
Pertama, Karnival MPH yang menggabungkan beberapa penerbit buku berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam. Kedua, Karnival Karangkraf (syarikat yang terkenal sebagai penerbit majalah terbesar di Malaysia) berlangsung di premis mereka di Shah Alam juga. Satu lagi, Jualan Gudang Utusan berlangsung di premis UP&D di Taman Shamelin Perkasa.
Syurga buku bagi penggemar buku! Siapa kata orang Malaysia tidak suka membaca? Dengar cerita, hari pertama kutipan di salah satu daripada tiga karnival ini berjaya mencecah ratusan ribu Ringgit Malaysia.
Bukankah itu boleh jadi tanda bahawa orang Malaysia sudah mula suka membaca? Mungkin orang akan kata, membeli buku tidak semestinya menandakan dia suka membaca. Tetapi hakikatya, apa gunanya beli buku kalau tidak dibaca. Hendak dibuat perhiasan rumah pun bukanlah cantik sangat. Lebih baik beli perabut jati atau televisyen skrin rata, lebih berbaloi daripada beli buku.
Jadi, tidak perlulah pasang persepsi pada orang yang suka beli buku tetapi tidak baca. Kalau dia tidak baca hari ini, mungkin esok, lusa, tulat, minggu depan, bulan depan, tahun depan atau beberapa tahun lagi baru dia berkesempatan membaca.
Aku? Aku sudah habiskan ratusan ringgit untuk tiga karnival buku minggu ini. Nasib baik juga kerajaan buat peraturan pembelian buku boleh lepas cukai. Bila hendak dibaca semua buku ini? Insya-Allah, akan ada masanya.
Selamat berhujung minggu dan membaca!