Tuesday, December 29, 2009

tahun baru: rai di mana?

KAWAN-KAWAN sibuk merancang sambutan tahun baru 2010. Tahun baru dua tiga hari lagi, tetapi mereka semua sudah sibuk merancang itu ini. Hendak tengok bunga apilah, hendak tengok konsertlah. Segala!

“Malam tahun baru di KL kan meriah. Jomlah kita tambah kemeriahan KL ni,” begitu lebih kurang mereka ‘menggoda’ aku, mengecek aku untuk ikut serta.

Maaflah ya, aku susah sedikit hendak ‘tergoda’ dengan pujukan begitu.

Sudah hampir 10 tahun aku tinggal di Kuala Lumpur, tetapi sungguh aku tidak pernah ikut berembun sampai pagi buta semata-mata untuk menunggu kiraan detik 12 tengah malam. Apatah lagi hendak bersama-sama memeriahkan sambutan tahun baru dengan melihat konsert di tempat terbuka atau mana-mana kelab hiburan.

Aku bukanlah anti hiburan atau anti sosial. Aku bukanlah tidak suka keluar dengan kawan-kawan tetapi bukan ke tempat-tempat begitu. Bukanlah alim sangat pun! Cuma rasa tidak selesa ke lokasi-lokasi begitu. Walaupun bekerja dalam dunia media, aku kadangkala masuk juga ke pusat hiburan, kelab atau segala yang seumpama dengannya, tetapi setakat itu sahajalah untuk mendapatkan berita. dan jalankan tugas.

Untuk peribadi, lebih baiklah aku ke tempat yang lebih tenang dan menyejukkan hati. Atau duduk-duduk sahaja di rumah, mengulit buku (dan novel; ini bacaan kegemaran baru aku!) atau sekadar membaca di internet.

Kepada kawan-kawan yang berhajat hendak berembun malam 31 Disember nanti, pergilah. Cuma jaga diri baik-baik. Aku teringat, ketika mula-mula bekerja dahulu aku pernah ditugaskan untuk wawancara seorang remaja di sebuah rumah perlindungan gadis. Kasihannya kisah budak perempuan ini, dia ‘rosak’ pada malam 31 Disember.

Katanya, dia teruja sangat hendak tengok sambutan tahun baru, sebab sebelum ini hanya tonton di televisyen sahaja. Jadi, dia pun ikut beberapa orang kawannya datang ke Kuala Lumpur (dia tinggal di Hulu Langat). Seronok sangat dapat kawan baru lelaki dan perempuan, akhirnya dia ‘dihimpit’ budak-budak lelaki mat motor yang galak mencari mangsa. Maka terjadilah peristiwa hitam itu dan sudah-sudahnya dia terlantar di rumah perlindungan gadis.

(Apa khabar adik itu sekarang? Aku tidak pernah temuinya lagi selepas aku wawancara dia untuk majalah aku.)

Moral cerita, bergembiralah tetapi berpada-pada (walaupun aku tahu kawan-kawan aku pandai jaga diri). Peringatan ini untuk aku dan sesiapa saja yang sudi terima.

Apa pun aku bangga jadi orang Malaysia!

Friday, December 25, 2009

siaran promosi


Terima e-mel daripada Zamzarina. Zam minta aku tolong promosikan programnya di blog SMJ.

'2010 Self Turn-Around Seminar (1st Series)'
Tarikh: 31 Januari 2010, mulai 9 pagi – 5 petang
Tempat: Hotel DePalma Ampang, Selangor
(Klik poster Zam & Dr. Niki di sebelah kalau nak tengok maklumat lanjut mengenai seminar.)

Menarik saja nampaknya seminar ini. Aku pernah tengok Dr. Niki dalam AKW minggu lepas. Bersemangat tengok Dr. Niki yang bersemangat memberikan motivasi. Mendengar 'testimonial' Zam yang berkesempatan ikut program Dr. Niki sebelum ini, buat aku teruja juga.

Rasa macam hendak ikut serta!

Sahabat-sahabat maya SMJ, jomlah kita tambah ilmu!

Wednesday, December 16, 2009

penilaian prestasi

Disember sibuk dengan penilaian prestasi. Tidak kurang sibuk juga dengan perancangan prestasi untuk tahun hadapan. Rasa-rasanya sepanjang tahun 2009, aku sudah lakukan yang terbaik dalam kerjaya, walaupun ada ketikanya aku dilanda kemelut peribadi yang sedikit banyak agak menjejaskan tumpuan pada kerja.

(Kemelut peribadi? Oh, yang itu tidak usah dikenang-kenang. Sudah tutup buku, okey!)

Penilaian prestasi tahun ini, alhamdulillah, 80 peratus pencapaian aku seperti yang aku jangka. Orang kata aku ini perfectionist tetapi rasa-rasanya tidaklah begitu. Aku selalu impikan yang terbaik untuk diri sendiri. Salahkah?

