Sunday, August 8, 2010

puasa: hari pertama di mana?


Emak aku sibuk menelefon bertanya, adakah aku akan menyambut puasa hari pertama bersama-samanya di kampung. Alahai emak, hajat di hati memanglah begitu. Ini semacam sudah jadi tradisi bagi kami adik-beradik kerana semua orang semacam hendak bermanja dengan emak pada hari pertama berpuasa. Dan biasanya juga, kalau berbuka di kampung, emak akan sediakan juadah kegemaran kami.

Bunyinya memang kebudak-budakan sedikit. Tetapi memang begitulah agaknya cara orang tua meraikan anak-anak, apatah lagi jika anak-anak tinggal berjauhan daripada mereka. Anak balik sekali-sekala, sebutlah apa sahaja hendak makan, susah payah dia akan sediakan. Terbayang-bayang asam pedas bikinan emak, aduh, meleleh air liur! Kebanyakan anak akan mengaku, memang masakan emak dialah yang paling sedap.

Semasa aku belajar di universiti dahulu, betapa sibuk sekali pun, aku tetap balik untuk sambut puasa pertama dengan emak. Cuti sehari pun tidak mengapa, malah biasa juga ponteng kelas kerana balik kampung. Ha ha ha, nakal kan...

Tetapi apabila sudah masuk dunia kerjaya, kesibukan jadi alasan utama. Masuk tahun ini, sudah kali ketiga aku tidak dapat balik menyambut puasa pertama bersama-sama emak. Dahulu rasa sedih juga tetapi selepas beberapa kali, sudah kalis jadinya.

Apa hendak buat. Puasa pertama tahun ini jatuh pada pertengahan minggu hari bekerja. Pertengahan bulan pula! Dan biasanya pada pertengahan bulan, adalah masa kami bergelut dengan tugasan demi tugasan. Mohon maaf ya mak!

“Emak faham kak ngah, emak pun tak harapkan anak-anak balik kerap. Tapi kalau ada masa, baliklah ya!” Emak tidak memaksa tetapi emak sebenarnya tetap mengharap. Itu yang kadangkala buat aku lemah dan tidak sampai hati…

Aku telefon abang sulung, bertanya sama ada dia balik atau tidak. Sama seperti aku, along pun tidak boleh balik. Adik-adik lagilah.... adik perempuan yang sudah berumah tangga itu biasanya akan balik ke rumah mentuanya kerana mentuanya orang KL. Hendak buat macam mana, dia sudah ada suami. Adik lelaki yang masih belajar itu usahlah diharap, dia lebih rela berbuka di gerai dengan kawan-kawannya daripada balik kampung menyambut puasa dengan emak. Sungguh aku tak faham!

Sabarlah ya mak. Nanti menjelang hari raya, Kak Ngah balik temankan mak. Memang jujurnya aku rasa bertanggungjawab menggembirakan mak. Teringat pesanan kakak-kakak yang lebih berpengalaman di pejabat, “Bagi kita anak perempuan, selagi masih bujang inilah masa untuk luangkan masa dengan ibu bapa. Nanti kalau sudah bersuami, apatah lagi kalau suami itu ‘anak emak’ dan dia pula buat tidak faham saja mengenai mak kita, jawabnya kau kena banyak habiskan masa dengan mak mentua.”

Hmmm, entahlah.

Apa pun, selamat berpuasa mak. Selamat berpuasa juga kepada semua sahabat SMJ.

7 comments:

Eliss said...

selamat berpuasa.kalo time bulan puasa ajer mesti teringat masakan mak.apa2 lah tekak ni kan :)

~*irjune*~ said...

sally, selamat berpuasa.
semenjak bekerja ni, saya sambut puasa diperantauan je. Pernah sambut puasa sorang2 juga. Biasalah mak. Tapi sebolehnya saya akan cuba balik pada pertengahan puasa untuk berpuasa di kg. Nak terus balik untuk raya, takut suasana puasa bila dah dekat raya tak meriah.

Kasih said...

salam..selamat berpuasa to u sis.. semoga Ramadhan kali ni lebih bermakna dan diberkati..

sama seperti saya, tahun ni tahun ke5 saya menyambut puasa seorang diri tanpa keluarga..sehabis baik, cuba untuk bersama keluarga di hujung minggu..sayangnya asyik diburu tanggungjawab terhadap kerja.. =)

-MsGoodNite- said...

selamat berpuasa sali...

♥Cik Puan♥ said...

selamat berpuasa...

Faarihin said...

Salam.. selamat menjalani ibadah puasa tuan umah..

saya dapat tahu blog dari TV1.. hehehe..(^__^)

lampin&buku said...

Bestnyer.....mak saya tak penah tanya pun.malam sebelum puasa dah gaduh ngan mak camno??????