Sunday, January 31, 2010

buku oh buku!

TIGA pesta buku (bersaiz mini) berlangsung hujung minggu ini. Minggu ini banyak juga cuti; cuti Thaipusam (Sabtu) dan Cuti Hari Wilayah (Isnin). Cuti Hari Wilayah khusus untuk warga Wilayah Persekutuan; orang negeri lain, harus bekerja seperti biasa ya!

Pertama, Karnival MPH yang menggabungkan beberapa penerbit buku berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam. Kedua, Karnival Karangkraf (syarikat yang terkenal sebagai penerbit majalah terbesar di Malaysia) berlangsung di premis mereka di Shah Alam juga. Satu lagi, Jualan Gudang Utusan berlangsung di premis UP&D di Taman Shamelin Perkasa.

Syurga buku bagi penggemar buku! Siapa kata orang Malaysia tidak suka membaca? Dengar cerita, hari pertama kutipan di salah satu daripada tiga karnival ini berjaya mencecah ratusan ribu Ringgit Malaysia.

Bukankah itu boleh jadi tanda bahawa orang Malaysia sudah mula suka membaca? Mungkin orang akan kata, membeli buku tidak semestinya menandakan dia suka membaca. Tetapi hakikatya, apa gunanya beli buku kalau tidak dibaca. Hendak dibuat perhiasan rumah pun bukanlah cantik sangat. Lebih baik beli perabut jati atau televisyen skrin rata, lebih berbaloi daripada beli buku.

Jadi, tidak perlulah pasang persepsi pada orang yang suka beli buku tetapi tidak baca. Kalau dia tidak baca hari ini, mungkin esok, lusa, tulat, minggu depan, bulan depan, tahun depan atau beberapa tahun lagi baru dia berkesempatan membaca.

Aku? Aku sudah habiskan ratusan ringgit untuk tiga karnival buku minggu ini. Nasib baik juga kerajaan buat peraturan pembelian buku boleh lepas cukai. Bila hendak dibaca semua buku ini? Insya-Allah, akan ada masanya.

Selamat berhujung minggu dan membaca!

Friday, January 22, 2010

gosip vs yusuf

FOTO: peninsulamalaysiancuisine.com/images/fd01_roti_canai
BEBERAPA minggu lepas aku catat mengenai gosip aku bakal ditukarkan jabatan. Aku tunggu dengan sabar kalau-kalau bakal berlaku sesuatu tetapi sampai sekarang, tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin betul itu sekadar gosip! Ingatkan artis sahaja yang tidak lepas daripada gosip, tetapi aku yang bukan siapa-siapa ini pun boleh terkena juga. Sabar sajalah!

Beberapa minggu selepas 2010, suasana terasa sama seperti tahun lepas. Yalah, apa yang aku harapkan? Aku masih bekerja di tempat yang sama, dengan kawan-kawan yang sama dan menjalani rutin kerja yang sama. Jadi memang terasa sama saja seperti tahun lepas!
2010; hmmm, apabila nampak 2010, congak-congak semula, terasa cepatnya masa berlalu. Kalau buat kiraan mudah, lagi 10 tahun kita akan menjengah tahun 2020. Vision 2020! Itu wawasan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ketika aku masih di zaman belajar dulu.

Sewaktu aku sekolah dulu, cikgu di sekolah pernah sebut, “Kalau kamu semua malas belajar, cuba bayangkan apa akan berlaku tahun 2020 nanti? Tahun 2020 nanti, mungkin kamu yang akan jadi salah seorang menteri! Malulah kalau jadi menteri tak cerdik!”

Wah, kalau aku jadi menteri, portfolio apa yang sesuai ya? Heheheh. Tak mengapalah, hal politik dan pentadbiran negara, aku serahkan sahaja pada mereka yang pakar. Aku sekadar minat ikuti perkembangan politik, menyokong apa-apa yang patut disokong dan menegur apa yang patut ditegur.

Di pejabat ini pun, ada orang hendak main politik! Aku pernah dengar orang kata, “Dalam politik, musuh belum tentu mencederakan kita tetapi kawan sendiri tidak mustahil boleh membunuh kita.” Jangan-jangan ada kawan aku yang memang hendak tikam aku dari belakang. Hisy! Jangan buat persepsi bukan-bukan, Sali!

Mujur juga sehari dua ini gosip itu sudah mula sejuk.

Cerita mengenai Yusuf? Ya, dia masih tidak jemu-jemu mengajak aku keluar makan tengah hari, keluar minum petang di gerai tepi jalan dekat pejabat kami, malah pernah juga telefon aku tengah malam untuk ajak aku pergi makan roti canai!

