Sunday, July 18, 2010

sekadar luahan perasaan


Penatnya! Minggu ini terasa amat meletihkan. Tugasan, mesyuarat pengurusan, perbincangan dengan pengiklan dan diskusi program tahunan – semuanya berjalan dalam minggu ini. Macam sudah tidak ada hari lain!

Memang beginilah nasib orang yang bekerja makan gaji dan lakukan kerja yang melibatkan pihak lain. Mereka fikir masa mereka sahaja. Mereka fikir mereka saja yang sibuk dan semua hendak ‘sumbat’ temu janji pada masa yang sama.

Bagus kan, kalau ada ‘klon’, jadi aku boleh arah-arahkan klon aku penuhi semua temu janji. Diri sendiri bolehlah rehat. Heheheh... Apa yang aku merepek ni?

Tetapi apabila aku fikir-fikir semula, memang begitulah keadaan dunia aku dalam bidang media. Itulah, dulu arwah abah suruh aku ‘kerja kerajaan’. Katanya, senang kerja
9 – 5, setiap hari duduk dalam pejabat sahaja, tidak perlu terkejar-kejar sana sini.

Barangkali sebab arwah pun pesara kerajaan, itu sebab dia galakkan aku kerja kerajaan juga. Bukan aku seorang saja tetapi hampir semua anak dia! Tetapi aku yang tidak mahu. Konon, hendak kerjaya yang lebih mencabar, lasak dan berani. Jadi aku pilih kerjaya ini.

Terima sajalah Sali, inilah pilihan yang engkau buat! Jangan berkeluh-kesah lagi.

Mengapa aku berleter-leter mengenai penat bekerja? Sebenarnya bukanlah apa-apa pun. Aku hanya ingin meluahkan perasaan, mungkin sebab penat dengan jadual minggu ini. Cara terbaik luahkan perasaan, adalah melalui blog ini!

Biasalah, kita manusia ada ketika-ketikanya rasa penat dan lelah. Apabila rasa penat dan lelah, mulalah fikir yang bukan-bukan.

Ini hanya satu luahan perasaan. Apa pula luahan perasaan anda?

Monday, July 12, 2010

cemburu tanda sayang?


Kecoh seketika di pejabatku. Nina (bukan nama sebenar), penyambut tetamu di pejabat kami tiba-tiba ‘diserang’. Dia diserang oleh suaminya sendiri, yang datang memarahinya, memakinya dan mengugut hendak memukulnya. Kecoh sungguh kaunter penyambut tetamu dibuatnya. Nasib baik tetamu tidak ramai, kalau tidak, harus lebih malu besar.

Yang paling malu besar; Ninalah. Sebab yang buat hal itu adalah suaminya sendiri!

Beberapa orang bos keluar untuk mententeramkan keadaan di kaunter depan. Drama sungguh! Tetapi mereka balik kena sembur dek suami Nina yang naik hantu. Bos bahagian sumber manusia, Encik Li masuk campur. Dia pun sama juga kena maki, “Jangan masuk campur. Ini hal rumah tangga kami. Orang luar jangan memandai-mandai!” Bengis sungguh suami Nina itu. Lagak macam orang separuh mabuk pun ada, hissy!

“Memang rumah tangga awak. Tapi awak datang buat kacau di pejabat orang. Ini tempat kerja, tempat cari rezeki. Kalau hendak bergaduh laki bini, bergaduh di rumah, bukan di pejabat. Jangan buat hal macam orang tak ada akhlak!” Sekali Encik Li sudah balas balik!

Hampir bergaduh dan bertumbuk juga tetapi dapat dileraikan oleh pengawal keselamatan. Suami Nina dihalau keluar. Kasihan Nina. Menangis-nangis dia diperlakukan suaminya. Sakit hati memang pasti. Malu lagi kepada rakan sekerja.

Nina memang pernah bercerita padaku mengenai suaminya yang panas baran. Ibu kepada seorang anak itu baru 26 tahun dan sudah tiga tahun berkahwin. Katanya, suaminya memang kuat cemburu dan selalu mengawal pergerakan dia.

Petang itu, yang jadi punca sampai serang-menyerang di pejabat sebab sebelah paginya, suami Nina terbaca satu SMS yang dikirimkan teman lelaki lama Nina. Nina bertegas kata, dia tiada apa-apa lagi dengan lelaki itu. Sampai ke pejabat suaminya asyik menelefon tidak puas hati sehingga Nina terpaksa tutup telefon. Sebab tidak dapat bercakap dengan Nina, suaminya tidak sabar lalu datang serang di pejabat.

