Friday, August 28, 2009

sibuk cari alasan


Sudah seminggu Ramadan. Kalau boleh, sama seperti orang lain, puasa tahun 1430 Hijrah ini aku hendak kerjakan lebih baik berbanding dahulu; tidak mahu lagi ponteng tarawih, kalau boleh hendak tadarus al-Quran sampai khatam. Boleh ke? Hehehe...

Emak bertanya mengapa aku tidak balik sambut Ramadan di kampung. Aku beri jawapan, aku sibuk. “Macam inilah orang yang kerja dengan deadline. Kalau dia tak kejar deadline, dia dikejar oleh deadline!”

Tidak tahulah sama ada emak faham atau tidak maksud aku ini. Tetapi selama ini emak memang selalu memahami kesibukan anak-anak. (Sibuk ke? Rasa-rasanya aku yang asyik sibuk cari dan beri alasan!)

Okey, aku hendak sambung kerja. Sambung dalam entri akan datang...

Friday, August 21, 2009

pagi yang syahdu

Entah mengapa, pagi ini terasa syahdu pula. Memandu ke pejabat, berhenti di lampu merah, aku tertoleh ke kanan; ke kereta sebelah. Sepasang suami isteri di dalam kereta sebelah. Aku tengok si isteri menyuapkan sepotong roti ke mulut suaminya.

Si suami itu kemudian pegang tangan isterinya, dan mencium tangan isterinya.

Aduhai, romantisnya! Mengapalah aku tertengok drama sebabak ini? Semua ini buat aku teringat Yusuf yang sudah jadi kepunyaan orang! Sekali lagi aku tanya diri sendiri, mengapalah aku terus teringat-ingat Yusuf? Padahal selama ini, kami tidak pernah pun bercakap soal hati dan perasaan. Aku yang sekadar suka tengok ‘muka sejuk’ dia; minat dalam senyap.

Tetapi padanlah muka aku, minat senyap-senyap. Sudah-sudahnya dia jadi hak orang!

Heh! Mengapa aku terus teringat-ingat? Ini mesti sebab pasangan di dalam kereta pagi tadi, langsung terbawa-bawa sehingga satu hari.

Tak boleh jadi! Hidup mesti diteruskan!

Thursday, August 13, 2009

sekeping kad sahih berita!


HARI terakhir puasa ganti. Akhirnya aku berjaya juga, walaupun dilunaskan pada saat-saat akhir. Kalau emak aku tahu, jenuh aku dileterkannya! Sebelah pagi aku ada tugasan di sebuah rumah kebajikan swasta. Tersentuh hati aku tengok warga emas yang berada di sana, dijaga dengan penuh kasih oleh orang yang bertanggungjawab.

Balik ke pejabat, sudah dekat pukul empat petang. Aku melepek lemah di kerusi. Ada sekeping kad atas meja. Aku buka. Terasa jantung seperti gugur ke bumi. Akhirnya sahihlah si dia itu akan mendirikan rumah tangga. Khabar angin yang bertiup beberapa minggu ini memang betullah. Dia akan kahwin seminggu selepas hari raya!

Mata aku ligat mencari kelibat dia. Tetapi dia memang tidak ada. Mungkin dia ada tugasan di luar.

Hati aku?

Mood hendak sambung kerja merudum. Aku capai beg, terus meluru ke pintu. Aku mahu balik!

Monday, August 10, 2009

orang bujang di hari minggu


Orang bujang; apa lagi yang molek dilakukan di rumah bujang pada hari cuti, kalau bukan tidur atau qadha tidur? Sepatutnya minggu ini aku balik kampung; adik-beradik rancang hendak adakan kenduri tahlil untuk arwah abah. Sudah lima tahun abah meninggal dunia dan kami adik-beradik memang akan adakan kenduri tahlil untuk arwah beberapa minggu sebelum Ramadan.

Tetapi entah macam mana perancangan kami tidak menjadi. Sebabnya abang sulung aku terpaksa bertugas luar daerah, dia kena pergi Kuantan selama seminggu. Kata dia, “lepas rayalah kita buat kenduri, kak ngah. Kalau boleh buat kenduri kahwin kak ngah sekali!”

Kurang asam punya along! Tidak jadi kenduri, aku pun malas hendak balik kampung. Jawabnya, aku tidur sahaja sehari ini di rumah!

Habis cerita!