Hilang akal? Aku pernah sergah dia dan dia boleh ketawa selamba saja. Hisy, terasa lain macam pula lelaki itu sekarang. Rasa-rasanya dulu dia macam pemalu sedikit, takkan sekarang sudah hilang malu?

Tengoklah seminggu dua lagi, apa pula kisahnya Si Yusuf ini...

Saturday, January 16, 2010

kasih berputik kembali?

SEMINGGU ini aku keliru sedikit dengan gelagat ‘si dia’ itu. Siapa lagi, kalau bukan Si Yusuf, yang pernah aku minati dalam diam suatu ketika dulu, yang sudah bergelar suami orang tahun lepas. Jangan bimbang, Yusuf (bukan nama sebenar) insya-Allah tidak akan baca tulisan ini sebab dia bukan spesis yang minat bacaan begini, kecuali baca surat khabar dan berita.

Okey, ceritanya begini. Ditakdirkan baru-baru ini, kami ditugaskan untuk bekerjasama dalam suatu projek khas sempena tahun baru ini. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, aku harus terima dengan seluruh rasa profesional. Kami sudah lama tidak bercakap sejak dia sah jadi suami orang dan aku sendiri kalut dengan macam-macam urusan kerja.

Aku ingat, selesai sesi brainstorming, habislah cerita. Tetapi rupa-rupanya ada lanjutannya pula. Kami sambung berbual hal biasa-biasa seperti hal kerja dan kehidupan masing-masing. Aku bukanlah hendak korek rahsia orang tetapi adatlah sebagai orang media yang kadangkala suka ‘menerjah’, jadi aku pun sengaja bangkitkan soalan mengenai pengalamannya selepas bergelar seorang suami.

Dia diam, lambat sahaja hendak jawab soalan. Selepas itu entah apa dia jawab, aku pun tidak perasan. Yang aku ingat dia kata, “Susahlah nak faham orang perempuan ni. Kadangkala benda kecil pun jadi besar pada dia…”

Wah, apa maksudnya itu? Malas aku hendak bertanya lanjut, nanti tidak fasal-fasal aku kena jadi kaunselor, mendengar masalahnya.

Dan selang sejam selepas itu, dia menyapa aku di ‘Instant Messaging’ mengajak aku keluar makan tengah hari dengannya. Katanya, tidak puas berbual dengan aku selepas mesyuarat. Aku balas, aku ada temu janji dan akan keluar terus untuk laksanakan tugasan. Dia balas lagi, katanya hendak ajak aku keluar sekala-sekala, makan-makan dan sembang-sembang. Aku hanya kata, insya-Allah.

Dan esoknya, sekali lagi dia IM aku, katanya sekadar hendak chat mengisi masa terluang. Mujur aku sedang sibuk menyiapkan rencana, jadi aku minta maaf sebab tidak dapat berbual dengan dia di IM. Sekali lagi, dia bangkitkan hasrat hendak ajak aku keluar makan bersama-samanya.

Aku rasa berpeluh tiba-tiba! Mungkin aku ini ‘perasan’ atau ‘syok sendiri’. Mungkin Yusuf ajak ikhlas sebagai seorang sahabat. Tetapi aku harus akui, aku takut terperangkap, aku takut perasaan aku sendiri berbolak-balik apabila tengok ‘muka sejuk’ dia. Aku tidak mahu jadi episod ‘kasih berputik semula’. Ngeri! Aku ingat juga pesan emak, “Jangan mula sebab kalau sekali termula, susah nak tamatkan!”

Salahkah aku berhati-hati begini? Naluri aku ini kadangkala ‘boleh dipakai juga’.

Lain kali kalau dia ajak aku keluar lagi, apa yang aku hendak jawab pada dia?

Boleh tak sahabat-sahabat SMJ terutamanya yang pernah berdepan dilema ini bagi pandangan?

Friday, January 8, 2010

gosip; ada aku kisah?

Foto: lifestyle.indiainfo.com
Kebelakangan ini gosip berpusing ligat. Dua tiga orang rakan sekerja datang bertanya, adakah benar aku akan ditukarkan ke jabatan lain? Adakah benar aku meminta untuk ditukarkan?

Aku geleng kepala sahaja. Aku tidak pernah minta tukar jabatan. Kalau aku hendak ditukarkan, mesti ada alasan kukuh daripada pihak atasan, sama ada pertukaran itu kerana prestasi lemah aku di jabatan sekarang atau aku memang diperlukan di jabatan lain untuk menambah baik jabatan berkenaan.

Malangnya si pembawa cerita tidak pula mengulas lanjut. Maknanya dia sendiri hanya dengar cerita orang! Wah, nampaknya orang lain lebih arif mengenai hal aku. Kalau dinding boleh bercakap, tentu dinding lebih tahu apa yang berlaku sekarang ini!