“Malu saya, kak. Malu satu pejabat dengan perangai gila dia tu….” Nina teresak-esak mengadu ketika aku temankan dia ke kereta. Encik Li suruh dia ambil cuti separuh hati dan balik saja ke rumah untuk elak suaminya datang lagi ke pejabat kami.

Sabarlah Nina. Aku biasa dengar perempuan yang terlebih-lebih cemburu dan asyik hendak kawal pergerakan suami. Tetapi kali ini terbalik pula. Memanglah cemburu tanda sayang tetapi kalau sampai peringkat memalukan diri sendiri dan orang lain, itu sudah hilang malu namanya!

Aku doakan Nina tak apa-apa. Semoga rumah tangganya dipelihara Allah! Mudah-mudahan kita ambil iktibar daripada cerita Nina.

Sunday, July 4, 2010

tidur bola, makan bola, minum bola!


Sekarang ini musim ‘tidur bola, makan bola, minum bola’. Aku bukanlah peminat bola sepak tegar tetapi memandangkan ini fenomena dunia, serba sedikit harus ambil tahu juga.

Aku tumpang pasang telinga saja apabila dengar kawan-kawan sepejabat (terutamanya lelaki) bergebang mengenai bola. Aku senyum, geleng kepala, dan kadangkala tersengih sahaja mendengar mereka bersungguh-sungguh bercerita mengenai Azzuri, All Whites, Oranje, Blue Samurai dan segala bagai itu. Mereka sebut nama Zambrotta, Fabiano, Kaka, Sneijder, Iaquinta, Ronaldo, dan entah siapa-siapa lagi, macamlah semua orang itu kawan baik mereka!

Ada yang datang ke pejabat dengan mata merah macam orang sakit mata, alasannya tidak cukup tidur sebab tengok bola. Entah betul, entah gurau, aku pun bukanlah kisah sangat dengan jadual perlawanan bola sepak ini!

Beberapa kali aku juga tidak cukup tidur, bukan kerana tengok bola kerana kerana adik-beradik aku tengok bola. Bisingnya ya Allah, macam mereka yang main bola, macam mereka duduk di tepi padang bola. Sekali mereka bertempik, bergegar rumah sampai aku sendiri terkejut dari tidur. Aku hendak saja bangun dan sepak mereka!

Emak aku sekadar geleng kepala. Sambil bergurau, emak kata, orang boleh jadi gila mengejar sebiji bola yang bulat di tengah padang, berlari satu padang menghambat bola untuk capai matlamat.

Aku terfikir sesuatu; andaikan dunia ini seperti bola dan kita mengejar dunia untuk mencapai matlamat. Begitulah juga kita jadi gila atau digilakan oleh dunia kerana mengejar benda bulat itu, tidak pernah puas-puas walaupun sudah dapat banyak (gol). Sudah dapat gol, hendak gol lagi.

Tetapi rasa-rasanya bahang Piala Dunia sekarang ini belumlah begitu panas. Tunggulah apabila perlawanan akhir nanti, barangkali lebih ramai yang akan tuang kerja kerana tidak boleh bangun pagi sebab mengejar bola.

Apa-apa pun kepada rakan-rakanku si ‘kaki bola’, jangan sampai kerja terganggu. Dalam hidup, kita pun ada matlamat kan?

Thursday, June 24, 2010

ujian orang berpuasa!


Tengah hari, aku tinggal seorang di meja kerja. Kawan-kawan keluar tugasan dan ada yang keluar makan. Aku berpuasa ganti, jadi terpaksalah jadi penunggu pejabat.

“Itulah lambat-lambat lagi bayar puasa. Kan dah kena jadi penunggu pejabat!” Amboi, suka-suka hati saja kawan-kawan aku menyakat.

“Encik Man nak belanja kami semua beriyani gam. Rugilah kau. Itulah, melambat-lambatkan lagi bayar hutang. Itulah balasan untuk orang berdosa!” Huh, lagi keras usikan mereka! Ada pula yang jadi nasi tambah, hendak jadi ustaz pula. Mulut tiada insurans langsung. Nasib baik aku berpuasa, kalau tidak, jawabnya adalah yang makan kasut!

