Wednesday, September 29, 2010

cerita lepas raya


Beberapa orang kawan (termasuk sahabat maya SMJ) bertanya mengenai kunjungan Im ke rumah emak aku ketika raya dahulu. Okeylah, sejujurnya aku mahu beritahu untuk mengelak andaian yang bukan-bukan.

Itu kunjungan sempena Aidilfitri. Bukan merisik, jauh sekali meminang. Lagipun aku dengan Im rasa-rasanya belum ada apa-apa. Kami selesa berkawan biasa sahaja setakat ini.

Memanglah ada beberapa kali kami bertemu sebelum ini. Pernah juga berbuka puasa bersama-sama. Namun sebenarnya bukan kami berdua tetapi dengan beberapa orang kawan masing-masing. Aku datang dengan kawan-kawan aku. Dia datang dengan kawan-kawan dia. Selesa beramai-ramai begitu!

Sebetulnya aku malu hendak tulis benda-benda begini. Nanti orang kata, hidung tak mancung, pipi pula yang tersorong-sorong. Lagipun rasa tidak manis benar apabila orang perempuan menulis perkara yang melibatkan perhubungan lelaki dan wanita yang belum pasti.

Kawan-kawan sepejabat asyik mengusik tidak habis-habis, apatah lagi selepas aku menulis kejadian raya ketiga tempoh hari. Memang inilah risiko berblog sebenarnya, betul tak? Macam satu dunia sudah tahu!

Minggu ini penuh dengan rumah terbuka. Undangan pun banyak; sama ada daripada kawan-kawan dan rakan-rakan niaga kami. Hendak pergi semuanya, entahlah mampu atau tidak. Hendak abaikan, terasa sayang pula, terutamanya dari kalangan rakan niaga. Kadangkala dalam majlis inilah peluang bertemu, bergesel bahu (kata orang) dan menambah rangkaian kenalan. Penting untuk orang media seperti aku.

“Gemuklah aku lepas raya ni, beb!” Rungut kawan-kawan.

“Tak baik merungut. Itu rezeki Allah bagi!” Ada pula suara menyanggah.

Alhamdulillah, banyak undangan rumah terbuka menandakan kawan-kawan ingat kita. Kalau orang tidak ingat kita, satu masalah juga, ya tak?

Eh, sempat ke nak habiskan puasa enam ni?

Tuesday, September 21, 2010

kembali bertugas


Seminggu bercuti, pasti buat semua orang cukup malas hendak kembali bertugas. Mood bercuti masih kuat dalam diri. Banyak rakan sekerja tampil di pejabat dengan baju raya; menayang baju raya masing-masing. Wah, meriah begitu!

Minggu pertama kembali bertugas selepas raya memang meriah. Selain baju raya, siap dengan biskut berbalang-balang berpindah dari satu tangan ke satu tangan. Juga saling bermaaf-maafan sebab ada sebahagian yang tidak sempat bertemu untuk bersalam raya sebelum bercuti panjang tempoh hari.

Budaya bersalam-salaman dan bermaaf-maafan memang tradisi raya yang tidak pernah luntur.

Kami sempat juga bersalam-salaman dan bermaaf-maafan dengan Puan Bos yang tegas garang dan selalu mencetuskan kontroversi itu. Di depannya, muka tersenyum manis, nanti di belakang Puan Bos, pasti terdengarlah suara gossip dan umpatan. Kadangkala rasa macam kami ini pelakon yang baik juga.

Alah, mulut manusia mana boleh tutup!

“Hah! Raya tu beraya juga. Ini raya dah habis, fokus kerja balik. Kerja lebih sedikit sebab nak kena cover balik apa yang tertinggal masa cuti dulu. Dah bercuti panjang, jangan pula lambat hantar bahan lepas raya!” Puan Bos memang tidak beri kesempatan pada kami untuk bersuka ria sedikit!

Beberapa orang kawan kami mencebik di belakang mendengar amaran itu.

“Apa yang menarik cuti di kampung, Sal? Ada orang masuk merisik tak tahun ni?” Kak Ros mengusik aku.

“Hisy! Kak Ros ni, ke situ pulak. Tak sesuai sungguh!”

“Kak Ros nampak Sal pakai cincin tu. Macam cincin baru saja…” Tajam sungguh mata Kak Ros. Cincin yang aku pakai di jari pun dia boleh jadikan bahan gossip.

“Ini cincin lamalah, Kak Ros. Saya jarang-jarang pakai tapi hari raya saya pakailah sebab ini hadiah emak ayah saya. Kalau tak pakai, kecil hati pula mak saya!” aku terangkan pada Kak Ros.

Kak Ros tersenyum meleret, “Hmm, yalah tu, Sal!”

Ada-ada saja Kak Ros hendak menggosipkan aku! Tak kuasa mak nak layan…

Monday, September 13, 2010

cerita raya


Masih berhari raya. Orang dewasa pun tidak kalah dengan budak-budak yang seronok sakan berhari raya. Anak-anak buah sibuk mengumpul duit raya. Tetapi anak-anak Along aku kalau beraya di kampung, tak berapa suka berjalan, sebaliknya lebih seronok berlonggok depan televisyen.