Mungkin ukuran ‘terbaik’ itu yang tidak sama antara aku dengan orang lain. Yalah, kadangkala terasa juga bahawa aku ini memberikan tekanan kepada diri sendiri. Tetapi apabila aku fikir-fikirkan semula secara rasional, tidak salah rasanya kalau letakkan penanda aras yang agak tinggi kepada diri sendiri. Itu tandanya aku mencabar diri sendiri untuk menjadi yang terbaik.

Allah beri kita akal dan kudrat, maka tentulah tidak salah kalau kita memaksimumkannya. Kalau akal kreatif, keadaan buruk pun boleh berubah baik seperti kata pepatah, “kalau pandai menggulai, badar pun jadi tenggiri.”

Ukuran untuk perancangan prestasi tahun hadapan? Insya-Allah, aku akan kekalkan momentum sekarang. Itu janji aku pada diri sendiri. Mungkin ada beberapa perkara boleh aku perbaiki, termasuk komunikasi dengan Lady Boss yang tidak begitu cemerlang! Boleh, bos? Hehehe...

(Nasib baik bukan Lady Boss yang buat penilaian prestasi aku, kalau tidak, habis aku!)

Ya Allah, ya Tuhanku, mudah-mudahan segala perancangan akan berjalan sempurna. Berikanlah kemudahan dan kelancaran yang sama pada kami semua, termasuk semua sahabat maya SMJ. Amin.

Wednesday, December 9, 2009

cari mangkin!


HUJUNG tahun, aku rancang untuk bercuti. Tetapi nampaknya, aku telan air liur sahajalah. Dengan keadaan kerja yang tidak pernah surut-surut, jangan berangan-angan hendak bercuti, Salina! Kadangkala tertekan juga dengan suasana di pejabat. Terasa kebelakangan ini, seperti ada suatu yang kurang sedap.

Apa ya? Agaknya sebab aku tidak ada sumber inspirasi atau kata anak remaja, tidak ada mangkin. Siapa yang hendak jadi ‘mangkin’ yang boleh naikkan semangat aku? Adalah kawan-kawan baik di pejabat yang tunjukkan aku orang itu, orang ini (kalangan rakan pejabat jugalah!) yang kata mereka, sesuai untuk dijadikan ‘mangkin’.

Kata aku, itu bukan mangkin, itu mangsa, tidak pun ‘mangkuk’! Heheh. Banyak sungguh idea betul kawan-kawan aku. Ada-ada saja cara mereka untuk ceriakan hidup aku. Kawan-kawan sahajalah dunia aku sekarang, selain keluarga (emak dan adik-beradik yang aku sayangi).

Ramai kawan tidak rugi, mereka akan jadi penyelamat, pendorong dan penghibur. Ibarat kata bidalan Melayu, “kerana sabut tebal, tempurung pun jadi kebal”, maksudnya kalau ramai handai taulan, hidup selamat.

Tetapi sesekali fikir, betul juga. Kita perlukan sesuatu yang baru untuk menceriakan hidup. Kalau aku muhasabah diri sendiri, enam bulan lepas aku mulakan blog ini untuk ceriakan hidup aku. Mungkin sudah masanya, aku fikirkan sesuatu yang baru lagi untuk tambah rempah enaknya hidup ini.

Cari mangkin baru? Isy, tidak ada calon yang sesuailah!

Wednesday, December 2, 2009

cari rezeki


BERCAKAP mengenai kerja, aku memang sukakan kerja aku ini. Sangat-sangat suka. Ada orang bertanya, apa yang menarik mengenai kerja aku ini? Bekerja sebagai pengamal media, sudah tentu aku dapat jumpa ramai orang, berbincang, bertukar pendapat dan pelbagai lagi. Itu semua aktiviti yang sangat membuka minda.

Saudara mara aku kata, aku gila kerja. Apa yang aku hendak kejar; pangkat besar, gaji besar, rumah besar, kereta mewah, apa lagi yang besar? Tetapi salahkan kalau aku bercita-cita tinggi? Salahkah kalau perempuan ada cita-cita dan impian besar? Kalau aku sebut mengenai perempuan, aku kata aku feminis pula!

Kebetulan beberapa hari lepas, terserempak seorang kawan lama satu sekolah dahulu. Aku tanya kerja apa, jawapnya, “Kita cikgu je.” Dalam hati aku, mengapa dia jawab begitu, tidak banggakah dia dengan kerja sendiri? “Kita bukan macam awak, kerja besar!” katanya lagi.

“Jadi cikgu kan kerja mulia?” Aku hendak jawab begitu, tetapi aku tidak kuasa hendak panjangkan cerita. Moral cerita ini, aku rasa kita patut bangga dengan apa yang kita lakukan. Aku harap adik-adik yang baru berjinak-jinak dalam dunia kerjaya, berbanggalah dengan apa yang anda lakukan.

Apa pun ingat kata orang tua, jangan memangku ayam jantan, baik memangku ayam betina, maksudnya, rezeki halal lebih baik daripada rezeki haram. Betul tak?