
Masih berhari raya. Orang dewasa pun tidak kalah dengan budak-budak yang seronok sakan berhari raya. Anak-anak buah sibuk mengumpul duit raya. Tetapi anak-anak Along aku kalau beraya di kampung, tak berapa suka berjalan, sebaliknya lebih seronok berlonggok depan televisyen.
Ini memang ragam budak-budak sekarang. Mereka lebih seronok beraya depan televisyen daripada berkunjung ke rumah orang. Alasan mereka, sebab mereka tidak kenal orang kampung, jadi malulah hendak bertandang sesuka hati. Logik juga alasan mereka kan?
Cerita hari raya mungkin sedikit klise kerana setiap tahun ceritanya sama saja bagi orang bujang seperti aku. Setiap tahun ulang rutin yang sama – jadi tukang bancuh air, tukang cuci pinggan dan segala macam yang seumpama dengannya!
Kalau hendak pergi beraya ke rumah saudara-mara, kena ada orang tua (emak aku) sekali. Kalau tidak, harus tuan rumah tidak kenal, maklumlah sebab sejak bekerja, aku tidak tinggal di kampung lagi. Jarang-jarang sangat berjumpa sampai orang kampung pun tidak ingat lagi…
Raya ketiga, ketika semua orang di rumah berehat kerana keletihan baru balik dari raya (& makan-makan di rumah saudara mara), rumah emak dikunjungi tetamu. Dua kereta lagi, entah siapa, aku pun tidak pasti. Mungkin kawan-kawan lama emak agaknya.
Dengar suara riuh-rendah di depan, tahulah aku rupa-rupanya mak su sekeluarga yang datang. Pak su baru tukar kereta rupa-rupanya, patutlah aku tidak perasan tadi. Mak su dengan Pak su sengaja hendak tayang kereta barulah tu!
Yang buat aku terkejut, apabila tengok tetamu dari kereta sebuah lagi. Sekali tengok, rasa macam kenal. Dua kali tengok, memang kenal!
Im!
“Kami memang nak datang beraya ke sini. Im tiba-tiba nak ikut, sebab nak tengok suasana raya di sini. Itu yang ajak sekali mak ayahnya…” mak su beria-ia menerangkan.
Im tersenyum-senyum saja. Emak ayahnya ramah juga, siap bawa buah tangan kuih raya lagi. Biasalah, bertukar-tukar kuih raya memang jadi adat lazim orang kampung.
“Kak Ngah, macam mana Kak Ngah kenal saudara sebelah pak su tu?” adik perempuan aku yang sudah jadi emak orang itu sibuk hendak tahu, bukan sibuk hendak tolong aku bancuh air di dapur.
Aku cakap, aku kenal mereka semasa kenduri arwah nenek beberapa bulan lepas.
“Oh! Mereka datang hendak merisik Kak Ngah ke?” adik aku terus tanya soalan, tak bertapis-tapis langsung!
Aku tercengang, tak terjawab soalan itu! Entahlah dik….