...al-Fatihah!

Maaf, aku terasa lama juga blog ini terabai. Aku tidak sempat pun hendak menjenguk blog ini seminggu dua ini kerana sibukkan hal lain. Hal apa itu?

Nenek yang aku sayangi meninggal dunia minggu lepas. Mak Su yang tinggal bersama nenek menghubungi aku awal pagi, ketika aku sedang bersiap-siap hendak ke pejabat memaklumkan hal nenek. Nenek meninggal dunia dalam tidur. Subuh ketika Mak Su kejutkannya untuk solat subuh, Mak Su dapati nenek sudah tiada, namun tubuh nenek kata Mak Su, masih panas ketika itu.

“Nenek meninggal dunia dalam keadaan baik, Kak Ngah. Kita doakan dia ya,” demikian kata Mak Su. Aku anggap bahawa itu caranya Mak Su ingin katakan bahawa, kita mesti redhai pemergian nenek.

Ketika aku letak telefon, menitik juga air mata aku. Aku duduk termenung di sofa beberapa minit. Aku cuba tenangkan hati. Aku beritahu diri sendiri, relakan dia pergi, relakan!

Aku sebetulnya ada banyak kenangan dengan nenek sebelah arwah ayah ini. Ketika aku kecil dahulu (sekolah rendah) aku pernah tinggal dengan nenek selama beberapa tahun. Aku pun tidak pasti mengapa aku ditinggalkan dengan nenek tetapi tidak kisahlah, aku sudah pun membesar jadi manusia sekarang!

Jadi sepanjang minggu lalu, aku balik kampung nenek. ‘Cuti ehsan’ selama tiga hari, aku tambah dengan cuti sendiri. Emak dan adik-beradik aku semua sudah balik rumah sendiri, tinggal aku sahaja di rumah Mak Su. Tidak sempat berbakti pada allahyarham nenek di hujung hayatnya, itu yang aku rasa kesal sedikit.

Hari ini, selepas bercuti lama dan bercuti berblog juga, aku balik bekerja. Tak ada moodlah hendak bekerja! Macam mana ya?

Thursday, April 8, 2010

Anak Emak!

MAMAT, mentee aku sudah menunggu ketika sampai ke pejabat. Takkanlah pagi-pagi hari lagi sudah hendak mengadu masalah? Memanglah antara mentor-mentee ini tiada protokol apa-apa, terpulang pada kesesuaian masa dan peraturan sendiri, tetapi kalau pagi-pagi hari sudah datang menghadap mentor, terasalah keanehannya.

Oh, rupa-rupanya, dia tunggu aku bukan hendak mengadu masalah tetapi hendak mengajak aku bersarapan dengan dia. Bertuah sungguh!

“Saya tak ada masalah sekarang. Hati saya sedang berbunga. Jadi saya nak ajak Cik Sali raikan kegembiraan saya!” katanya pada aku. Berkerut dahi aku memikirkan maksud kata-katanya. Makna selapis atau berlapis-lapis? Aku rasa si Mamat ini lebih layak jadi pengarang novel daripada jadi wartawan yang lurus betul!

Orang hendak belanja, aku turut sahajalah. Sambil makan-makan, aku dengar dia bercerita mengenai dirinya. Anak bongsu, dia anak lelaki tunggal dengan dua orang kakak. Anak emak dia ini, hati nakal aku berdetik. Tetapi daripada cara dia bercerita keakraban dia dengan emaknya jelas menunjukkan betapa dia amat sayangkan emaknya dan mengambil berat mengenai emaknya.

Baguslah anak lelaki rapat dengan emak. Biasanya orang sibuk menjaga anak perempuan, perempuan tidak boleh buat itu, tidak boleh buat ini, itu tidak manis, ini tidak elok – segala-galanya perempuan. Tetapi anak lelaki tidak pula dikisah – anak lelaki balik tengah malam buta emak bapa tidak kata apa-apa, anak lelaki lepas makan tinggalkan pinggan atas meja juga tidak ditegur. Alasan; dia lelaki. Agaknya sebab cuai jaga anak lelaki, salah satu faktor penyebab ramai lelaki jadi pelajar Universiti Serenti!

