Monday, March 29, 2010

mesti walau tidak wajib!

Kawan-kawanku di pejabat selalu berkata, mereka tiada masa untuk membaca. Maksud mereka; membaca buku. Walaupun membaca adalah perkara yang mesti pada pengamal media tetapi hakikatnya tidaklah sampai ke tahap wajib. Selalu yang jadi amalan, kita setakat baca produk sendiri untuk meneliti kekuatan kelemahan sendiri.

Kalau lebih sedikit, kita baca pula produk pesaing untuk meninjau kekuatan dan kelemahan mereka. Kalau dia buat akhbar, dia hanya baca akhbar sendiri dan sesekali belek akhbar syarikat pesaing untuk mencari apa yang patut. Kalau dia buat majalah pula, selain baca majalah sendiri, dia baca jugalah satu dua majalah yang jadi pesaingnya untuk tujuan sama. Setakat itu sahajalah.

Di kalangan rakan-rakan perempuanku, mereka selalu berkata, tiada masa hendak membaca! “Awak lainlah, tak ada siapa yang dijaga. Kami yang sudah beranak-pinak, banyak orang minta perhatian. Balik ke rumah hendak layan anak, layan suami, masak, kemas rumah - jadi berapa saja masa yang tinggal untuk membaca?”

Oh, begitukah? Aku buat muka kagum dan tercengang sahaja. Bunyinya macamlah orang bujang seperti aku ini tidak ada kerja dan punya banyak sangat masa lapang!
Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih kan? Itu pendapat mereka, terpulanglah.

Aku baru habiskan beberapa ratus RM dalam kunjungan pertama ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC minggu lalu. Terkurung di pejabat menghadap kerja yang tidak selesai-selesai, aku ambil keputusan ‘lari sekejap’ ke sana. Asal niat hendak berjalan-jalan cuci mata sahaja sebab aku fikir, aku akan pergi sekali lagi sebelum Pesta Buku berakhir. Tetapi aku gagal tahan ‘nafsu membeli’.

Sesetengah orang membeli barang kemas, kasut Jimmy Choo atau beg Louis Vuitton yang cecah harga ribuan RM sebagai terapi minda. Tetapi bagi aku, cukuplah dengan membeli dan membaca buku sebagai ubat stress.

Pilihan aku; buku-buku motivasi dan self-improvement tetapi kebelakangan ini aku mula berjinak-jinak dengan novel-novel Melayu yang menggunakan bahasa yang baik, yang membawa kisah moral yang baik dan tinggi estetikanya. Tidak kisahlah dari penerbit manapun, asalkan bukunya baik dan membina minda.

Jadi, kawan-kawan, marilah kita membaca!

6 comments:

Normah said...

Saya setuju 300% dengan pendapat cik sally. Samalah juga macam kita baca Quran. dapat 1 hari satu muka di bacapun sudah memadai, atau paling tidak 1 hari 1 ayat. Alasan tak ada masa memang tak boleh diterima akal langsung.

~Kak AZZ~ said...

Terlepas peluang nak pergi ke pesta buku tu....

Apa kata lainkali dilanjutkan pesta buku tu kepada 2 minggu... Seminggu tu rasanya suntuk sangat laa...

SHIKIN said...

saya sokong.sy sdiri akan cuba baca dlm st hari. rasa mcm bodoh bl org bercerita kita tak tau ape2. www.shikinlatiff.blogspot.com

Nur Azmina said...

betul tu betul. daripada beli barang-barang berjenama yang mahal tu lebih baik kita beli buku.

harga pun lebih murah. selain tu, pengetahuan kita pun akan semakin bertambah.

honey amour said...

agree..!!!!!!!!!!!!!!!!

noreenzee said...

Welcome to da club cik Sali :) Reading is the best therapy.