Tuesday, August 31, 2010

penghargaan vs tikam belakang



Angin satu badan! Mujur bulan puasa, kalau tidak…

Aku bukanlah berkira sangat dalam urusan kerja. Aku faham, dalam budaya berorganisasi dan bekerja, ada masanya kita perlu bekerja sendirian dan ada masanya perlu bekerja secara kolektif. Dalam bab kerja secara kolektif, semua orang pasti terkilan kalau hasil penat lelahnya dinafikan orang.

Tiga bulan lalu, jabatan kami merancang untuk mengadakan projek khas Ramadan & Syawal. Projek ekstra begini memang memerlukan kesabaran dan kekuatan mental dan fizikal untuk menyiapkannya.

Semua orang tahu akan hal itu dan bersedia untuk berdepan dengan segala cabaran. Lagipun bukannya benda baru pun, sejak beberapa tahun lepas kami sudah berpengalaman menguruskan hal begini.

Letih bersengkang mata, buat kerja tambahan yang membabitkan hal remeh-temeh malah bekerja sehingga tiga empat pagi, terasa berbaloi apabila melihat produk yang terhasil. Juga laporan bahagian jualan menunjukkan bahawa sambutan terhadap produk memang menggalakkan.

Tetapi yang buat semua orang tiba-tiba ‘angin satu badan’ apabila ketua projek semacam menafikan susah payah staf lain. Dalam mesyuarat, dia selamba beritahu; ini semua lebih kepada usaha dia seorang. Walaupun orang lain membantu tetapi dia akhirnya yang terpaksa menyudahi kerja orang lain yang tidak sudah!

Selamba saja dia cakap dalam mesyuarat begitu, di hadapan semua staf yang terlibat, ketika memberikan laporan kepada pihak pengurusan. Semua orang pandang-memandang; mungkin bingung, mungkin terkejut dengan kenyataan selamba-berani itu.

“Tak patut bos cakap macam tu. Itu kan projek kumpulan, mana boleh mengaku kerja dia seorang. Sali, kau pembantu dia, apa kau rasa?” Farah bertanya aku sehabis mesyuarat.

“Malaslah nak fikir. Aku puasa hari ni!” Aku balas tegas. Kalau aku fikir, aku akan rasa sakit hati. Kalau sudah sakit hati, boleh ‘kurus puasa’!

“Aku pun puasa juga!” Farah membalas, macam bengang saja.

Sabar, sabar, sabar! Dalam dunia ini, memang banyak orang yang gila nama. Jadi, apalah yang kau hairankan sangat dengan jenis manusia begini!

Kecewa? Sedikitlah agaknya tetapi tak mengapalah kerana penghargaan Tuhan lebih manis daripada penghargaan manusia.

Puasa, puasa. Aku puasa hari ini. Aku mesti sabar!

P/S Salam kemerdekaan untuk semua!

Sunday, August 22, 2010

hati tersentuh


Hati aku tersentuh sungguh apabila melihat dan membaca berita kebelakangan ini. Sudahlah berada dalam bulan Ramadan, berita-berita yang tersiar di akhbar pula tidaklah begitu menggembirakan. Memanglah cerita sedih-sayu-ngeri itu pelaris akhbar tetapi dalam kehidupan manusia, ia bukanlah kisah yang seronok untuk diceritakan.

Antara yang buat aku ngeri dan takut, adalah kisah ‘tragedi sahur’apabila suami yang sakit mental akhirnya tetak isteri sehingga mati dan cederakan anak-anak. Juga kes suami gian yang simbah asid pada isteri, emak mentua dan anak-anak sampai masuk hospital sebab gagal berinya duit.

Aduh, apa sudah jadi dengan manusia hari ini? Betullah, manusia apabila berada di luar kewarasan akal akan buat apa saja untuk capai kehendaknya. ‘Sakit mental’ dan ‘gian dadah’ memang setaraf, sebab sama-sama buat manusia hilang akal sehingga sanggup jadi pembunuh. Nauzubillahiminzalik.