Masuk semula ke ruang kerja, kawan aku tegur mengenai aku keluar makan dengan Mamat. “Dia kan mentee aku… dia nak belanja aku. Aku okey saja, rezeki tu! Orang nak belanja, bukannya ajak gaduh!” aku membalas dengan nada selamba.

Kawan aku tersenyum-senyum. “Aku rasa dia minat kaulah, Sali. Aku selalu perhatikan dia. Dari tempat dia tu, mata dia asyik arah pada kau saja. Dia scan kau atas bawah. Lepas tu, dia tersenyum-senyum seorang diri. Kau jaga-jaga!”

“Hisy, merepeklah!” aku meningkah cepat-cepat.

Aku malas pedulikan kawanku yang pandai buat spekulasi ini. Fokus pada kerja. Tetapi sesekali datang juga muka si Mamat ini. Aku menoleh ke tempat Mamat. Kebetulan dia sedang memandang aku. Mamat tersenyum. Berdebar-debar pula jantung aku ini!

**Mamat; bukan nama sebenar. Buat masa ini, biarlah SMJ namakan dia Mamat. Hahahah, teringat Mamat Exist dengan lagunya Ibu yang jadi halwa telinga SMJ masa zaman muda-muda dahulu!

Thursday, April 1, 2010

April yang bodoh… atau aku yang bodoh?


AKU masuk pejabat dalam keadaan badan sangat penat, kepala berserabut dan jiwa kacau. Sebelah pagi menguruskan sesi foto dengan seorang wanita kenamaan, bersambung pula dengan wawancara yang panjang.

Habis tugasan; perut kenyang, minda kenyang dengan cerita Datin, aku bercadang hendak balik tetapi kereta kesayanganku tiba-tiba meragam tidak mahu hidup pula. Jurufoto sudah balik dahulu, tidak dapatlah menumpang. Dalam resah bengang marah, aku terpaksa tunggu mekanik datang. Mujur Datin baik hati menelefon mekanik yang biasa menguruskan kenderaannya.

Periksa sana sini, tengok itu ini, masalahnya mudah saja. Minyak hitam sudah kering! Ada lagi beberapa masalah lain, kata mekanik. Aduhai... Si mekanik tersenyum-senyum saja, “Akak tak reti check minyak hitam ke?” Aku tidak terkata. Kereta itu memang sudah patut dihantar servis tetapi aku asyik kata “nanti dulu!” Tidak sangka pula boleh jadi masalah besar. Si mekanik geleng-geleng kepala saja, “Perempuan pandai bawa kereta saja!” katanya selamba. Amboi, sesedap mulut kau mengata aku!

Kereta terpaksa ditunda ke ‘hospital’ sebab kata mekanik lebih baik buat pemeriksaan menyeluruh. Aku pun malas hendak beralasan lagi, ‘sekali harung’ sajalah. Datin berkali-kali kata kesal sebab dia ada temu janji, kalau tidak, dia boleh hantar aku balik ke pejabat. Pemandunya pun tidak ada sebab mengikut suaminya.

Menunggu teksi pun satu hal juga. Agaknya teksi tidak masuk ke kawasan tempat tinggal orang kaya-kaya! Ada yang lalu tetapi penuh pula. Selepas 15 minit menunggu barulah muncul sebuah teksi dan Alhamdulillah, aku akhirnya sampai di pejabat.

Ada kotak cantik berhias riben atas meja. Dapat hadiah, daripada siapa pula? Hari jadi aku sudah lepas. Kawan-kawan geleng kepala apabila aku tanya. “Adalah peminat bagi tu!” usik mereka. Dengan dada berdebar-debar aku membuka kotak. Masya-Allah, aku terjerit kuat apabila seekor katak melompat.

“April Foool!!” Kawan-kawan aku menjerit sambil bertepuk tangan. Kurang asam. Malaun punya kawan!

“Hei! Tak ada kerja lain ke!? Mentang-mentang bos tak ada, korang bersuka ria kat sini! Tahu tak, orang bodoh saja sambut April Fool!” aku melenting tiba-tiba. Bengang! Aku capai beg tangan, angkat kaki keluar dari pejabat.

Apabila sampai di tepi jalan, aku tersedar sesuatu. Hati sudah mula sejuk agaknya. April Fool? Hari ini 1 April. April yang bodoh atau aku yang bodoh, emosi tak pasal-pasal?