Entah betul atau tidak Encik Man hendak belanja beriyani gam. Setahu aku Encik Man (salah seorang bos kami) terkenal ‘tangkai jering’ juga. Eh, aku puasa, berdosa mengumpat bos sendiri! Heheheh.

Tetapi seronok juga tinggal seorang diri, terasa tenang aman damai. Rupa-rupanya senyap sunyi ini beri aku banyak ilham dan kekuatan untuk menyiapkan tugasan. Kalau tidak macam-macam bunyi, macam-macam suara yang aku dengar sampai kadangkala tersiap taip sebab terpengaruh dengan gelagat kawan-kawan.

Siap satu rencana dalam tempoh setengah jam. Aku ingat hendak beransur pergi solat apabila aku lihat ada isyarat masuk di Yahoo Messenger aku. Im!

Tak keluar makan? Sejak setengah jam tadi, nampak online saja?

Puasa.

Oh, iyalah! Orang perempuan memang banyak halangan dalam bab-bab puasa ni. Selamat meneruskan puasa ya!

Terima kasih.

Aku tunggu dia menaip balasan. Senyap saja. Tahulah aku, dia sudah tiada di tempatnya. Dia pergi makan agaknya. Aku marah diri sendiri sebab leka tunggu orang balas mesej aku sampai aku terlambat untuk solat zuhur. Teruk sungguh!

Sebelah petang, tak disangka-sangka ada sampai dua mesyuarat. Sudahlah dua mesyuarat silih berganti, bos mengamuk pula dan semua orang kena sembur. Nasib, nasib badan... itulah nasib orang kerja makan gaji! Masing-masing keluar dari bilik mesyuarat dengan muka masam mencuka. Sudahlah berpuasa, hilang mood aku, inilah ujian orang berpuasa agaknya.

Ada mesej dari Im di YM aku, dihantar kira-kira sejam lalu.

Berbuka puasa di mana hari ni? Saya belanja, nak?

Heh, tak ada moodlah! Aku lihat namanya ada dalam senarai. Maknanya dia sedang online. Tetapi aku malas hendak layan. Terus aku offline.

Hmm, berbuka puasa seorang dirilah jawabnya!

Monday, June 21, 2010

Selamat Hari Bapa, Abah!


Hari Bapa jatuh pada Ahad ketiga bulan Jun. Tahun ini, Hari Bapa jatuh pada 20 Jun 2010. Selamat Hari Bapa untuk semua bapa di seluruh dunia. Hari ini juga harijadi Allahyarham abah aku.

Kebetulan yang sangat indah; tetapi emak pernah kata, tiada yang kebetulan dalam hidup kerana segala-galanya sudah diaturkan Allah sedemikian rupa. Cuma kadangkala manusia yang tidak mengambil hikmahnya.

Aku di kampung. Kami pakat adik-beradik buat kenduri kesyukuran, adakan tahlil dan doa selamat untuk Allahyarham abah dan semua saudara-mara yang sudah pergi dahulu ke pangkuan Pencipta.

Sejak ketiadaan abah, kenduri begini memang rutin kami adik-beradik sebelum masuk bulan Ramadan. Sekarang pun sudah Rejab, tak lama lagi Syaaban dan selepas itu Ramadan buka pintu. Pantas sungguh masa berlalu.

Emak dan mak cik-mak cik sempat menegur anak-anak perempuan mereka; sudah selesai ganti puasa Ramadan lepas? Oooo, itu pun satu peringatan rutin juga. Untung sungguh ada orang-orang tua yang rajin mengingatkan.

Alhamdulillah, kenduri sederhana tetapi meriah dengan adik-beradik dan saudara-mara. Ini masa untuk saudara mara berkumpul. Sayu pula hati teringat Allahyarham abah. Walaupun sudah bertahun-tahun Allahyarham tiada bersama-sama kami, tetapi dia selalu ada dalam hati kami.

Aku masih ingat, antara kebimbangan abah suatu ketika dahulu – jika anak-anak melupakannya apabila dia tiada lagi; itulah yang abah kata pada aku suatu ketika dulu. Aku cakap balik, “Kenapa abah cakap begitu? Takkan mungkin kami semua lupakan abah.”