Sebagai perempuan, aku tidak nafikan kisah-kisah beginilah yang buat aku (dan ‘rakan-rakan seangkatan’) jadi takut untuk berumah tangga, takut dapat suami yang tak boleh pakai, pasti hidup bagaikan perahu karam sebelah. Selalu yang berlaku, awal-awal semuanya O.K belaka tetapi apabila sampai satu tahap, rupa-rupanya K.O! Simpang malaikat 44, minta dijauhkan Allah dapat suami ‘sepak habuk’ (penganggur), ‘senteng’ (tidak waras) dan ‘pendek akal’ (tidak bijaksana).

Satu lagi yang buat aku rasa senak hati adalah apabila membaca kes buang bayi yang semakin menjadi-jadi. Tak kira bulan puasa atau bulan tak puasa, syaitan dalam diri tetap merajalela. Bukan setakat buang bayi yang meninggal dunia (tidak pastilah sama ada meninggal sebelum dibuang atau selepas dibuang) tetapi yang masih hidup bernyawa pun tergamak dibuang.

Dik, kalau tak mahu atau tak mampu bela sendiri, tidak mengapa; serahkan pada orang yang mahu. Kau serahkan pada akak pun tak apa, dik! Akak akan bela anak kau elok-elok, mudah-mudahan dia membesar jadi manusia yang baik dan tolong doakan pula untuk kesejahteraan kau, dik! Begitulah hati aku berkata-kata setiap kali membaca berita buang bayi ini. Aku marah, aku memang emosi sedikit apabila tiba cerita-cerita begini!

Ya Allah, selamatkan kami daripada menjadi orang yang zalim!

Doa yang baik-baik saja ya, mudah-mudahan pada bulan Ramadan yang mulia ini, Allah bukakan pintu langit seluas-luasnya dan menerima permohonan doa kita. Amin!

Sunday, August 15, 2010

cerita minggu pertama Ramadan


Minggu pertama menyambut Ramadan, aku melihat pelbagai ragam kawan sepejabat. Pejabat sunyi dan kebanyakan orang buat tugas masing-masing dengan diam sahaja. Tidak seperti selalu, dari jarak sebatu pun mereka boleh berbual dan bercakap!

Yang paling ketara, waktu petang. Bulan Ramadan, jadual bekerja berubah; masuk kerja awal sedikit dan habis kerja juga awal. Masuk kerja awal pagi mungkin tiada masalah kerana selepas sahur dan solat subuh, kita bersiap untuk ke pejabat. Tetapi waktu petang, kaum wanita terutamanya kaum ibu di pejabat adalah orang yang paling awal mengangkat beg.

“Nak berbuka di rumah. Hari ini kan hari pertama. Dah janji dengan suami dan anak,” kata Kak Ros pada hari pertama puasa. Kak Ros ini memang ibu mithali, satu pejabat tahu!

Kaum ibu memang orang yang paling sibuk pada bulan Ramadan. Bukan sibuk hendak memasak hidangan berbuka tetapi sibuk hendak melawat pasar Ramadan membeli juadah untuk keluarga! Itu juga yang diakui oleh teman sekerjaku.

Mia, budak baru di jabatan akaun itu juga sibuk hendak balik awal kerana katanya sudah berjanji dengan suami. “Dah ada suami, kenalah berbuka dengan suami. Seronok tau akak, berbuka puasa berdua dengan suami, siap bersuap-suap lagi. Inilah Ramadan paling bermakna bagi saya!” katanya lagi sungguh yakin dan pasti. Aku tersenyum-senyum saja sambil berpandangan dengan Kak Minah.

“Memanglah seronok, kau tu pengantin baru. Esok sudah jadi pengantin lama macam akak ni, dah tak herannya. Nanti ada anak, tak sempat lagi nak bersuap-suap. Entah-entah kena bergilir makan sebab anak tak reti duduk diam!” Kak Minah menjawab selamba.