Ini memang ragam budak-budak sekarang. Mereka lebih seronok beraya depan televisyen daripada berkunjung ke rumah orang. Alasan mereka, sebab mereka tidak kenal orang kampung, jadi malulah hendak bertandang sesuka hati. Logik juga alasan mereka kan?

Cerita hari raya mungkin sedikit klise kerana setiap tahun ceritanya sama saja bagi orang bujang seperti aku. Setiap tahun ulang rutin yang sama – jadi tukang bancuh air, tukang cuci pinggan dan segala macam yang seumpama dengannya!

Kalau hendak pergi beraya ke rumah saudara-mara, kena ada orang tua (emak aku) sekali. Kalau tidak, harus tuan rumah tidak kenal, maklumlah sebab sejak bekerja, aku tidak tinggal di kampung lagi. Jarang-jarang sangat berjumpa sampai orang kampung pun tidak ingat lagi…

Raya ketiga, ketika semua orang di rumah berehat kerana keletihan baru balik dari raya (& makan-makan di rumah saudara mara), rumah emak dikunjungi tetamu. Dua kereta lagi, entah siapa, aku pun tidak pasti. Mungkin kawan-kawan lama emak agaknya.

Dengar suara riuh-rendah di depan, tahulah aku rupa-rupanya mak su sekeluarga yang datang. Pak su baru tukar kereta rupa-rupanya, patutlah aku tidak perasan tadi. Mak su dengan Pak su sengaja hendak tayang kereta barulah tu!

Yang buat aku terkejut, apabila tengok tetamu dari kereta sebuah lagi. Sekali tengok, rasa macam kenal. Dua kali tengok, memang kenal!

Im!

“Kami memang nak datang beraya ke sini. Im tiba-tiba nak ikut, sebab nak tengok suasana raya di sini. Itu yang ajak sekali mak ayahnya…” mak su beria-ia menerangkan.

Im tersenyum-senyum saja. Emak ayahnya ramah juga, siap bawa buah tangan kuih raya lagi. Biasalah, bertukar-tukar kuih raya memang jadi adat lazim orang kampung.

“Kak Ngah, macam mana Kak Ngah kenal saudara sebelah pak su tu?” adik perempuan aku yang sudah jadi emak orang itu sibuk hendak tahu, bukan sibuk hendak tolong aku bancuh air di dapur.

Aku cakap, aku kenal mereka semasa kenduri arwah nenek beberapa bulan lepas.

“Oh! Mereka datang hendak merisik Kak Ngah ke?” adik aku terus tanya soalan, tak bertapis-tapis langsung!

Aku tercengang, tak terjawab soalan itu! Entahlah dik….

Sunday, September 5, 2010

apabila lelaki shopping!


Minggu depan Aidilfitri. Ya Allah, pejam celik, pejam celik, sudah raya kita ya! Cepat sungguh masa berlalu.

Aku berborak-borak dengan Along, abang sulung aku di telefon. Katanya, anak isterinya semua sudah ada baju baru. Terkorban jugalah beberapa ratus untuk membeli baju raya anak isteri tersayang.

“Apa warna tema tahun ni?” aku bertanya. Kakak ipar aku antara isteri yang cukup rajin merancang itu ini untuk keluarga. Tahun lepas sedondon mereka warna hijau, sampai kami di kampung gelarkan mereka ‘pokok pisang’. Tahun ini apa pula?

“Tahun ni tak ada warna tema. Yang sulung tu nak warna biru, adiknya nak warna merah jambu, kakaknya nak ungu. Ikut suka merekalah. Jadi tahun ni, warna pelangi!”

Macam-macamlah Along ni!

Aku tahu biasanya Along memang selalu menyerahkan saja urusan baju raya ini kepada isterinya. Kadangkala dia nampak macam tidak kisah sangat dengan apa yang isterinya sediakan. Biasalah kan, lelaki… selalu nampak macam tak kisah saja. Asal ada, cukuplah!

Tetapi sebenarnya lelaki pun tidak kurang hebatnya dalam berbelanja. Along aku itu nampak saja macam tidak kisah tetapi kalau dia sendiri keluar membeli-belah memang cerewetnya, ya ampun!

Aku pernah temankan dia membeli kemeja kerjanya. Habis satu ruang pakaian lelaki diterokanya tetapi masih tidak dapat yang dia berkenan. Warna tidak sesuai, potongan tidak menarik, kain tak berkualiti – segala macam kritikannya. Selepas dua jam berpusing berputar, sampai aku sudah letih lenguh dan tidak kuasa lagi hendak berdiri – akhirnya barulah dapat sehelai kemeja yang dia suka. Lepas dapat sehelai, aku ingat selesai sudah. Rupa-rupanya dia hendak membeli lagi.

“Ngah, Along ni tak selalu membeli baju. Apa salahnya kalau beli lebih sedikit? Tapi kemeja kedua ni, boleh tak Angah sponsor?” Suka hati dia saja minta aku bayar. Sebab dia beria-ia membodek dan aku pun memang jarang-jarang membelikan hadiah untuknya, maka aku pun setuju untuk menaja. Kiranya aku ini adik yang baik hati jugalah kan…

Okeylah, aku kena tamatkan dahulu catatan kali ini.

Selamat hari raya untuk semua sahabat SMJ. Bila hendak balik kampung? Hati-hati di jalan raya!