Tuesday, August 31, 2010

penghargaan vs tikam belakang



Angin satu badan! Mujur bulan puasa, kalau tidak…

Aku bukanlah berkira sangat dalam urusan kerja. Aku faham, dalam budaya berorganisasi dan bekerja, ada masanya kita perlu bekerja sendirian dan ada masanya perlu bekerja secara kolektif. Dalam bab kerja secara kolektif, semua orang pasti terkilan kalau hasil penat lelahnya dinafikan orang.

Tiga bulan lalu, jabatan kami merancang untuk mengadakan projek khas Ramadan & Syawal. Projek ekstra begini memang memerlukan kesabaran dan kekuatan mental dan fizikal untuk menyiapkannya.

Semua orang tahu akan hal itu dan bersedia untuk berdepan dengan segala cabaran. Lagipun bukannya benda baru pun, sejak beberapa tahun lepas kami sudah berpengalaman menguruskan hal begini.

Letih bersengkang mata, buat kerja tambahan yang membabitkan hal remeh-temeh malah bekerja sehingga tiga empat pagi, terasa berbaloi apabila melihat produk yang terhasil. Juga laporan bahagian jualan menunjukkan bahawa sambutan terhadap produk memang menggalakkan.

Tetapi yang buat semua orang tiba-tiba ‘angin satu badan’ apabila ketua projek semacam menafikan susah payah staf lain. Dalam mesyuarat, dia selamba beritahu; ini semua lebih kepada usaha dia seorang. Walaupun orang lain membantu tetapi dia akhirnya yang terpaksa menyudahi kerja orang lain yang tidak sudah!

Selamba saja dia cakap dalam mesyuarat begitu, di hadapan semua staf yang terlibat, ketika memberikan laporan kepada pihak pengurusan. Semua orang pandang-memandang; mungkin bingung, mungkin terkejut dengan kenyataan selamba-berani itu.

“Tak patut bos cakap macam tu. Itu kan projek kumpulan, mana boleh mengaku kerja dia seorang. Sali, kau pembantu dia, apa kau rasa?” Farah bertanya aku sehabis mesyuarat.

“Malaslah nak fikir. Aku puasa hari ni!” Aku balas tegas. Kalau aku fikir, aku akan rasa sakit hati. Kalau sudah sakit hati, boleh ‘kurus puasa’!

“Aku pun puasa juga!” Farah membalas, macam bengang saja.

Sabar, sabar, sabar! Dalam dunia ini, memang banyak orang yang gila nama. Jadi, apalah yang kau hairankan sangat dengan jenis manusia begini!

Kecewa? Sedikitlah agaknya tetapi tak mengapalah kerana penghargaan Tuhan lebih manis daripada penghargaan manusia.

Puasa, puasa. Aku puasa hari ini. Aku mesti sabar!

P/S Salam kemerdekaan untuk semua!

2 comments:

Diarihatiku1976 said...

memang biasa ianya berlaku.. takpelah yang penting kita ikhlas melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita... allah lebih mengetahuinya...

ZUHANIF said...

yes, setuju dgn diarihatiku mmg adat dunia mcm tu. Takpe la yg penting keikhlasan tu. Bg yang melakukan kesalahan tu, yg diatas maha mengetahui.