Tergelak besar aku. Merah muka Mia mendengar mulut laser Kak Minah. Biasalah Kak Minah, mulutnya memang begitu. Terhibur juga hati aku pada petang-petang Ramadan dengan usik selamba mereka.

Tetapi seperti biasa, jalan raya petang musim Ramadan memang luar biasa sesaknya. Kak Ros bercerita pada aku pada pagi Ramadan kedua, betapa dia terseksa dalam sesak jalan raya.

“Konon nak berbuka dengan anak dan suami pada hari pertama. Jalan sesak teruk, Sal. Ada kemalangan. Cemas akak. Anak asyik telefon sebab tak ada makanan di rumah. Nasib baik anak sulung boleh harap sikit, akak pesan suruh dia masak nasi. Lauknya akak akan beli. Telefon suami, dia pun sama juga. Sudah-sudahnya, dengar azan Maghrib. Menitik air mata akak, sungguh ujian hari pertama. Berbuka dengan air liur sajalah pada hari pertama…”

Alahai Kak Ros. Memang teruji sungguh!

Minggu awal ini, aku juga berbuka sendirian di rumah. Begitulah orang bujang, apa nak buat. Alah bisa, tegal biasa, kata orang!

Sunday, August 8, 2010

puasa: hari pertama di mana?


Emak aku sibuk menelefon bertanya, adakah aku akan menyambut puasa hari pertama bersama-samanya di kampung. Alahai emak, hajat di hati memanglah begitu. Ini semacam sudah jadi tradisi bagi kami adik-beradik kerana semua orang semacam hendak bermanja dengan emak pada hari pertama berpuasa. Dan biasanya juga, kalau berbuka di kampung, emak akan sediakan juadah kegemaran kami.

Bunyinya memang kebudak-budakan sedikit. Tetapi memang begitulah agaknya cara orang tua meraikan anak-anak, apatah lagi jika anak-anak tinggal berjauhan daripada mereka. Anak balik sekali-sekala, sebutlah apa sahaja hendak makan, susah payah dia akan sediakan. Terbayang-bayang asam pedas bikinan emak, aduh, meleleh air liur! Kebanyakan anak akan mengaku, memang masakan emak dialah yang paling sedap.

Semasa aku belajar di universiti dahulu, betapa sibuk sekali pun, aku tetap balik untuk sambut puasa pertama dengan emak. Cuti sehari pun tidak mengapa, malah biasa juga ponteng kelas kerana balik kampung. Ha ha ha, nakal kan...

Tetapi apabila sudah masuk dunia kerjaya, kesibukan jadi alasan utama. Masuk tahun ini, sudah kali ketiga aku tidak dapat balik menyambut puasa pertama bersama-sama emak. Dahulu rasa sedih juga tetapi selepas beberapa kali, sudah kalis jadinya.

Apa hendak buat. Puasa pertama tahun ini jatuh pada pertengahan minggu hari bekerja. Pertengahan bulan pula! Dan biasanya pada pertengahan bulan, adalah masa kami bergelut dengan tugasan demi tugasan. Mohon maaf ya mak!

“Emak faham kak ngah, emak pun tak harapkan anak-anak balik kerap. Tapi kalau ada masa, baliklah ya!” Emak tidak memaksa tetapi emak sebenarnya tetap mengharap. Itu yang kadangkala buat aku lemah dan tidak sampai hati…

Aku telefon abang sulung, bertanya sama ada dia balik atau tidak. Sama seperti aku, along pun tidak boleh balik. Adik-adik lagilah.... adik perempuan yang sudah berumah tangga itu biasanya akan balik ke rumah mentuanya kerana mentuanya orang KL. Hendak buat macam mana, dia sudah ada suami. Adik lelaki yang masih belajar itu usahlah diharap, dia lebih rela berbuka di gerai dengan kawan-kawannya daripada balik kampung menyambut puasa dengan emak. Sungguh aku tak faham!

