Thursday, May 27, 2010

aku 'kaunselor' rumah tangga?


Seorang pembaca menelefon di pejabat, mengadu mengenai masalah rumah tangganya. Suaminya kaki pukul; pantang salah sikit, asyik hendak membelasahnya. Katanya, sejak anak kecil seorang sehingga sekarang sudah berderet empat orang, suaminya masih belum boleh buang penyakit baran itu, walaupun dia sudah berjanji banyak kali.

Apabila bergaduh bertengkar yang sekali-sekala diakhiri dengan penampar dan penumbuk sebiji dua, isterinya akan lari dari rumah, menumpang di rumah saudara. Dan suaminya pun datang, merayu-rayu, menangis-nangis, minta ampun, minta maaf agar dia diberikan peluang kedua.

“Dan puan pun lembut hati?” aku bertanya, entahlah, tidak tahulah apa nadanya soalan aku – sinis, geram atau ikhlas. Dia di talian bukannya dapat lihat muka aku, jadi tidak kisahlah!

“Suami, cik. Bapa pada anak-anak akak. Tengok mata anak-anak pun dah kasihan. Beri peluang, tak bermakna akak dah lupa perbuatan dia pada akak. Sepanjang masa akak tak putus doa agar dia berubah, supaya setan dalam dirinya tu dapat dikalahkan!” hebat juga kakak itu berhujah. Dan aku pun diam, teruskan mendengar sahaja.

Aku bukanlah pandai sangat hendak beri nasihat mengenai masalah rumah tangga orang. Setiap kali orang menelefon aku hendak bercerita masalah rumah tangganya, aku akan cakap awal-awal, aku ini wanita bujang dan belum mendirikan rumah tangga.

Dan jawapan mereka, “Saya perlukan orang untuk mendengar. Itu pun sudah cukup.”

Maka aku pun terpaksa tadah telinga sahaja. Mungkin jadi pendengar setia pun sudah cukup untuk meredakan resah hati mereka. Tidak mengapalah, aku dengar. Yang baik, ambil buat pengajaran. Yang sebaliknya, jadikan sempadan.

Tetapi kadangkala tidak dinafikan, apabila terlalu banyak mendengar cerita sedih sadis rumah tangga orang, buat aku jadi skeptikal terhadap perkahwinan. Lebih tepat, prejudis terhadap lelaki.

Uppps, bukan semua lelaki begitu kan?

Monday, May 17, 2010

guru 'pojaan'ku


SETIAP kali ketibaan Hari Guru, aku pasti terkenang kisah zaman sekolah. Di sekolah dahulu, aku mungkin masuk kategori budak-budak biasa sahaja. Kadangkala lebih banyak bual hal sendiri dengan geng satu kepala. Kadangkala buat masalah juga di sekolah. Tetapi tidaklah sampai kena gantung sekolah atau kena rotan.

Ada seorang guru yang agak berkesan dalam hatiku sehingga sekarang. Guru sejarahku semasa tingkatan enam, Cikgu ID. Itu bukan namanya, tetapi aku gelarkannya begitu, kerana wajahnya ada iras pelakon Isma Daniel yang memang kacak dan jadi kegilaanku pada zaman aku remaja dahulu. Ha ha ha!

Kerana dicabar kawan-kawan, aku pernah menghantar surat cinta kepadanya. Aku tidaklah berjiwang-jiwang dalam surat, tiada bulan bintang segala, tetapi aku sekadar luahkan rasa minatku padanya, aku menyenanginya dan kalau boleh, mahu jadikan dia ‘abang angkat’ku.

Aku geleng kepala dan tergelak sendirian ketika aku menulis ini! Terasa bodoh dan dangkalnya zaman remajaku.

Kawan-kawanku letakkan surat itu atas meja Cikgu ID. Surat bersampul merah jambu, atas kertas biru muda yang bertabur sedikit bedak harum. (Aduh, idea bedak ini terasa amat bodoh… terjangkit daripada sepupu-sepupuku yang suka berjiwang-jiwang!)

Reaksi Cikgu ID? Dia suruh aku berjumpanya suatu hari. Berdebar-debar aku dibuatnya tetapi kawan-kawanku bagi semangat, “Tak apa, kau pergi saja! Kalau dia marah, kau cakap, surat tu main-main saja, takkan cikgu nak ambil hati. Tapi kalau dia balas cinta kau, bonuslah!”

Separuh menggigil juga aku, tetapi ibarat kata, berani buat berani tanggung. Maka aku bermuka selamba pergi menemuinya.

Cikgu ID tidak marah pun. Mukanya tenang saja. Dia senyum memanjang. Dia tunjukkan surat itu pada aku.

Katanya, “Kamu remaja lagi, memanglah pada umur sekarang, kamu nampak orang yang dekat dengan kamu saja. Esok-esok kamu dah keluar kerja, kamu akan nampak luasnya dunia ini. Sekarang mungkin kamu minat saya, kamu nampak sayalah lelaki paling handsome di dunia ni. Tapi esok-esok apabila kamu sudah bekerja dan luas pemandangan, aku akan jumpa lebih ramai orang handsome daripada saya. Kamu tak akan rasa saya ini lelaki paling handsome lagi ketika tu!”

Aku keluar dari bilik guru dengan muka tersengih. Kawan-kawan aku pelik, “Cikgu ID terima cinta kau ya?” Cikgu ID sah-sah sudah tolak cinta aku, sebab dia sudah bertunang! Tetapi kata-katanya aku pegang dan ingat sehingga sekarang.

