Wednesday, May 12, 2010

siapa orang itu?


MAK SU telefon dari kampung. Kami berbual-bual mengenai arwah nenek yang baru meninggal dunia. Kata Mak Su, nenek selalu bercakap mengenai aku, selalu menyatakan rasa bangga dengan pencapaian aku. (Pencapaian apalah sangat yang aku ada?)

“Mak Su boleh kata, arwah memang bangga sungguh dengan Kak Ngah. Dia jarang-jarang nak cakap mengenai cucu dia, tetapi dia selalu sebut mengenai Kak Ngah!”

Terharu sungguh aku. Aku ini jarang-jarang balik kampung jenguk nenek. Sekadar balik berhari raya setahun dua kali. Itu pun dua tiga hari sahaja. Biasalah, apabila kita semakin dewasa, semakin ramai kawan, kita selalu terlupa pada perkara yang suatu ketika dahulu amat penting bagi kita.

Entah mengapa, sejak nenek meninggal dunia, aku terasa hubunganku dengan Mak Su kembali akrab. Dahulu, bukan aku tidak akrab dengannya. Mak Su adik bongsu arwah ayah, satu-satunya emak saudara yang menetap di kampung. Tidak seperti ibu bapa saudara yang lain, kebanyakannya tinggal di Kuala Lumpur. Jadi apabila mereka adakan apa-apa majlis, dapatlah kami selalu bersua. Tetapi dengan Mak Su, biasanya kami hanya bertemu apabila aku balik kampung.

Rancak berborak dengan Mak Su, aku tergelak apabila Mak Su memberitahuku sesuatu. “Ada orang berkenan dengan Kak Ngah!” Siapalah pula lelaki itu? Ada-ada saja Mak Su ni. Pandai juga Mak Su aku ini bergurau.

“Adalah. Dia tengok Kak Ngah hari tu. Dia tanya Pak Su, siapa perempuan muda tu. Pak Su kata, itu anak saudaranya....”

“Jadi?”

Mak Su tergelak-gelak sahaja. “Tak adalah apa-apa. Katanya, teringin juga hendak berkenalan dengan Kak Ngah, kalau Kak Ngah masih solo dan sudi….”

Wah! Bukan main lagi Mak Su aku ni! Tak sangka ya, Mak Su ini ada bakat untuk ‘memasang-masangkan orang’!

“Boleh Mak Su bagi nombor telefon Kak Ngah pada dia?”

“Siapa orangnya ni, Mak Su?”

“Saudara sebelah Pak Su. Pangkat anak saudara. Dia kerja di KL. Hari tu, dia balik bercuti di kampung. Itu yang dia ziarah masa nenek meninggal tu....”

Aku terdiam. Aku sebenarnya tidak tahu nak kata apa-apa lagi.

“Boleh ke Mak Su bagi nombor telefon Kak Ngah pada dia?” sekali lagi Mak Su bertanya. Aku ingat dia sudah lupa mengenai nombor telefon itu.

“Bagilah. Saudara mara, apa salahnya....” Akhirnya aku mengalah.

“Ha! Macam itulah anak saudara Mak Su!” Ewah, bukan main lagi Mak Su ni.

Dan sekarang (ketika menulis ini), aku rasa berdebar-debar pula! He he he…

13 comments:

liyana said...

ape perkembangan seterusnya? teringin gak nak tau.. ;)

suzzsuzie said...

k ngah dah ada peminat la ni.....siapakah orang itu??

shaz said...

cam dah dekat je jodoh tu... apa² pun leh kenal² dulu... :)

Diarihatiku1976 said...

wahhh.. ni kes nak calonkan menantu kot.. ataupun tolong rekemenkan... ahahkss

Fara said...

hihihi...berdebar-debar nak tahu sape gerangan nya kn?

Nini said...

best nye, macam zaman2 dulu-dulu orang carik kan jodoh untuk kiter. hehe.

~*irjune*~ said...

bagus la tu...kenal dulu..kalau ada keserasian dan keizinan dari-Nya..itulah jodoh Sally.....

Khalid said...

Jeng jeng jeng... baguh2 me lil' sista... pokcik suka dgr ini cerita... Pokcik rasa inilah terbaek utk Sali (klu serasi ler)... mudah nk kenal dia dan mak bapak dia... Jangan lupa update kat cni yer....

waniey..... said...

JODOH SEMAKIN HAMPIR DAH TU HEEE..
KENAL DULU MANA TAHU ADA KESERASIAN,CUBA BAGI PELUANG...MANA TAHU KLU DIA JODOH SALLY

~~zAnAfAhMi~~ said...

akak pun tumpang berdebar bila ada org nak kenal, tumpang seronok ada juga...

syushah said...

bukan orang lain kan saudara sendiri,tak apa biarlah dia nak call sembang hal famly cukup..kalau rasa betul sesuai bolehlah ke bab yang seterusnya..

noreenzee said...

I know exactly how you feel. Rasa serba salah and akward pun ada. But there's no harm in trying cik Sali. Who knows if he's the one. Just get to know him first. Tak kenal maka tak suka kan (cinta tu will come later, insyaallah). Just be yourself and go wif da flow. All ze best. Kami di sini sentiasa mendoakan yang terbaik utk cik Sali. Jgn lupa update kami ya :)

Kurung manis said...

saya juga pernah merasa bergitu (berdebar2) apabila ada lelaki yang ingin berkenalan dan meminta nombor telefon. cuma sekadar nasihat "berhati2" . walaupun ada ikatan "saudara @ bau2 bacang" hahaha....