Aku malas ambil pusing. Sungguh! Biarlah orang hendak bergosip atau kata apa pun. Biarlah mereka buat spekulasi. Manusia ini memang suka buat spekulasi, suka buat persepsi yang bukan-bukan. Orang yang tidak kenal kita pun pandai buat persepsi terhadap kita, konon macam dia kenal sangat dengan kita. Itulah dia manusia, suka berlagak serba tahu dan rasa diri macam Tuhan!

Hendak kata aku ini arif sangat dan masak sangat dengan ragam dunia kerjaya, tidaklah juga. Tolak campur, aku baru lima tahun berada dalam dunia kerjaya. Tidaklah master sangat seperti orang yang sudah berpuluh tahun bekerja dan kenal sangat dengan sepak terajang dunia kerjaya. Tetapi dengan pengalaman yang tidak sebanyak mana ini, insya-Allah, banyak yang sudah aku pelajari mengenai rempah ratus dunia kerjaya yang aku depani sekarang.

Dari segi umur pun, aku dikira masih muda. Muda; maksudnya pengalaman hidup tidak seberapa. Tetapi kecil tidak boleh disangka anak, besar tidak boleh disangka bapa! Pepatah itu juga jadi salah satu prinsip yang aku pegang. Betul juga kata pepatah itu, kepandaian bukan dimiliki oleh orang tua sahaja.

Sabarlah Sali, kata kawan-kawan baik. Politik pejabat kan perkara biasa di mana-mana, tambah mereka. Ya, aku sabar saja. Yang penting, aku buat sahaja kerja aku dan tidak kacau orang lain. Aku harus bersangka baik terhadap semua situasi. Tentu ada hikmahnya. Pendekatan aku, tunggu dan lihat saja!

Friday, January 1, 2010

selamat datang 2010

SELAMAT tahun baru 2010. Secara teknikalnya, bertambah setahun lagi umur! Tetapi tidak mengapalah, umur sekadar angka. Apa azam tahun baru? Rasa-rasanya lebih baik baharui azam tahun lepas sahaja!

Apa yang aku hendak kongsi dengan kawan-kawan SMJ pada hari pertama tahun baru 2010 ini? Sejujurnya, sejak jadi blogger, aku sudah ada ramai ‘sahabat’. Walaupun sekadar sahabat maya, tetapi rasa seronok dan amat hargai ‘persahabatan’ maya kami. Aku teringat kata-kata seorang ahli hikmah, “1,000 sahabat itu belum memadai, tetapi seorang musuh sudah cukup banyak!”

Apatah lagi sejak SMJ dijadikan satu segmen di AKW, sahabat aku jadi bertambah ramai. Sejak dahulu sampai sekarang, aku sesungguhnya hairan mengapa SMJ yang jadi pilihan AKW? Banyak lagi blog yang lebih menarik berbanding SMJ yang sangat-sangat amatur ini. Atau adakah sebab AKW belum terjumpa dengan blog lain yang lebih bagus daripada ini?

Aku pernah juga mengirimkan e-mel pada Zamzarina, bertanya hal ini, “Apa istimewanya SMJ?” Balasnya, “Itulah rezeki.” (Tetapi aku hendak tegaskan juga, aku tidak dapat apa-apa honorarium pun apabila SMJ disegmenkan di AKW.) Tetapi aku faham konsep rezeki; dapat sahabat ramai pun itu tandanya murah rezeki!

Cuma Zam ada sebut, catatan aku ini seronok untuk didramakan, walaupun sekadar catatan biasa seorang wanita kerjaya yang kadangkala kesepian, kadangkala stres, kadangkala riang, kadangkala sedih. Macam-macam ada, itu pandangan peribadinya walaupun katanya, dia pernah terima e-mel daripada penonton yang memberikan komen bahawa SMJ tidak lebih sekadar blog yang mencatatkan hal remeh-temeh sahaja.

Okey, aku hormati pandangan peribadinya. Pandangan sesiapa pun aku akan terima dengan rasa penuh terbuka.

Blog ini pun blog peribadi, jadi aku pun tidaklah berhajat untuk tulis perkara serius-serius. Hidup inikan drama? Apa yang dipaparkan di Drama Minggu Ini atau Cerekarama, semuanya diubah suai daripada hal remeh-temeh yang dilalui manusia setiap hari...

Betul tak?

Apa pun selamat bercuti sempena tahun baru 2010. Semoga 2010 bawa cahaya gemilang untuk kita 1Malaysia! Jaga diri baik-baik.