Abah senyum saja dengar aku menyanggah cakapnya. Kemudian dia kata, “Memang kamu semua tak lupa abah. Abah yakin kamu akan tetap ingatkan abah. Cuma abah takut anak-anak abah lupa hadiahkan doa untuk abah. Abah dah mati masa tu, tak ada apa-apa yang boleh bantu abah, kecuali doa anak-anak yang saleh…”

Tersentuh sungguh hati aku. Aku teringat satu hadis yang biasa aku baca, “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Setiap kali teringat kata-kata abah, secara tidak langsung aku muhasabah diri sendiri, sejauh manakah doa aku dapat ‘membantu’ abah? Setakat mana amalan aku dapat ‘meringankan’ abah di sana?

Aku tidak mampu menjawab sendiri soalan itu. Apa pun, terima kasih pada abah yang selalu buat aku teringat akan kekurangan diri dan memotivasikan aku untuk memperbaiki diri.

Semoga abah tenang terus di sana. Selamat hari bapa dan selamat ulang tahun, abah!

Thursday, June 10, 2010

SMS pertama


Tengah hari semalam.

Aku sedang menikmati makanan tengah hari ketika SMS masuk ke telefonku. Daripada nombor yang tidak dikenali. Entah siapa, SMS sesat agaknya, kebelakangan ini memang banyak SMS sesat ke telefon aku; tawar itu ini, yang pelik-pelik sahaja.

Maaf mengganggu kak ngah. Dapat nombor dari Mak Su Liah. Ada tak Mak Su cakap apa-apa fasal saya?

Wah, berdebar-debar pula jantung aku! Inikah orangnya? Aku teringat cerita Mak Su mengenai lelaki yang katanya ‘jatuh berkenan’ pada aku semasa di kampung tempoh hari. Inikah orangnya?

Aku biarkan SMS itu beberapa ketika. Tangan gatal hendak menaip jawapan tetapi aku tidak mahu balas segera. Apa salahnya kalau tangguh beberapa jam? Hampir pukul empat petang, selepas menyiapkan satu laporan berita, barulah aku membalas SMS itu.

Tidak perlulah aku tulis semuanya apa SMS aku pada dia. Tetapi rasanya bermulalah perkenalan dengan Im. Lama juga kami berbalas SMS, bermula petang itu sehinggalah malam; sebab SMS dibalas selang satu jam, ikut kelapangan masa kami. Macam okey saja anak saudara Pak Su ni, dalam SMS seperti ramah!

Bila hendak berjumpa? Yang itu, nanti-nantilah! Im tidak bertanya pula bila hendak berjumpa dan aku pun tidak mahu buka mulut terlalu awal. Entah bagaimana orangnya ya?

Saturday, June 5, 2010

Muhasabah diri


Pejam celik, pejam celik, sudah enam bulan tahun 2010 berlalu. Alhamdulillah, sebab pejam masih boleh celik, kalau tidak celik-celik, ke liang lahadlah jawabnya!

Aku cuba muhasabah diri sendiri, mengenai pencapaianku sendiri sepanjang enam bulan pertama ini. Ada yang membanggakan tetapi tidak kurang juga yang kurang memuaskan. Tetapi tidak mengapa, apa-apa yang kurang memberangsangkan itu, aku ambil sebagai pengajaran.

Ada juga beberapa kisah peribadi yang tidak kurang menjejaskan emosi sepanjang enam bulan pertama ini. Terutamanya kisah aku dengan Yusuf yang suatu ketika dahulu jadikan aku ‘berjiwa kacau’. Sedar tak sedar, cerita aku dengan Yusuf senyap begitu saja. Senyap sebab aku yang ambil keputusan untuk elakkan diri daripadanya. Betullah seperti kata seorang kawan, “Kalau kita layan benda-benda begini, memang jadi punya! Cara terbaik, jangan buka jalan tu!” Terima kasih, menjadi juga nasihat kawanku itu!

Oh ya, aku dengar khabar angin; akan ada rombakan kecil di syarikat. Sudah lama juga rasa-rasanya pejabat sunyi daripada gosip. Berita-berita begini kadangkala buat aku letih sedikit. Rombakan, baik kecil atau besar – memang perkara biasa di mana-mana pun. Adat bekerja, memang beginilah. Asal terus dapat bekerja, tidak dibuang kerja, tidak dikurangkan gaji – itu sudah cukup baik; kata kawan-kawan. Betullah kan?

Aku mohon yang terbaik untuk diri sendiri!

Amin...

(Tahniah kepada semua yang telah berjaya mengharungi cabaran enam bulan pertama tahun 2010!)