Thursday, November 26, 2009

salam aidiladha dari SMJ

Selamat hari raya Aidiladha kepada semua sahabat SMJ.
Mohon ampun maaf andai ada coretan yang menggores hati sesiapa.
Hendak mohon maaf tidak semestinya hari raya saja
tetapi alang-alang kita sambut hari raya, ini pun boleh jadi kesempatan terbaik!
(Kredit foto: terjumpa di internet. Terima kasih)

Thursday, November 19, 2009

emak membebel lagi...alahai!

Emak telefon dari kampung. Aku tengah sibuk mengetuk (menaip) rencana, jadi terganggu sedikit. Emak membebel sebab aku tidak balik ke kampung lagi selepas Aidilfitri lepas. Okey emak, Kak Ngah janji, Aidiladha nanti, Kak Ngah balik kampung!

Cuti sekolah bermula Sabtu ini (21 November), kata emak, ramai saudara-mara undang ke majlis kahwin. Cakap bab kahwin, terus lemah lutut dibuatnya. Faham-fahamlah kalau bersembang dengan orang tua, sudah tahu benar ke mana jurus maksudnya itu. Tetapi nasib baik, emak tidak panjangkan bual mengenai kenduri kahwin. Agaknya emak tahu aku hanya akan tutup telinga kalau emak bangkitkan isu itu. Alahai emak, hendak cari suami bukan macam beli ikan di pasar!

Oh, ada beberapa kad undangan perkahwinan atas meja aku! Kawan-kawan yang baru setahun dua masuk kerja di sini, yang lebih junior daripada aku, seorang demi seorang sudah menamatkan zaman bujang. Aku doakan kebahagiaan mereka dunia dan akhirat. Itu rezeki mereka. Insya-Allah, setiap orang ada habuan masing-masing. Amin.

Wednesday, November 11, 2009

aku vs bos

Foto hiasan dari Internet

TERBAKAR hati aku hari ini! Lady Boss seperti sengaja hendak menyerang aku dalam mesyuarat pembentangan perancangan tahun 2010. Kalau dia pandai sangat, dia patut beri cadangan alternatif; tetapi dia tidak kemukakan apa-apa idea pun. Asyik-asyik dia kata, “Saya tak setuju, fikirkan idea lain!”

Rakan-rakan lain pun suarakan kekeliruan juga. Ada yang pandang lain macam pada aku. Agaknya mereka ingat aku sudah mula tunjuk tidak sekepala dengan bos! Salina sudah tunjuk tunjuk taring, kata mereka. Apatah lagi selepas keluar dari bilik Lady Boss, aku hempas fail atas meja dengan muka macam asam kedut!

Aku cuba bersikap profesional. Baik, memang aku profesional! Aku terima saja siapa pun yang jadi ketua aku atas dasar profesionalisme. Tetapi dalam hati, aku pegang pesanan orang tua; ingat ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk, duri yang akan mengait! Atau dengan kata lain, aku tetap berhati-hati!

Minggu ini, mungkin minggu yang tidak begitu memberangsangkan. Apa pun, aku harus terus bekerja!

Nota penghargaan: Terima kasih kepada sahabat-sahabat baru di SMJ. Pesanan tuan/puan amat bermakna sekali!

Tuesday, November 3, 2009

SMJ @ AKW


SMJ (Skaf Merah Jambu) jadi perhatian! “Wah, glamor engkau! Setiap minggu masuk televisyen ya?” Itu kata dan tanya kawan-kawan rapat. Entah, aku sendiri tidak pasti!

Malulah pula apabila blog yang tidak seberapa ini masuk ‘Apa Kata Wanita’. Terima kasih, Puan Zamzarina. Tidak sangka rupa-rupanya ‘blog peribadi; tempat meluah rasa & ubat kebosanan’ ini jadi perhatian orang tertentu. Terima kasih daun keladi. Hamba sangat-sangat berbesar hati!

Tentu sahaja ini menjadi motivasi secara tidak langsung supaya aku menulis perkara yang berfaedah, yang sekurang-kurangnya orang lain dapat faedah sedikit sebanyak apabila membaca blog ini. Satu cabaran juga apabila jadi orang popular. Popular ke? Hehehheh!