Monday, July 26, 2010

nasihat kepenggunaan




Temanku baru balik dari luar negara dan sibuk menayangkan beg dan kasut baru yang dibelinya di sana. Kalau itu barang asli, aku tahu memang harganya cecah belasan ribu ringgit juga. Tetapi kalau itu barang tiruan, memang barang itu dibuat dengan baik kerana kelihatannya sangat asli.

Aku bukanlah kisah sangat dengan barang asli atau barang palsu kerana aku pun bukan gila jenama. Memang aku ada sepasang dua kasut dan satu dua beg tangan yang harganya mahal dan ada jenama besar sedikit. Tetapi hanya itu sahajalah, yang biasanya aku gunakan untuk majlis-majlis tertentu.

Barang mahal dan berkualiti ini orang kata ‘alah membeli menang memakai’. Aku memang akui hakikat itu tetapi bagi perempuan biasa seperti aku ini, cukuplah sekadar berpada-pada. Aku sebenarnya belajar banyak daripada kesilapan dan kelekaan aku sendiri.

Nak tahu cerita aku? Aku pernah beli sepasang dres yang harganya hampir RM1,500. Memang tidak mahal bagi orang berduit tetapi bagi aku yang sekadar pangkat eksekutif ini, harga itu sudah cukup besar. Sayangnya, baju yang harga RM1,500 itu hanya sekali aku pakai. Itu pun dalam keadaan terkial-kial, tarik sana tarik sini kerana rasa sangat tidak selesa.

Dan sekarang baju itu tergantung sahaja di dalam almari, jadi perhiasan almari. Sekali pandang rasa sayang. Berkali-kali pandang, rasa seperti hendak gunting-gunting saja sebab kesal dengan sikap terburu-buru dahulu.

Apa boleh buat. Itulah, ketika membeli dahulu tidak berfikir panjang, nampak cantik pada mata, tetapi belum tentu molek apabila dikenakan pada tubuh. Rasa-rasanya ramai perempuan lain seperti aku juga, yang selalu tidak ukur baju di badan sendiri. Sudah-sudahnya ada yang baju sempit, terlebih saiz, terlebih panjang atau terkurang pendek. Faham-faham sendirilah ya....

Perempuan dalam bab membeli, memang nombor satu! Kalau boleh, seluruh pusat beli belah hendak diborong sekali. Mungkin ada kaitan dengan fitrah wanita yang sukakan keindahan dan kecantikan. Apa-apa sahaja nampak cantik pada matanya.

Aku bukanlah hendak mengata sesiapa. Aku mengata diri sendiri sebenarnya. Aku ingat-ingatkan diri juga sebab dua tiga minggu lagi, kita hendak sambut puasa dan sebulan selepas itu, akan meraikan Aidilfitri. Jadi eloklah aku ingatkan diri awal-awal agar berpada-pada berbelanja. Berbelanja ikut keperluan, bukan keinginan.

Okey ke? Rasanya aku punya catatan mengenai persiapan raya. Nanti senang-senang aku sambung lagi ya....

Sunday, July 18, 2010

sekadar luahan perasaan


Penatnya! Minggu ini terasa amat meletihkan. Tugasan, mesyuarat pengurusan, perbincangan dengan pengiklan dan diskusi program tahunan – semuanya berjalan dalam minggu ini. Macam sudah tidak ada hari lain!

Memang beginilah nasib orang yang bekerja makan gaji dan lakukan kerja yang melibatkan pihak lain. Mereka fikir masa mereka sahaja. Mereka fikir mereka saja yang sibuk dan semua hendak ‘sumbat’ temu janji pada masa yang sama.

Bagus kan, kalau ada ‘klon’, jadi aku boleh arah-arahkan klon aku penuhi semua temu janji. Diri sendiri bolehlah rehat. Heheheh... Apa yang aku merepek ni?

Tetapi apabila aku fikir-fikir semula, memang begitulah keadaan dunia aku dalam bidang media. Itulah, dulu arwah abah suruh aku ‘kerja kerajaan’. Katanya, senang kerja
9 – 5, setiap hari duduk dalam pejabat sahaja, tidak perlu terkejar-kejar sana sini.

Barangkali sebab arwah pun pesara kerajaan, itu sebab dia galakkan aku kerja kerajaan juga. Bukan aku seorang saja tetapi hampir semua anak dia! Tetapi aku yang tidak mahu. Konon, hendak kerjaya yang lebih mencabar, lasak dan berani. Jadi aku pilih kerjaya ini.

Terima sajalah Sali, inilah pilihan yang engkau buat! Jangan berkeluh-kesah lagi.

Mengapa aku berleter-leter mengenai penat bekerja? Sebenarnya bukanlah apa-apa pun. Aku hanya ingin meluahkan perasaan, mungkin sebab penat dengan jadual minggu ini. Cara terbaik luahkan perasaan, adalah melalui blog ini!

Biasalah, kita manusia ada ketika-ketikanya rasa penat dan lelah. Apabila rasa penat dan lelah, mulalah fikir yang bukan-bukan.

Ini hanya satu luahan perasaan. Apa pula luahan perasaan anda?

Monday, July 12, 2010

cemburu tanda sayang?


Kecoh seketika di pejabatku. Nina (bukan nama sebenar), penyambut tetamu di pejabat kami tiba-tiba ‘diserang’. Dia diserang oleh suaminya sendiri, yang datang memarahinya, memakinya dan mengugut hendak memukulnya. Kecoh sungguh kaunter penyambut tetamu dibuatnya. Nasib baik tetamu tidak ramai, kalau tidak, harus lebih malu besar.

