Friday, October 23, 2009

cerita rumah terbuka

Syawal sudah habis. Bulan rumah terbuka sudah
berakhir walaupun hujung minggu ini masih ada seorang dua kawan undang ke rumah terbukanya. Tidak habis-habis raya lagi? Tetapi siapa tidak suka bab-bab makan percuma kan? Cuma kadangkala hati rasa tidak seronok hadir seorang diri ke rumah terbuka kawan-kawan.

Apabila berkumpul di rumah terbuka, kawan-kawan lain datang dengan pasangan, siap dengan anak, siap dengan orang gaji mengekor sekali. Tetapi aku seorang diri sahaja, ke hulu ke hilir seorang diri.

Kadangkala seronok juga tengok gelagat emak-emak yang sibuk melayan anak-anak, mengejar anak-anak yang sibuk hendak main, tidak senang duduk apabila baru duduk hendak makan anak-anak merengek hendak buang air, hendak itu, hendak ini.

Itu rezeki orang, rezeki kita entah bagaimana. Bahagialah mereka dengan cara mereka sendiri. Aku doakan. Mudah-mudahan barakahnya sampai pada aku juga....amin!

Tuesday, October 13, 2009

kenapa begini lagi?


AKU pasang niat dalam hati untuk mulakan hari dengan penuh semangat. Tidak mahu lagi terkenang-kenang atau teringat-ingat. Malangnya baru sahaja sampai di tempat letak kereta, baru langkah kaki keluar dari kereta, aku terpandang si Yusuf yang juga baru sampai.

Terus mood aku jatuh.

Dia menegur aku dengan sopan (seperti biasa dia memang bersopan orangnya!). Ya, dia baru masuk pejabat semula selepas bercuti lama (cuti raya tokok cuti kahwin!) Mengingatkan itu, lebih hangus hati jadinya. (Tetapi aku cepat-cepat betulkan niat, mengapa pula aku mesti marah. Ini soal jodoh dan ketentuan Allah!)

Dia bertanya, mengapa aku tidak hadir dalam majlis perkahwinannya minggu lalu. Kuala Lumpur ke Kuala Selangor (kampungnya) tidaklah jauh benar. Ramai rakan sepejabat kami hadir tetapi mengapa aku tiada?

Dalam hati aku, “Eh, sempat pula mata dia mencari aku pada hari bersejarahnya; ketika dia di samping isterinya?”

Aku mereka-reka beritahu, aku terpaksa balik kampung; ada hal keluarga tiba-tiba! Itu hanya alasan; aku tidak mahu buat dia kecil hati.

Dia ajak aku berjalan sekali dengan dia masuk ke pejabat. Aku beri alasan, hendak tunggu seseorang di situ. Seseorang yang akan aku interbiu untuk majalah sekejap lagi.

Dia pun pergi. Aku hanya mampu memandang. Teringat satu pepatah lama; ingin si buah manggis hutan, masak ranum tergantung tinggi...maksudnya apalah daya; hati ingin, tetapi tak berdaya memilikinya.