Aku sudah melihat betapa luasnya dunia. (Mungkin tak seluas mana sebab aku pun masih muda…) Aku sudah bertemu ramai orang… Cuma aku belum bertemu lelaki yang memenuhi criteria yang aku mahukan. Tidak perlu yang kacak macam Cikgu ID tetapi adalah kualiti yang memikat hati.

Selamat hari guru untuk Cikgu ID, di mana saja dia berada. Dan selamat hari guru untuk semua yang bergelar guru, bakal bergelar guru dan telah bergelar guru.

Kalian pula, siapa guru yang masih kekal dalam hati kalian? Ada pengalaman menarik berkaitannya?

Wednesday, May 12, 2010

siapa orang itu?


MAK SU telefon dari kampung. Kami berbual-bual mengenai arwah nenek yang baru meninggal dunia. Kata Mak Su, nenek selalu bercakap mengenai aku, selalu menyatakan rasa bangga dengan pencapaian aku. (Pencapaian apalah sangat yang aku ada?)

“Mak Su boleh kata, arwah memang bangga sungguh dengan Kak Ngah. Dia jarang-jarang nak cakap mengenai cucu dia, tetapi dia selalu sebut mengenai Kak Ngah!”

Terharu sungguh aku. Aku ini jarang-jarang balik kampung jenguk nenek. Sekadar balik berhari raya setahun dua kali. Itu pun dua tiga hari sahaja. Biasalah, apabila kita semakin dewasa, semakin ramai kawan, kita selalu terlupa pada perkara yang suatu ketika dahulu amat penting bagi kita.

Entah mengapa, sejak nenek meninggal dunia, aku terasa hubunganku dengan Mak Su kembali akrab. Dahulu, bukan aku tidak akrab dengannya. Mak Su adik bongsu arwah ayah, satu-satunya emak saudara yang menetap di kampung. Tidak seperti ibu bapa saudara yang lain, kebanyakannya tinggal di Kuala Lumpur. Jadi apabila mereka adakan apa-apa majlis, dapatlah kami selalu bersua. Tetapi dengan Mak Su, biasanya kami hanya bertemu apabila aku balik kampung.

Rancak berborak dengan Mak Su, aku tergelak apabila Mak Su memberitahuku sesuatu. “Ada orang berkenan dengan Kak Ngah!” Siapalah pula lelaki itu? Ada-ada saja Mak Su ni. Pandai juga Mak Su aku ini bergurau.

“Adalah. Dia tengok Kak Ngah hari tu. Dia tanya Pak Su, siapa perempuan muda tu. Pak Su kata, itu anak saudaranya....”

“Jadi?”

Mak Su tergelak-gelak sahaja. “Tak adalah apa-apa. Katanya, teringin juga hendak berkenalan dengan Kak Ngah, kalau Kak Ngah masih solo dan sudi….”

Wah! Bukan main lagi Mak Su aku ni! Tak sangka ya, Mak Su ini ada bakat untuk ‘memasang-masangkan orang’!

“Boleh Mak Su bagi nombor telefon Kak Ngah pada dia?”

“Siapa orangnya ni, Mak Su?”

“Saudara sebelah Pak Su. Pangkat anak saudara. Dia kerja di KL. Hari tu, dia balik bercuti di kampung. Itu yang dia ziarah masa nenek meninggal tu....”

Aku terdiam. Aku sebenarnya tidak tahu nak kata apa-apa lagi.

“Boleh ke Mak Su bagi nombor telefon Kak Ngah pada dia?” sekali lagi Mak Su bertanya. Aku ingat dia sudah lupa mengenai nombor telefon itu.

“Bagilah. Saudara mara, apa salahnya....” Akhirnya aku mengalah.

“Ha! Macam itulah anak saudara Mak Su!” Ewah, bukan main lagi Mak Su ni.

Dan sekarang (ketika menulis ini), aku rasa berdebar-debar pula! He he he…

Monday, May 3, 2010

'catatan lewat' sempena hari pekerja


Sabtu lepas kita sambut Hari Pekerja. Dapat cuti sehari tetapi seperti biasa, orang media seperti aku kadangkala tidak sempat bercuti pun. Tidak kisahlah, redha sajalah sebab kalau sudah minat, tidak kisah lagi terpaksa bekerja lebih.

Aku tahu bagi kebanyakan orang, Hari Pekerja bermakna ‘cuti sehari lagi’! Bagi ibu-ibu bekerja, hari cuti seperti ini dapat dijadikan masa berkualiti untuk keluarga, terutamanya anak-anak.

Kadangkala kasihan juga tengok rakan-rakanku yang bergelar isteri dan ibu. Asyik terkocoh-kocoh, terkejar-kejar hendak selesaikan itu ini. Aku tabik sungguh pada mereka. Kadangkala rasa mereka ini ‘superwomen’ – semua bendak kena buat sendiri. Daripada celik mata subuh hari sehinggalah pejam mata untuk tidur, mereka manfaatkan semuanya untuk buat apa yang terdaya.

Aku tambah tabik andai isteri dan ibu berkerjaya ini berjaya dalam rumah tangga (rumah tangga aman damai) dan anak-anak pula berjaya (cemerlang dalam pelajaran dan sebagainya). Memanglah semua ini tidak dapat dilaksanakan seorang diri; mesti ada kerjasama daripada si suami juga.

Oh maaf ya, ini sekadar catatan peribadi lewat Hari Pekerja! Cuti sehari sudah pun tamat. Selamat kembali bekerja. Semoga menjadi ‘Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi’.

(Terima kasih kepada kawan-kawan SMJ yang mengirimkan ucapan takziah kerana pemergian nenek SMJ.Doa kalian amat dihargai.)