Yang paling malu besar; Ninalah. Sebab yang buat hal itu adalah suaminya sendiri!

Beberapa orang bos keluar untuk mententeramkan keadaan di kaunter depan. Drama sungguh! Tetapi mereka balik kena sembur dek suami Nina yang naik hantu. Bos bahagian sumber manusia, Encik Li masuk campur. Dia pun sama juga kena maki, “Jangan masuk campur. Ini hal rumah tangga kami. Orang luar jangan memandai-mandai!” Bengis sungguh suami Nina itu. Lagak macam orang separuh mabuk pun ada, hissy!

“Memang rumah tangga awak. Tapi awak datang buat kacau di pejabat orang. Ini tempat kerja, tempat cari rezeki. Kalau hendak bergaduh laki bini, bergaduh di rumah, bukan di pejabat. Jangan buat hal macam orang tak ada akhlak!” Sekali Encik Li sudah balas balik!

Hampir bergaduh dan bertumbuk juga tetapi dapat dileraikan oleh pengawal keselamatan. Suami Nina dihalau keluar. Kasihan Nina. Menangis-nangis dia diperlakukan suaminya. Sakit hati memang pasti. Malu lagi kepada rakan sekerja.

Nina memang pernah bercerita padaku mengenai suaminya yang panas baran. Ibu kepada seorang anak itu baru 26 tahun dan sudah tiga tahun berkahwin. Katanya, suaminya memang kuat cemburu dan selalu mengawal pergerakan dia.

Petang itu, yang jadi punca sampai serang-menyerang di pejabat sebab sebelah paginya, suami Nina terbaca satu SMS yang dikirimkan teman lelaki lama Nina. Nina bertegas kata, dia tiada apa-apa lagi dengan lelaki itu. Sampai ke pejabat suaminya asyik menelefon tidak puas hati sehingga Nina terpaksa tutup telefon. Sebab tidak dapat bercakap dengan Nina, suaminya tidak sabar lalu datang serang di pejabat.

“Malu saya, kak. Malu satu pejabat dengan perangai gila dia tu….” Nina teresak-esak mengadu ketika aku temankan dia ke kereta. Encik Li suruh dia ambil cuti separuh hati dan balik saja ke rumah untuk elak suaminya datang lagi ke pejabat kami.

Sabarlah Nina. Aku biasa dengar perempuan yang terlebih-lebih cemburu dan asyik hendak kawal pergerakan suami. Tetapi kali ini terbalik pula. Memanglah cemburu tanda sayang tetapi kalau sampai peringkat memalukan diri sendiri dan orang lain, itu sudah hilang malu namanya!

Aku doakan Nina tak apa-apa. Semoga rumah tangganya dipelihara Allah! Mudah-mudahan kita ambil iktibar daripada cerita Nina.

Sunday, July 4, 2010

tidur bola, makan bola, minum bola!


Sekarang ini musim ‘tidur bola, makan bola, minum bola’. Aku bukanlah peminat bola sepak tegar tetapi memandangkan ini fenomena dunia, serba sedikit harus ambil tahu juga.

Aku tumpang pasang telinga saja apabila dengar kawan-kawan sepejabat (terutamanya lelaki) bergebang mengenai bola. Aku senyum, geleng kepala, dan kadangkala tersengih sahaja mendengar mereka bersungguh-sungguh bercerita mengenai Azzuri, All Whites, Oranje, Blue Samurai dan segala bagai itu. Mereka sebut nama Zambrotta, Fabiano, Kaka, Sneijder, Iaquinta, Ronaldo, dan entah siapa-siapa lagi, macamlah semua orang itu kawan baik mereka!

Ada yang datang ke pejabat dengan mata merah macam orang sakit mata, alasannya tidak cukup tidur sebab tengok bola. Entah betul, entah gurau, aku pun bukanlah kisah sangat dengan jadual perlawanan bola sepak ini!

Beberapa kali aku juga tidak cukup tidur, bukan kerana tengok bola kerana kerana adik-beradik aku tengok bola. Bisingnya ya Allah, macam mereka yang main bola, macam mereka duduk di tepi padang bola. Sekali mereka bertempik, bergegar rumah sampai aku sendiri terkejut dari tidur. Aku hendak saja bangun dan sepak mereka!

Emak aku sekadar geleng kepala. Sambil bergurau, emak kata, orang boleh jadi gila mengejar sebiji bola yang bulat di tengah padang, berlari satu padang menghambat bola untuk capai matlamat.

Aku terfikir sesuatu; andaikan dunia ini seperti bola dan kita mengejar dunia untuk mencapai matlamat. Begitulah juga kita jadi gila atau digilakan oleh dunia kerana mengejar benda bulat itu, tidak pernah puas-puas walaupun sudah dapat banyak (gol). Sudah dapat gol, hendak gol lagi.

Tetapi rasa-rasanya bahang Piala Dunia sekarang ini belumlah begitu panas. Tunggulah apabila perlawanan akhir nanti, barangkali lebih ramai yang akan tuang kerja kerana tidak boleh bangun pagi sebab mengejar bola.

Apa-apa pun kepada rakan-rakanku si ‘kaki bola’, jangan sampai kerja terganggu. Dalam hidup, kita pun ada matlamat kan?