Sabarlah ya mak. Nanti menjelang hari raya, Kak Ngah balik temankan mak. Memang jujurnya aku rasa bertanggungjawab menggembirakan mak. Teringat pesanan kakak-kakak yang lebih berpengalaman di pejabat, “Bagi kita anak perempuan, selagi masih bujang inilah masa untuk luangkan masa dengan ibu bapa. Nanti kalau sudah bersuami, apatah lagi kalau suami itu ‘anak emak’ dan dia pula buat tidak faham saja mengenai mak kita, jawabnya kau kena banyak habiskan masa dengan mak mentua.”

Hmmm, entahlah.

Apa pun, selamat berpuasa mak. Selamat berpuasa juga kepada semua sahabat SMJ.

Sunday, August 1, 2010

sudah ada baju raya?


Puasa tidak sampai dua minggu lagi. Aku tengok kawan-kawan pejabat yang kaki bisnes sudah mula edar senarai tempahan biskut raya, kek lapis dan kerepek. Ada yang ligat mempromosi kain ela dan pelbagai macam tudung sarung – Ariana, Hameeda, Muslimah, Abaya – wah segala bagai jenamanya!

Tidak kurang yang bercerita mereka sudah beli baju raya untuk satu keluarga. Tahun ini Kak Ros serba merah, katanya. Kak Minah pula warna hijau. Cik Farah kata, dia sudah dua bulan hantar kain pada tukang jahit sebab bulan puasa tukang jahitnya tidak lagi terima tempahan baju raya. Kalau hantar kain bulan puasa ini, itu untuk baju raya haji nanti. Wah, sungguh terperinci jadual tukang jahit!

“Kau dah beli baju raya, Sal? Ini akak bawa kain cantik-cantik untuk kau. Belilah sepasang dua, murah dik. Boleh bayar dua kali kalau rasa mahal sangat,” Kakak Cleaner pun sempat berniaga juga. Kagum sungguh aku melihat susah payah mereka menjadi usahawan segera menjelang bulan Ramadan.

“Saya beli baju siap, kak. Rasanya tidak sempat lagi hendak hantar pada tukang jahit….” aku berterus-terang sahaja.

Aku memang agak last-minute dalam bab membeli belah persiapan raya. Dahulu ketika masih belajar dan baru bekerja, emak yang uruskan semua. Aku serahkan pada emak untuk pilih kain, hantar pada tukang jahit dan sebagainya. Aku hanya beritahu hendak warna apa dan hendak kurung atau kebaya saja. Balik kampung untuk sambut raya, semuanya sudah tersedia untuk aku.

Tetapi sekarang sudah bekerja, emak aku sudah tidak kuasa hendak buat kerja itu semua. “Kak Ngah tu cerewet, nanti itu tak kena, ini tak betul. Kena pinda sana sini. Orang sudah berduit, buat sendirilah!” itulah kata emak dulu. Sejak itu, aku pun malas hendak bebankan emak aku.

Sebenarnya aku kerap terlupa mengenai segala bagai persiapan raya ini. Faham-faham sajalah dengan fitrah kerjaya aku dalam dunia media ini. Kami bekerja dengan deadline. Pada hari raya, produksi tutup kerana semua orang bercuti tetapi produk tidak pernah bercuti. Sampai masa, produk mesti masuk pasaran seperti biasa.

Jadi pada bulan Ramadan, kami terpaksa gandakan kerja supaya produk dapat keluar tepat pada masa walaupun ketika itu kami semua sedang sedap-sedap cuti seminggu di kampung!

Disebabkan sibuk mengejar deadline itulah yang selalu buat aku terabai mengenai persiapan hari raya. Tidak mengapa, bukanlah hal besar sangat pun, apatah lagi orang bujang seperti aku ini. Saat akhir, malam raya pun sempat cari baju raya, sambar sajalah mana yang mata berkenan dulu. Untung-untung beli pada saat akhir lebih berbaloi kerana biasanya para peniaga lelong habis untuk langsaikan stok mereka.

Okey, kita sambung cerita persiapan raya dalam catatan akan datang!